Rojak Daily Logo

Mengapa Golongan Anti Vaksin Menolak Imunisasi?

0
comments
Mengapa Golongan Anti Vaksin Menolak Imunisasi?

Sungguhpun tubuh mampu menghasilkan antibodi sendiri tetapi suntikan tambahan ini amat perlu terutama kepada golongan kanak-kanak kerana sistem imuniti mereka belum matang dan mudah terdedah kepada penyakit. Atas sebab itu Kementerian Kesihatan Malaysia mewajibkan bayi dan kanak-kanak di Malaysia diberikan suntikan vaksin lima serangkai yang boleh didapati secara percuma di mana-mana klinik kesihatan.

Gambar: etsonline.com

Kes kematian kanak-kanak akibat dipteria baru-baru ini bukan sahaja membuka minda masyarakat tentang bahaya penyakit ini malah lebih daripada itu menyentuh isu pengambilan vaksin. Dipteria termasuk dalam lima vaksin serangkai yang dikenali DTaP-IPV/Hib untuk penyakit difteria, pertusis, tetanus, polio dan Haemophilus Influenza Jenis B yang diberikan pada bayi umur dua, tiga dan lima bulan sebagai dos utama dan umur 18 bulan sebagai dos tambahan. Imunisasi bukan jaminan kanak-kanak itu bebas sepenuhnya daripada jangkitan penyakit berbahaya tetapi gejala yang dialami mereka lebih ringan.

Gambar: inhabitat.com

Kes tujuh adik beradik dari Kuala Muda Kedah yang dimasukkan ke hospital, seorang daripadanya yang berusia dua tahun meninggal dunia dan enam adik beradiknya yang lain dalam lingkungan usia 10 bulan sehingga 11 tahun turut disyaki dijangkiti difteria. Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail yang dipetik daripada mstar, daripada tujuh kes tersebut, empat daripada mereka iaitu yang berumur 10 bulan, dua tahun (yang telah meninggal dunia), tiga tahun dan empat tahun didapati tidak mendapat pelalian difteria.

Gambar jadual pengambilan vaksin: jknperlismoh.gov.my

Vaksin: Pemberian antigen tertentu kepada kanak-kanak melalui suntikan atau oral, bagi membentuk imuniti dalam badan.

Cara Dihasilkan: Vaksin dihasilkan dengan mengambil sebahagian kecil bakteria atau virus atau keseluruhan virus yang telah dilemah atau dimatikan untuk disuntik ke dalam badan. Tujuannya, untuk membentuk antibodi atau pertahanan dalam tubuh supaya kuman tertentu yang memasuki badan akan membina antibodi sebagai kumpulan pertahanan untuk melawan, menyerang dan memusnahkan kuman.

Penyakit Yang Boleh Dicegah Menerusi Pemberian Vaksin: Antaranya termasuklah Haemophilus Influenza Jenis B (Hib) yang menyebabkan meningitis dan pneumonia, hepatitis B yang menyerang hati, human papillomavirus (HPV) yang menyebabkan kanser serviks dan jangkitan seks, demam campak menyebabkan buta dan encefalitis, meningitis A iaitu jangkitan pada otak, beguk, pneumococcal, polio, rotavirus yang menyebabkan cirit-birit, rubella, kancing gigi dan demam kuning.

