Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Wira Negara Di Sambut Meriah, Berarak Dari KLIA Ke Kuala Lumpur

Ganjaran tambahan RM100,000 untuk pemenang pingat gangsa.

0
comments
Wira Negara Di Sambut Meriah, Berarak Dari KLIA Ke Kuala Lumpur
Atlet paralimpik negara disambut dalam majlis istimewa di KLIA sebelum dibawa berarak ke Kuala Lumpur. (Gambar: kbsmalaysia dan Astro Arena - Instagram)
Empat atlet paralimpik negara yang meraih pingat pada kejohanan sukan dunia itu, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah Ismail bersama kontinjen Malaysia disambut penuh meriah dalam satu majlis sambutan wira negara yang diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor di sini, semalam.

Lebih istimewa ketibaan mereka disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdulllah selaku Penaung Majlis Paralimpik Malaysia serta Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan selain ganjaran sebanyak RM1 juta untuk pemenang pingat emas, ganjaran tambahan RM100,000 juga diberikan pada Siti Noor Radiah yang memenangi gangsa. Kontinjen negara selepas itu dibawa berarak ke Kuala Lumpur melalui KLCC dan Jalan Bukit Bintang. 

Pemenang pingat emas, Ziyad bersama kontinjen paralimpik negara berarak ke KLCC, semalam. (Gambar: kbsmalaysia - Instagram)

Sementara itu, Khairy berkata, pencapaian atlet paralimpik kali ini menunjukkan prestasi terbaik apabila mengatasi sasaran awal dan pencapaian di kejohanan sama di London pada tahun 2012.

"Kami berasa terlalu lama untuk meningkat taraf sukan paralimpik dan menyamakan insentif serta taraf sukan ini sejak tiga tahun lalu. Kini, pasukan paralimpik negara berada di kedudukan 36 daripada 176 negara manakala 6 daripada benua Asia dan kedua di belakang Thailand," katanya pada sidang media.

Dalam pada itu, Khairy menyatakan imbuhan tambahan 10 peratus iaitu 30 peratus daripada ganjaran diterima pemenang pingat kali ini kepada jurulatih mereka. 

Khairy bersama empat pemenang pingat sukan paralimpik Rio hadir pada sidang media yang diadakan di Kompleks Bunga Raya, KLIA, Sepang, Selangor, semalam. (Gambar: Rojak Daily Kaw)

Menurutnya, matlamat selepas ini adalah memperluaskan atlet pelapis dengan menggalakkan lebih ramai golongan kurang upaya (OKU) memilih sukan sebagai kerjaya.

"Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk membawa mereka (wira negara) ke sekolah untuk memberi inspirasi pada pelajar tidak kira OKU atau sebaliknya. Program kejurulatihan dan pembangunan sukan paralimpik akan diperkasakan," katanya. 

 
 
 
Comments



Back to top