Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Terpaksa Naik Tangga Curam, Berlumut Sebab Nak Makan

'Makan at the Basikal' menjadi kafe berkonsep 'hipster' yang menarik ramai pengunjung.

0
comments
Terpaksa Naik Tangga Curam, Berlumut Sebab Nak Makan
Cabaran buat pengunjung untuk singgah di Makan at the Basikal adalah menaiki tangga yang curam sebelum dapat menjamu selera. (Gambar: Adelia Amin)
Siapa sangka, lorong belakang yang agak suram dan sunyi sebenarnya ada sebuah kafe hipster yang unik dan menarik. Terletak di lorong belakang Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, 'Makan at the Basikal' tidak susah untuk dijejaki.

Berhampiran pejabat NSTP Bangsar, 'Makan at the Basikal' mengetengahkan hiasan cat mural yang agak 'rare' dengan lukisan monyet berbaju kuning sedang menaiki basikal di laluan pintu masuknya. 

Tidak seperti kafe lain, laluan masuk 'Makan at the Basikal' milik anak muda bernama Akmal Azfar ini, agak mencabar kerana anda perlu mendaki tangga yang agak curam dan berlumut. Jaga-jaga, jangan silap langkah ya!

Di tingkat 1, anda akan menemui bengkel milik Akmal, 29, dan satu sudut lain, terdapat sebuah rumah rehat, 'Tido at the Basikal' yang menempatkan tiga bilik tidur kecil khusus untuk pengembara yang mempunyai bajet sedikit.

Di tingkat dua, anda pasti akan terpegun dengan ruang lanskap kafe 'Makan at the Basikal' yang menggunakan roda basikal sebagai hiasan utama ruang makannya. Berkonsepkan ruang terbuka, premis perniagaan ini menghadap laluan LRT dan beberapa bangunan penempatan di kawasan Bangsar.


REKAAN CITARASA SENDIRI

Konsep Makan at the Basikal memang cukup unik dan mempersonakan pengunjung yang hadir.


Lazimnya, pemilik restoran akan menggunakan khidmat perunding perhiasan tetapi bagi Akmal, dia lebih selesa mereka hiasan dalaman kafenya mengikut citarasa dan keinginannya sendiri. Dibina dan diilhamkan bersama-sama bapanya dan ahli keluarga yang lain, konsep 'Basikal at the Makan' adalah gambaran bagi seluruh ahli keluarganya yang sangat meminati aktiviti berbasikal dan kepakaran bertukang dan membaik pulih basikal.

Kafe ini diusahakan oleh ibunya, Salmah Viran, 57, dan adiknya Azyan Fairuz, 27, yang sangat peramah. Dari saat pertama kali anda menjejaki kafe ini, anda akan diterangkan menu istimewa di sini dan selepas membuat pesanan, anda boleh mengambil gambar di semua sudut kafe yang begitu unik dan menarik.

Antara menu istimewa yang harus anda cuba adalah mi kari ketam, laksa asam, laksam Terengganu, nasi lemak ayam dan pelbagai menu sampingan yang sangat sedap. Saiz makanan juga memang berbaloi dan harganya pula sangat berpatutan bermula dari RM6.

Penggemar ketam pastinya teruja jika menjamah mi kari ketam di Makan at the Basikal.

Bagi pilihan  minuman pula, sudah tentu minuman teh bunga pilihan yang tepat bagi menghilangkan rasa haus selepas penat mendaki ke kafe ini. Dibuka penghujung tahun 2016, Salmah menyatakan kafe ini dibuka selepas anaknya Akmal memintanya untuk membuka sebuah kafe dan memasak lauk kegemarannya. 

"Anak makcik kata susah nak cari makanan sedap kat Bangsar ni, selepas buka pusat membaiki basikal di tingkat bawah, dia bagi idea nak buka kafe di 'rooftop' (ruang atas bumbung). 

"Saya pun memang galakkan dia buat apa yang dia minat dan selalu sokong apa saja niatnyya. Operasi kafe ini juga semakin mudah dengan dibantu anak-anak yang lain," katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Salmah berkata, dia cuba mengekalkan keaslian rasa masakannya dan cuba memberikan yang terbaik kepada setiap pelanggannya dengan tidak lokek ketika menyediakan setiap menu yang dihidangkan.

Bagi mereka yang mencari masakan asam pedas paling sedap, mungkin selera anda ada di Makan at the Basikal.


"Saya mahu setiap pelanggan yang datang rasa seperti menikmati makanan di rumah. Mereka boleh berehat dan menikmati makanan dengan tenang sambil tengok pemandangan bandar," ujarnya.

Makan at the Basikal dibuka pada Isnin sehingga Sabtu bermula jam 11.30 pagi sehingga 11 malam. Bagi mereka yang tidak biasa dengan jalan di kawasan Bangsar, boleh mencari lokasi kafe ini menerusi aplikasi Waze, 'Makan at the Basikal' atau boleh juga menghubungi mereka di talian, 012-645 9560.
 
 
Comments