Alasan Anti Vaksin

Gambar: www.theage.com.au

1) Pengambilan vaksin boleh memberikan kesan sampingan serius sehingga menyebabkan kematian. Hakikatnya kesan sampingan akibat imunisasi selalunya adalah ringan dan tidak berbahaya berbanding dengan kesan jangkitan penyakit itu sendiri. Kesan sampingan yang kerap dilaporkan adalah demam dan sakit di tempat suntikan. Namun terdapat kes gangguan usus besar di Amerika Syarikat akibat pengambilan vaksinasi rotavirus; kes ini hanya satu daripada 20,000 bayi.Sejak Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan dijalankan, Di Malaysia, kematian kanak-kanak telah menurun sebanyak 85% bagi tempoh 1970 hingga 2000. Imunisasi berjaya membasmi cacar (smallpox) dari dunia ini. Manakala polio telah berjaya dibasmi di kebanyakan negara di dunia, termasuk Malaysia. Imunisasi bukan saja melindungi penerimanya tetapi juga menghalang penyebaran penyakit tersebut.sebarang kesan sampingan akibat vaksin juga dilaporkan kepada WHO dan data dikongsi dengan semua negara. Justeru, sebarang kesan sampingan berbahaya dapat diambil tindakan secara bersepadu pada peringkat antarabangsa. Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau sebarang kesan sampingan selepas imunisasi, masyarakat boleh membuat laporan kepada mana-mana ahli profesional kesihatan atau terus kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.

2) Vaksin mengandungi bahan berbahaya. Vaksin tidak mengandungi bahan-bahan yang boleh merosakkan tubuh manusia sebaliknya mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal (atau thimerosal) yang mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Raksa ini tiada kaitan dengan sebarang kesan methyl merkuri yang bersifat toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik menunjukkan bahaya bahan ini. Bahan penstabil berfungsi mencegah komponen vaksin dari melekat di dinding botol vaksin dan mengekalkan keselamatan serta keberkesanan vaksin di dalam keadaan dan suhu yang pelbagai. Gelatin dan lactose-sorbitol adalah contoh bahan penstabil. Adjuvan ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindakbalas sistem ketahanan tubuh terhadap vaksin. Adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (dikenali sebagai alum). Pengambilan aluminium dari vaksin adalah lebih rendah berbanding dengan pengambilan harian dari makanan atau ubat-ubatan seperti antasid. Kemerahan dan bengkak pada tempat suntikan selalunya berkait dengan vaksin yang mengandungi aluminum berbanding vaksin yang tiada kandungan aluminium, namun kesan ini selalunya ringan. Vaksin juga mengandungi bahan aktif dari bakteria atau virus iaitu antigen yang membantu tubuh manusia menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit apabila dijangkiti.

3) Vaksin mengandungi bahan haram seperti DNA khinzir. Sesetengah vaksin sememangnya mengandungi gelatin khinzir sebagai stabiliser tetapi jika muzakarah ulama telah mengeluarkan fatwa suntikan vaksin dibolehkan dan harus atas beberapa faktor, mengapa kita perlu meraguinya lagi? Menurut syarak juga, imunisasi merupakan satu jalan pencegahan. Pencegahan adalah perkara yang amat dituntut dalam Islam. Tambahan lagi kesihatan individu merupakan tuntutan agama dan kehidupan yang memberi manfaat kepada kehidupan seluruh umat manusia. Dalam isu ini, vaksin bukan lagi merupakan kehendak seseorang, tetapi sebagai ikhtiar dan menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

4)Beberapa ibu bapa merasakan jika anak orang lain sudak diberi suntikan maka memadai bagi anak mereka untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin. Hakikatnya mereka bakal mendedahkan anak-anak orang lain kepada bahaya jika anak mereka tidak divaksin. Ini dipanggil imuniti berkumpulan. Jika semakin ramai mempunyai mentaliti seperti anti vaksin, lama kelamaan kesan imuniti ini akan hilang. 

Anda golongan yang mana? Gambar: quietmike.org

Jadi, atas alasan apa anda menolak vaksin? Sudahlah menolak vaksin, anak sakit yang perlu dikurantin pula dibawa keluar ke tempat awam. Mungkin ada sebahagian ibubapa akan mempertahankan pilihan mereka menolak vaksin atas faktor pernah berpengalaman menjaga anak yang sakit akibat divaksin. Mereka memperjuangkan pemberian vaksin adalah pilihan individu. Bukankah pengambilan vaksin juga satu ikhtiar bagi melindungi keluarga anak persekitaran daripada jangkitan penyakit berbahaya? Tepuk dada tanyalah selera.

 
 
Comments