Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Lima 'Scammer' Paling Kejam Dalam Sejarah Negara

Biarpun dianggap 'Old School' kehadiran 'scammer' ini masih boleh memerangkap mangsa baru.

0
comments
Lima 'Scammer' Paling Kejam Dalam Sejarah Negara
Teknik pemalsuan wang ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia kerugian ribuan ringgit. (Gambar: Indonesiaexpat)
Angka kerugian saban tahun mencecah jutaan ringgit tetapi ibarat kisah penghujung yang tiada kesudahan, masih ada yang terpedaya dengan sindiket atau penipu dikenali sebagai ‘scammer’ ini.
 
Lihat saja di sekeliling kita, pasti mempunyai pengalaman ditipu 'scammer'. Malah, lebih teruk ada yang sampai sanggup membuat pinjaman bank atau menggadai tanah dan harta untuk menyertai sindiket terbabit.
 
Namun, tahukah anda sejak 10 tahun lalu terdapat puluhan jenis sindiket dikesan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jumlah kerugian pasti buat anda tergamam! Tanpa belas kasihan mereka ini mengaut bilion ringgit wang rakyat Malaysia!
 
Rojak Daily Skop! mengupas kembali senarai ‘scammer’ yang pernah menggemparkan negara kita beberapa tahun lalu:

1. GORES DAN MENANG

Masih ingat lagi kehadiran sindiket ini? 
Sindiket penipuan ini boleh dikatakan antara yang ‘old school’ dan rasanya pada zaman serba moden mungkin penipuan gores ini tidak lagi relevan.

Secara asasnya penipuan ini berlaku sebaik anda diberikan sekeping kad untuk digores dan apa yang tertera pada kad menunjukkan apa yang boleh anda menangi.
 
Hadiah yang menarik selalunya agak mewah seperti kereta, pakej pelancongan dan barangan elektrik ditawarkan. Bagi menuntut hadiah tersebut, mereka kemudian meminta anda untuk membayar sejumlah wang yang kononnya adalah dianggap cukai khidmat kerajaan.
 
Setakat ini jumlah kerugian paling tinggi dicatatkan adalah berlaku di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM1.5 juta pada tahun 2015. Selepas itu sindiket ini mula berkurangan tetapi tidaklah lenyap sepenuhnya kerana terdapat juga beberapa laporan dikenalpasti setahun selepas itu.
 
Ini antara taktik dan modus operandi yang didedahkan PDRM:
  • Mangsa didatangi suspek dan meminta mangsa menggores kad yang disediakan. 
  • Sindiket meminta mangsa datang ke pejabat syarikat bagi meneruskan proses seterusnya. Syarikat ini biasanya tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mempunyai lesen di bawah Akta Jualan Langsung.
  • Bagi menyakinkan mangsa, sindiket akan menunjukkan kepada mangsa keratan akhbar mengenai kereta mewah yang kononnya dimenangi peserta lain tanpa disedari, ia sebenarnya adalah helah semata-mata. 
  • Mangsa diminta menyerahkan sejumlah wang yang kononnya cukai khidmat kerajaan. Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas mendapati barangan yang diberi tidak berkualiti dan tidak sepadan dengan jumlah wang yang diserahkan.
 
2. SKIM CEPAT KAYA ATAU PIRAMID MLM

Hanya kerana mahu cepat kaya, ramai sudah kecundang. 
Penipuan jenis ini boleh dikatakan antara yang paling ‘kejam’ kerana ramai mangsa adalah golongan bawahan termasuk warga emas.
 
Malah, jumlah wang yang terpaksa dilaburkan bukan sedikit dan selalunya individu yang terpedaya dengan skim ini sanggup membuat pinjaman bank biarpun baru setahun jagung bekerja.
 
Bagi warga emas pula ramai yang sanggup menggadai tanah semata-mata untuk melabur. Kes sebegini banyak dilaporkan pada permulaan MLM sekitar 10 tahun lalu.
 
Selain itu skim ini turut berkait rapat dan skim cepat kaya yang menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil. Disebabkan itu juga jumlah kerugian jenis scam ini antara yang paling tinggi dicatatkan.
 
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani, polis menerima laporan kerugian kira-kira RM4.4 bilion melibatkan 24 penipuan skim pelaburan sejak Julai 2013 sehingga September tahun ini.
 
Dalam tempoh empat tahun ini, sebanyak 1.7 juta mangsa dilaporkan dan polis menerima laporan lebih 2,500. Jumlah ini saja sudah membuktikan sindiket pelaburan Piramid ini banyak helahnya!
 
