Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Bukan Hanya Rai 14 Februari, Petua Kasih Sayang Ini Anda Patut Tahu

Perasaan kasih sayang sepatutnya dirai setiap pasangan pada sepanjang masa.

0
comments
Bukan Hanya Rai 14 Februari, Petua Kasih Sayang Ini Anda Patut Tahu
Menghargai kasih sayang antara pasangan sangat penting dalam memastikan hubungan berkekalan. (Gambar: missfazura - Intagram)
Setiap kali tarikh 14 Februari tiba, pasti ramai akan mengaitkannya dengan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai Valentine’s Day.

Sebahagian penduduk negara ini mengatakan perayaan tersebut tidak sesuai dengan suasana, budaya dan agama masyarakat setempat. Tahukah anda, terdapat ramai penduduk negara Barat yang mengkritik tarikh tersebut.

Bagi mereka, Hari Kekasih menjadi terlalu komersial dan manusia sepatutnya meraikan perasaan kasih sayang terhadap pasangan masing-masing pada setiap hari.

Walau apapun pandangan anda terhadap hari istimewa itu yang akan dirai esok, pastinya ada yang sudah merasai suasananya semenjak akhir-akhir ini sama ada melalui televisyen, radio atau media sosial.

Berkongsi 'keghairahan' pasangan kekasih melafazkan perasaan cinta mereka, Rojak Daily Skop! kongsikan sedikit kisah dan petua mengenai kehebatan kasih sayang yang berpanjangan. Semoga kasih sayang yang berada pada diri anda juga akan terus membara.

ANDA INGIN TAHU RAHSIA HIDUP LEBIH SATU ABAD?

Esmond Allcock menyambut ulang tahun ke 108 menjadi lelaki yang tertua di Kanada.


Pasti ramai di luar sana ingin tahu rahsia di sebalik kehidupan yang berpanjangan. Mengikut data terkini, purata masyarakat negara ini mampu hidup sehingga mencapai usia 72.7 tahun buat golongan lelaki manakala wanita sehingga 77.4 tahun.

Baru-baru ini seorang warga Kanada yang berusia 108 tahun berkongsi rahsia disebalik usianya yang melebihi satu abad. Esmond Allcock yang diiktiraf sebagai antara rakyat tertua di negara tersebut mengatakan petua yang diamalkan selama ini adalah memiliki seorang isteri yang baik.

“Saya dahulunya tidak menjaga diri dengan baik tetapi saya kemudiannya berkahwin dengan seorang wanita yang baik,” ujarnya seperti dilaporkan EliteReaders.

Malangnya, setelah berkongsi kehidupan bersama selama 72 tahun, isterinya yang bernama Helen meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Sesudah pemergian isteri tercintanya itu, lelaki itu terus tinggal di rumah miliknya buat sementara waktu sebelum membuat keputusan mendiami Pusat Kesihatan Kerrobert. Baru-baru ini, pusat jagaan warga tua tersebut telah membuat majlis sambutan hari lahir Allcock.

“Oh, mereka hampir menjadikan saya gila. Mereka mengambil lebih kurang 100 gambar saya,” kata Allcock sambil ketawa menceritakan majlis tersebut.

Sementara itu, anak Allcock yang berusia 78 tahun iaitu Dale mengatakan walaupun dia tinggal berjauhan dari bapanya, dia sentiasa berhubung dan bertanyakan khabar.

“Kami berhubung setiap hari melalui aplikasi Facetime di iPad miliknya dan kami lihat betapa gembiranya dia di situ; mereka melayannya seperti raja,” ujarnya.

Menurut Dale, bapanya itu menetap di Kerrobert, Kanada selama 100 tahun dan berkerja sebagai petani sebelum bersara pada tahun 1975. Setakat ini Allcock mempunyai 38 cicit dan 11 piut.

Sebagai penghargaan buat diri Allcock, Datuk Bandar Kerrobert iaitu Wayne Mock mengistiharkan tarikh 26 Januari setiap tahun sebagai 'Hari Esmond Allcock'.

PENYATUAN KEKAL HINGGA KE AKHIR HAYAT

Ia suatu yang indah apabila berkongsi kasih sayang dengan pasangan sehingga ke usia emas.

Semua orang mahukan perkahwinan yang kekal sepanjang hayat tetapi malangnya tidak semua yang mencapai impian tersebut.

Pada tahun 2012 misalnya, sebanyak 56,760 kes penceraian direkodkan di negara ini, iaitu bersamaan dengan satu penceraian berlaku setiap 10 minit.

Perkembangan moden ini agak berbeza dengan pasangan zaman dahulu yang mampu bertahan lama walaupun tidak pernah berjumpa sebelum berkahwin. Seorang wanita berusia 86 tahun bernama Salbiah Wir berkongsi pandanganya.

“Sebab perkahwinan orang dulu-dulu itu tidak ada percintaan atau berkasih-kasihan (sebelum menikah).

“Dulu-dulu selepas habis nikah dan bersanding, pengantin akan bawa pasangan berjumpa dengan saudara mara untuk dikenalkan.

“Tapi pada zaman moden ini lain. Bila selesai majlis, esoknya mereka terus pergi berbulan madu. Sebenarnya, ada kebaikannya apabila selepas nikah kita berkenalan dengan saudara mara,” ujar Salbiah di dalam video ‘Cara Rumah Tangga Bahagia’ yang viral di media sosial beberapa tahun lalu.

Video berdurasi 7.42 saat itu adalah terbitan pengacara terkenal dari Singapura iaitu Sujimy Mohamad yang ditonton di Facebook miliknya sebanyak lebih 848,000 kali dan dikongsikan 29,278 pengguna lain.

Salbiah merupakan ibu kepada Sujimy dan telah mendapat Anugerah Ibu Mithali 2000 daripada Jamiyah Singapura. Dia turut berkongsi tiga perkara yang perlu ada dalam keluarga demi mencapai rumah tangga yang bahagia.

“Panduannya kita mesti ada sakinah (ketenteraman), mawaddah (cinta), wa rahmah (kasih sayang). Tiga perkara ini kalau kita ada, insha Allah aman rumah tangga.

“Nak cari bahagia itu bukan senang. Jadi, kita ingat kepada Tuhan yang memberi kebahagiaan itu. Kalau dah datang bahagia, jangan abaikan.

"Rumah tangga kita itu, jagalah baik-baik. Kalau boleh, ibu bapa hanya beri nasihat, tak perlu campur urusan rumah tangga anak-anak. Kalau kita campur urusan anak, itu memburukkan keadaan dan boleh menyebabkan perceraian,” ujarnya.
 
 
 
Comments