Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Cukai GST Terhadap 60 Barang Makanan Pengguna Batal

Cadangan pelaksanaan cukai baru itu menimbulkan persoalan ramai pengguna di media sosial.

0
comments
Cukai GST Terhadap 60 Barang Makanan Pengguna Batal
Pelaksanaan GST terhadap 60 barang makanan pengguna sebelum ini dikatakan akan dilaksanakan bermula 1 Julai ini. (Gambar: banten.co & tokopedia.com)

Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengumumkan pembatalan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap 60 jenis barangan makanan yang dikatakan akan dilaksanakan pada 1 Julai nanti.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Indera Subromaniam Tholasy berkata, pihaknya telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan dan membuat keputusan supaya P.U. (A) 162 Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar)(Pindaan)(No.2)2017 dibatalkan.

Beliau mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik menerusi akaun Facebook, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kastam Malaysia (Twitter) hari ini.

Semalam, akhbar berbahasa Cina, China Press melaporkan lebih 60 jenis barangan makanan akan dikenakan GST bermula dari tarikh tersebut. Laporan The Star juga menyatakan perkara itu yang disahkan Subromaniam.

Menurut China Press, barangan yang akan dikenakan GST adalah kentang, kacang panjang, kacang, bayam, jagung manis, bihun, kuetiau, laksa dan minyak kelapa. Barangan makanan lain termasuk makanan laut tertentu seperti belut dan ikan todak, sayur-sayuran, teh, kopi, rempah, dan buah-buahan yang diimport seperti avocado, buah ara, anggur, ceri dan beri.

GST telah mula diperkenalkan oleh kerajaan dalam bentuk cukai 6 peratus ke atas barangan dan perkhidmatan bermula 1 April 2015.

 
 
Comments