Modus operandi:
  • Pada mulanya ahli sindiket akan mengajak mangsa supaya keluar minum petang atau makan malam untuk membincangkan peluang perniagaan. Ini perkara biasa! rakan tidak rapat pun boleh jadi rapat.
  • Selepas itu, ahli sindiket bercerita tentang skim perniagaan di mana mangsa hanya perlu mencari ahli baru untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda dalam masa yang singkat.
  • Skim pelaburan ini menjelaskan di mana terdapat beberapa pangkat di dalam syarikatnya seperti Grand Duke @ Arch Duke, Duke, Marquis, Count, Baron, Francais dan Members.
  • Ahli sindiket juga biasanya akan menggunakan kenderaan-kenderaan mewah untuk menarik perhatian mangsa sebagai 'down line'.
  • Mangsa kemudian berasa tertipu apabila pulangan yang dijanjikan tidak diperolehi.

3. 'BLACK MONEY' ATAU PENIPUAN AWANG HITAM

Sindiket ini pernah kecoh satu ketika dahulu. 
Ini juga antara yang klasik kerana ia pernah menggemparkan negara sejak tahun 2001. Penipuan melibatkan mata wang asing atau lebih dikenali sebagai 'Black Money Scam' adalah satu penipuan oleh sindiket warga Afrika.
 
Mereka memperdaya mangsa yang dikenali di media sosial untuk mengeluarkan sejumlah wang kononnya untuk membeli sejenis bahan kimia yang didakwa boleh mencuci ‘wang’ dan dijanjikan hasil lumayan.
 
Sejak tahun 2004 sehingga 2008, polis menerima sekurang-kurangnya 20 kes mangsa penipuan 'black money' membabitkan kerugian mencecah kira-kira RM4 juta. Malah, terdapat seorang mangsa iaitu ahli perniagaan mengalami kerugian kira-kira RM1.9 juta.
 
Modus operandi:
  • Suspek menggunakan keratan kertas hitam dollar Amerika Syarikat kononnya wang kertas tulen yang sengaja dihitamkan ('black money') untuk diseludup keluar negara tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.
  • Wang tersebut kononnya wang kekayaan bekas diktator yang meninggal dunia.
  • Mangsa ditawarkan sebahagian daripada kekayaan tersebut sekiranya membantu membiayai kos membeli cecair kimia untuk membersihkan wang hitam tersebut.
  • Mangsa terpedaya dengan tawaran berkenaan dan sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli cecair kimia yang dikatakan ‘mahal’ itu.
  • Setelah memperolehi wang daripada mangsa, suspek menghilangkan diri.

4. MACAU SCAM

Awas dengan sms atau panggilan daripada individu atau agensi mencurigakan 
Sindiket ini telah lama bertapak di negara ini. Namun, sehingga kini kewujudannya masih tidak mampu dibendung. Ada saja panggilan mencurigakan!
 
Sindiket ini sebenarnya didalangi oleh warga tempatan dan warga asing yang membuat panggilan telefon secara rambang dengan mendakwa mewakili mana-mana institusi kewangan.
 
Panggilan tersebut dibuat bagi pengesahan transaksi kad kredit yang kononnya milik anda. Taktik ini digunakan untuk memperdaya mangsa dan boleh menyebabkan kerugian berjumlah ribuan ringgit.
 
Malah, ada diantaranya menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan penipuan. Panggilan palsu berkenaan dikategorikan sebagai 'telecommunication fraud' atau Macau Scam.
 
Modus Operandi:
  • Mangsa mendapat panggilan telefon mengatakan kad kreditnya di sebuah bank tempatan digunakan di sebuah pusat membeli-belah.
  • Mangsa menafikan mempunyai sebarang kad kredit di bank tersebut dan sindiket berjanji akan berhubung dengan BNM mengenai masalah tersebut.
  • Beberapa minit kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang kononnya daripada BNM dan meminta semua maklumat peribadi mangsa.
  • Bagi menyekat kad kredit supaya tidak disalahgunakan, mangsa diarahkan pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
  • Apabila sampai di ATM, mangsa sekali lagi menerima satu panggilan telefon yang memberikan arahan sehingga transaksi selesai.
  • Mangsa hanya sedar ditipu setelah transaksi selesai. Tanpa disedari mangsa telah membuat pemindahan wang kepada akaun pihak ketiga.

5. LOVE SCAM

Bukan saja orang muda, warga emas pun jadi mangsa. 
Sasaran mangsa untuk jenis penipuan ini pastinya golongan yang kesunyian dan memerlukan teman hidup.
 
Memancing cinta menggunakan kata-kata romantis dan janji-janji palsu untuk memperdaya mangsa merupakan satu lagi taktik penipuan ‘Love Scam’ yang digunakan untuk menjerat wanita dan lelaki.
 
Selain yang masih bujang, penipuan ini juga hebat dalam menjerat golongan emas berusia 50 tahun ke atas. Terdapat beberapa warga emas wanita yang kecundang dengan penipuan ini.
 
