Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Dua Lagi Dikesan Dijangkiti Virus Zika

Kes dilaporkan di Setapak, Kuala Lumpur dan Miri, Sarawak.

0
comments
Dua Lagi Dikesan Dijangkiti Virus Zika
Gambar: ellabirdbooks.org
Terkini enam kes dilaporkan dijangkiti virus Zika melibatkan dua adik-beradik yang dikesan di Miri, Sarawak dan Setapak, Kuala Lumpur. 

Menurut laporan Bernama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kes kelima adalah wanita mengandung berusia 35 tahun di Miri yang pernah berkerja di Singapura sebelum ini. Kali terakhir pesakit ini melawat Singapura adalah antara 24 hingga 29 Julai.

Beliau berkata pesakit itu mengalami demam berpanjangan dan selesema serta sakit tekak. Disebabkan itu pesakit ini ke klinik swasta di Miri pada 6 September lalu. "Keputusan ujian Zika yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur dan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan keputusan positif Zika," katanya.

Tambah Dr S. Subramaniam, pesakit itu telah dimasukkan ke hospital di Miri pada Ahad lepas untuk pemeriksaan lanjut dan enam lagi anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda jangkitan Zika.

Walaubagaimanapun, kakaknya yang berusia 39 tahun dan tinggal di Setapak pula dijangkiti virus Zika selepas mula menunjukkan gejala ruam. Wanita ini mengunjungi adiknya di Miri pada 26 Ogos lepas sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 6 September. Dia telah dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur pada ahad lepas.

Sementara itu, berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan sejak 1 Sept hingga 14 September lepas, sebanyak 68 kes yang didapati mempunyai tanda-tanda virus Zika telah dilaporkan, namun kesemua keputusan ujian adalah negatif.

"Kementerian ingin mengingatkan semua masyarakat termasuk wanita hamil, perlu melindungi diri dari gigitan nyamuk Aedes dengan menggunakan repelen atau pakaian cerah serta menutup anggota badan," katanya.

Tambahnya lagi nyamuk aktif menggigit antara 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang. Oleh itu, penggunaan aerosol  digalakkan di dalam rumah terutama di bawah meja, belakang langsir atau tempat-tempat yang gelap.

Bagi individu yang mengalami gejala seperti demam, ruam dan konjunktivitis serta mempunyai sejarah melawati kawasan yang melaporkan Zika juga dinasihatkan berjumpa doktor dengan segera, katanya.

Sumber: Bernama

 
 
 
Comments