Rojak Daily Logo
Back to top

Gara-Gara Pistol RM45, Pengantin Terpaksa Beri Keterangan Pada Polis

Individu yang melakukan perbuatan sedemikian boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

0
comments
Gara-Gara Pistol RM45, Pengantin Terpaksa Beri Keterangan Pada Polis
Gimik majlis perkahwinan menimbulkan masalah bagi pengantin ini. (Gambar: Muhammad Saiful)
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mahukan majlis persandingan sendiri yang diadakan dengan meriah dan diingati sehingga akhir hayat.

Elemen unik dan sedikit gimik mungkin membantu untuk menjadikan suasana persandingan mereka lebih menarik.

Ada saja kelainan yang dibawa oleh pengantin di luar sana untuk memeriahkan majlis perkahwinan mereka. Silap-silap, majlis terbabit boleh menjadi tular di media sosial jika dikongsi ribuan pengguna.


PADAH MEMBAWA PISTOL

Majlis perkahwinan berlangsung Ahad lalu.
Kisah yang menimpa pengantin lelaki, Muhammad Saiful Ikhsan Muzafar, 25, ini juga tidak kurang hebatnya apabila semalam gambarnya dikongsi ribuan pengguna Facebook. 

Apa yang menarik perhatian khalayak adalah gambar perkahwinan Muhammad Saiful menyelitkan pistol mainan pada kain samping ketika majlis persandingannya yang diadakan pada Ahad lalu.

Niatnya untuk mencipta kelaianan terbabit bukan saja menjadi tular selepas dikongsi ribuan pengguna media sosial, malah turut membabitkan urusan pihak polis!

Kes berkenaan menjadi perhatian polis selepas ia mengundang salah faham dalam kalangan pengguna media sosial.

Jelas Muhammad Saiful, dia sudah merancang untuk menggunakan pistol mainan itu sejak dua minggu lalu.

Tambahnya, ia hanya sekadar gimik persandingan bagi mencipta kelainan dan pistol berkenaan dibeli dengan harga RM45.

Malah, pistol berkenaan dipotong pada bahagian hadapan bagi mengelak salah faham pelbagai pihak.

“Namun tidak sangka gambar terbabit tular dan dikongsi ribuan pengguna Facebook. Akibatnya saya terpaksa memberi keterangan pada pihak polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah,” katanya.

MILIKI PISTOL TIRUAN KESALAHAN BESAR

Sementara itu, pihak polis menerusi Utusan Malaysia menegaskan tindakan memiliki pistol tiruan adalah satu kesalahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Me­laka, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Nor Yhazid berkata, perbuatan tersebut menjadi ke­salahan di bawah seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Jelasnya, jika didapati bersalah mana-mana individu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majlis resepsi Muhammad Saiful berlangsung di Semabok, Melaka selepas dia selamat bernikah dengan isteri, Nur Wahida Norbani, 23, pada 1 Disember 2017.

Pada anda yang ingin mencipta kelainan ketika bersanding mungkin boleh memilih elemen yang tidak membabitkan kes polis. Jika jemput polis datang makan nasi kenduri tiada masalah tapi jangan anda pula yang mengundang masalah.
 
 
Comments