Menurut maklumat didedahkan oleh Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sebanyak 5,456 kes penipuan cinta dalam talian melibatkan kerugian lebih RM215 juta telah direkodkan sejak tahun 2013 hingga Ogos tahun ini.
 
Modus Operandi:
  • Mangsa berkenalan dengan 'scammer' ini melalui emel, facebook, twitter dan lain-lain media sosial.
  • Suspek akan menggunakan kata-kata manis, janji-janji palsu dan panggilan manja untuk menawan hati mangsa.
  • Dalam tempoh perkenalan tersebut, mereka tidak pernah bertemu dan perhubungan menjadi bertambah erat melalui perbualan telefon.
  • Setelah mangsa terjerat dengan cinta suspek, suspek mula menagih simpati dari mangsa dan meminta pelbagai pertolongan kewangan daripada mangsa.
  • Mangsa yang terpedaya akan memasukkan wang ke dalam akaun suspek. Setelah sejumlah wang dimasukkan, suspek akan terus menghilangkan diri.

KENALI SCAM

Setiap tahun Bank Negara Malaysia mengeluarkan ratusan senarai 'scammer' di Malaysia.
Selain daripada jenis 'scammer' di atas, terdapat juga beberapa penipuan cara lain yang menjengah banyak negara. Antaranya adalah penipuan E-Dagang, penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kad kredit dan beberapa penipuan berbentuk jongkong emas dan tiket pelancongan.
 
Bagaimanapun, sebelum anda terjerat dengan sindiket baru atau lama ini, terdapat beberapa langkah awal yang anda harus tahu.
 
Menurut Penceramah dan mentor pelaburan terkenal Azizi Ali ‘scammer’ ini sebenanrya tidak susah untuk dikenal pasti. Jika anda memahami helah dan konsepnya, anda mungkin selamat daripada ancaman ini.

Cara kesan 'scammer':
  1. Semak laman sesawang BNM iaitu senarai institusi kewangan yang berdaftar. Jika nama syarikat tersebut tidak tersenarai, ia tidak mempunyai lesen dan juga kebenaran untuk menawarkan produk kewangan di Malaysia. Ini bermakna syarikat tersebut telah melanggar undang-undang, oleh itu risiko untuk melabur dengannya amat tinggi.
  2. Lihat pulangan pelaburan (ROI) yang diberikan oleh skim tersebut. Walaupun kita semua sememangnya mahukan ROI yang tinggi, pulangan itu mestilah angka yang munasabah dan masuk akal.  Sukar untuk mendapat pulangan melebihi 15 peratus setahun secara konsisten di Malaysia, jadi mana-mana skim yang menjanjikan pulangan melebihi 15 peratus setahun adalah amat mencurigakan.
  3. Jika pulangan diberikan begitu tinggi dan menarik, sudah tentu semua media di Malaysia dan di dunia termasuk CNN, Fortune dan Forbes akan memberi liputan meluas kepada pengurus dana tersebut. Jadi, jika tidak ada liputan oleh media maka sekali lagi skim itu amat mencurigakan.
  4. Jika pelaburan tersebut memberikan pulangan bulanan/mingguan/harian, maka besar kemungkinan ini adalah scam.
  5. Jika satu pelaburan, dana itu perlu mempunyai prospektus dan laporan tahunan. Maklumat seperti objektif dana, sejarah, pulangan, risiko, kegunaan wang yang dikutip, nama pengurus, kelayakan pengurus dan pengalaman pengurus mestilah ada dalam dokumen. Maklumat ini penting untuk kita membuat analisis dan penyelidikan tentang skim tersebut.

Selain daripada mengenali konsep pelaburan yang mencurigakan, anda juga harus berwaspada dengan setiap sms, panggilan atau individu yang menegur anda di media sosial.

'Tips' daripada pihak PDRM:
  1. Pengguna Internet perlu tahu bahawa terdapat akaun media sosial yang menggunakan identiti palsu di ruang Internet.
  2. Jangan mudah bersimpati dan memberikan butir peribadi atau maklumat akaun kepada kenalan baru di Internet.
  3. Jangan mudah percaya dengan panggilan telefon oleh mana-mana individu yang mendakwa diri sebagai pegawai kerajaan atau swasta (pegawai polis, pegawai BNM atau pegawai bank) memaklumkan akaun bank anda digunakan oleh orang lain.
  4. Semak dengan pihak yang bertanggungjawab terlebih dahulu.
  5. Jangan menghubungi nombor telefon yang diberikan oleh mana-mana individu yang melalui telefon, sebaliknya hubungi nombor rasmi agensi tersebut.
Orang ramai juga boleh membuat semakan dengan agensi penguat kuasa lain untuk pengesahan aktiviti-aktiviti yang berkaitan:
 
 
Comments