Rojak Daily Logo
Back to top

Filem 2017: Hanya Tujuh Filem Balik Modal, 48 Filem 'Ke Laut'

Pencapaian filem tempatan masih kurang memberangsangkan sepanjang tahun ini.

0
comments
Filem 2017: Hanya Tujuh Filem Balik Modal, 48 Filem 'Ke Laut'
Aksi Zizan Razak bersama A Galak dalam filem Abang Long Fadil 2 berjaya menghiburkan ramai penonton di pawagam. (Gambar: zizanrazak869 dan fiq000s - Instagram)
Sukar untuk menjangka selera penonton kita terhadap filem tempatan yang ditayangkan di pawagam. Teori filem tempatan tidak lagi laku di pasaran kerana penonton tidak berminat ke pawagam juga tidak berasas.

Buktinya, masih ada filem tempatan yang mencatat kutipan 'box-office' atau pecah panggung. Jika merujuk pada tiga filem paling top yang mencatat kutipan tertinggi sepanjang tiga tahun lalu menyaksikan genre seram paling diminati menerusi Munafik (2016) manakala Polis Evo menampilkan genre komedi dengan aksi menjadi pilihan penonton pada tahun sebelum itu. 

Bagaimanapun, pencapaian filem tempatan sepanjang tahun ini secara umumnya menunjukkan masih kurang memberangsangkan jika diambil kira dari aspek kutipan di pawagam. 

Daripada 55 filem tempatan yang berjaya ditayangkan pada tahun ini, empat filem mencatat kutipan yang sangat menyedihkan sekadar berkongsi angka RM4,000 iaitu Spy In Love arahan Daniel Rifki, Mendidih Bro (Z Lokman), Luqman (Dr Mahadi J Murat) dan filem Tamil, Thottam.

Bagaimanapun, penggiat seni juga berbangga apabila ada pengarah tempatan membuktikan filem kita masih laku ditonton di pawagam menerusi pencapaian 'box-office'.

Merujuk senarai Malaysian Box Office dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menyaksikan hanya tujuh filem tempatan yang boleh dikategori balik modal dengan kutipan melebihi RM1 juta manakala selebihnya gagal.  

Rojak Daily Kaw senaraikan Top 10 filem tempatan paling laris sepanjang tahun 2017:

1. Abang Long Fadil 2 

Lakonan Zizan Razak (kanan) dibantu Wak Doyok antara tarikan filem sekuel, Abang Long Fadil 2.


Sentuhan pengarah Syafiq Yusof dalam sekuel kali ini sememangnya dinantikan ramai penonton khususnya peminat yang pernah menonton filem pertamanya sebelum ini. Jika mengikut statistik rasmi FINAS, filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd ini berjaya mencatat kutipan sebanyak RM18.1 juta.

Kutipan ini sebenarnya paling tinggi dalam sejarah filem tempatan selepas Munafik meraih RM17 juta pada tahun lalu manakala Polis Evo (RM17.7 juta) pada tahun sebelum itu. Kejayaan kutipan tertinggi filem ini juga diraikan apabila menerima Anugerah Filem Box Office pada Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29) tahun ini.

Filem pertama Abang Long Fadil yang ditayangkan tiga tahun lalu mencatat kutipan sebanyak RM4.6 juta. Formula Syafiq mengekalkan Zizan Razak sebagai teraju utama filem ini bersama mengekalkan genre komedi membuatkan ramai penonton terhibur. Produser filem ini, Datuk Yusof Haslam pernah menyatakan pencapaian filem ini bermakna filem tempatan masih menerima sokongan positif daripada penonton.

2. Tombiruo: Penunggu Rimba

Aksi Zul Ariffin menjiwai watak utama, Tombiruo cukup menyakinkan penonton.


Filem adapatsi novel popular karya Ramlee Awang Mursyid ini yang diterbitkan produksi Astro Shaw Sdn Bhd diterima ramai penonton apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM7.9 juta. 

Populariti novel ini bersama penulisnya memberikan kelebihan sebagai tarikan pada penonton untuk menonton versi di layar perak. 

Menampilkan Zul Arifin sebagai pelakon utama, filem genre aksi ini berekperimentasi dengan kisah seorang lelaki iaitu Ejim digelar Tombiruo yang disisihkan masyarakat kerana mempunyai wajah tidak seperti manusia lain. 

Selain daripada cerita susuk tubuh badan pelakon yang menjadi bualan dalam kalangan peminat, filem ini juga berdepan dengan beberapa isu yang memaparkan sebuah cerita mengikut kepercayaan masyarakat tempatan di Sabah mengenai penjaga hutan.

3. J Revolusi

Aksi Zul Ariffin sebagai 'anggota' Unit Tindakan Khas (UTK) memberi tarikan pada filem J Revolusi.


Filem arahan Mohd Zulkarnain Mohd Azhar ini yang membawa genre aksi mengenai kisah anggota polis elit berjaya menarik perhatian penonton ke pawagam. Kerjasama filem ini dengan Unit Tindakan Khas (UTK) memberikan satu kelebihan pada plot dan babak aksi yang dipaparkan.

Pendukung watak utama filem ini, Zul Ariffin dikatakan mempunyai pesona seorang adiwira yang membuatkan penonton berasa bangga meskipun filem mahupun drama berkisarkan polis sudah banyak diterbitkan sebelum ini.

Selain penonton menggemari aksi lakonan Zul dalam filem ini, kisah UTK juga disifatkan menjadi taruhan yang kuat pada filem ini untuk menarik penonton ke pawagam sehingga meraih kutipan sebanyak RM7.1 juta. 

4. Before We Forget 

Tidak banyak filem Cina tempatan yang ditayangkan di pawagam mahupun mendapat sambutan dalam kalangan penonton. Bagaimanapun, filem arahan Jess Teong ini mengubah persepsi sedemikian apabila ia diterima ramai penonton dengan genre kisah keluarga.

Filem ini masih ditayangkan di pawagam dan ketika ini dianggarkan sudah mengutip sebanyak RM3 juta yang dianggap pulang modal untuk produser.

5. Bisik Pada Langit

Garapan Kabir Bhatia menerusi filem Bisik Pada Langit mengangkat kisah keluarga yang meruntun perasaan penonton.


Bagi peminat filem arahan Kabir Bhatia, mereka dapat menjangkakan hasil kerja pengarah terkenal ini jarang mengecewakan peminat.

Kabir yang dikenali menerusi syot dan garapan cerita yang dramatik turut menampilkan elemen tersebut dalam filem yang membawa kisah keluarga pengorbanan dan kasih sayang seorang bapa terhadap anak perempuannya.

Filem ini pada asalnya dijadikan filem televisyen (FTV) untuk saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) dibawa ke layar perak. Di sebalik sentuhan Kabir yang menjadi antara faktor tarikan pada penonton, filem ini diperkuatkan dengan gandingan Jalil Hamid bersama Ummi Nazeera sebagai pelakon utama dibantu Beto Kusyairi dan Fadilah Mansor. Ia berjaya mencatat kutipan sebanyak RM2.4 juta.

6. You Mean The World To Me 

Aktor John Tan menang Anugerah Pelakon Lelaki Harapan pada FFM29 menerusi lakonan dalam filem 'You Mean The World To Me'.


Tidak ramai yang sedar mengenai tayangan filem ini sehingga pelakonnya berjaya meraih anugerah pada FFM29 menerusi Anugerah Pelakon Lelaki Harapan menerusi John Tan dan anugerah Skor Muzik Terbaik.

Paling bermakna, pengarah filem ini iaitu Saw Teong Hin yang sebelum ini terkenal dengan naskah filem Puteri Gunung Ledang (PGL) berkongsi kegembiraan sebagai pemenang anugerah Lakon Layar Terbaik pada acara anugerah yang sama.

Filem terbitan Astro Shaw Sdn Bhd ini meraih kutipan sebanyak RM1.2 juta. 

7. Pinjamkan Hatiku 

Gandingan pelakon utama filem ini, Shaheizy Sam bersama Ayda Jebat menjadi formula terbaik untuk menarik perhatian peminat menonton filem ini apatah lagi ia adalah sebuah kisah cinta garapan pengarah terkenal, Osman Ali yang popular menerusi naskhah cinta yang meruntun perasaan. 

Ketika filem ini masih lagi ditayangkan pada masa kini, kontroversi timbul membabitkan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang bertindak merakam secara haram dan memuat naik ke media sosial, Facebook untuk tayangan umum secara percuma.

Kutipan semasa filem ini sebanyak RM1 juta adalah lebih baik dibandingkan kutipan filem arahan sebelumnya, Kau Yang Satu yang menerima RM764,921.

8. Kimchi Untuk Awak

Aiman Hakim Ridza dan Emma Maembong digandingkan sebagai pelakon utama filem Kimchi Untuk Awak.


Pengarah, Michael Ang sebelum ini pernah membuktikan drama bersiri arahannya seperti Suri Hati Mr Pilot dan Hero Seorang Cinderella berjaya mencipta fenomena dalam kalangan penonton. 

Kehebatan dua drama bersiri itu yang ditayangkan di saluran Astro Ria secara tidak langsung menaikan populariti pelakon utamanya, Fattah Amin bersama Neelofa menerusi Suri Hati Mr Pilot diikuti Hero Seorang Cinderella lakonan bersama Nur Fazura.

Kehebatan Michael dalam pengarahan menjadi pertaruhan menerusi filem pertama arahannya berjudul Kimchi Untuk Awak. Dijayakan Aiman Hakim Ridza dan Emma Maembong sebagai pelakon utama, filem terbitan Astro Shaw Sdn Bhd ini sekadar meraih kutipan sebanyak RM873,583.

9. Goodbye Mr Loser

Satu lagi filem bukan Bahasa Malaysia yang disifatkan antara filem tempatan yang berjaya mendapat perhatian penonon di pawagam adalah filem 'Goodbye Mr Loser' arahan Adrian The Kean Kok.

Filem Mandarin membawa genre komedi ini sebenarnya karya 'remake' daripada filem judul yang sama yang pernah diterbitkan pada tahun 2015. Sungguhpun ia adalah filem 'remake', ia mencatat kutipan sebanyak RM801,250.

10. Kau Yang Satu

Pengarah Osman Ali cuba bereksperimen sebuah kisah cinta adaptasi novel lakonan utama, Datuk Aaron Aziz bersama Izara Aishah.

Sepertimana kisah filem Pinjam Hatiku, filem ini terlebih dulu menjadi mangsa cetak rompak selepas dua seminggu tayangannya di pawagam. Modus operandi penyangak ini juga sama iaitu menayangkannya menerusi media sosial iaitu Facebook.

Kutipan filem terbitan Astro Shaw bersama Global Station ini sebanyak RM764,921 dianggap lebih baik dibandingkan Langit Cinta yang ditayangkan pada tahun lalu dengan kutipan  RM663,540.
 
 
 
Comments