Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Status Terkini Jumlah Pesakit Zika

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam memberikan kenyataan terkini mengenai penyakit berjangkit itu.

0
comments
Status Terkini Jumlah Pesakit Zika
KKM pada masa ini menetapkan wanita hamil mempunyai tanda-tanda dan gejala jangkitan Zika yang disahkan positif, akan dimasukkan ke dalam wad. (Gambar: Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Kementerian Kesihatan Malaysia - Facebook)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan jumlah kes Zika yang disahkan di seluruh negara adalah sebanyak tiga kes berdasarkan pemantauan yang dibuat sehingga hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kes pertama dilaporkan adalah kes import dari Singapura manakala kes kedua dan ketiga merupakan kes jangkitan tempatan yang dilaporkan di Sabah dan Johor. 

"Selain itu, pemantauan KKM juga mendapati daripada 1 September sehingga 6 September 2016, terdapat sebanyak 30 kes yang mempunyai tanda-tanda Zika namun kesemua mereka mempunyai keputusan ujian yang negatif. KKM menasihatkan bagi wanita yang disahkan positif ujian Zika, mereka diminta untuk mengelakkan daripada mengandung dan mengamalkan seks selamat sekurang kurangnya 8 minggu dari tarikh didiagnosis. 

"Manakala bagi lelaki yang disahkan positif Zika juga diminta mengamalkan seks selamat atau mengelakkan dari melakukan hubungan seks untuk tempoh 6 bulan. Untuk mencegah perebakan jangkitan Zika di negara ini, KKM menyarankan agar semua pihak bekerjasama dan memainkan peranan menjalankan aktiviti menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.


Maklumat mengenai penyebaran virus zika kepada orang ramai. (Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia - Facebook)

Tambahnya, KKM pada masa ini menetapkan wanita hamil yang mempunyai tanda-tanda dan gejala jangkitan Zika yang disahkan positif, akan dimasukkan ke dalam wad. Bagi wanita hamil yang tidak menunjukkan tanda-tanda dan gejala tetapi mempunyai pasangan yang disahkan jangkitan Zika, ujian pengesahan Zika akan dijalankan terhadap wanita berkenaan.

"Pada 6 September 2016, KKM telah menerima satu laporan mengenai kes ketiga jangkitan Zika, yang merupakan seorang wanita berumur 27 tahun berbangsa Cina yang menetap di Taman Desa Harmoni, Johor Bharu. Wanita tersebut hamil anak pertama dengan usia kandungan sekitar 3 - 4 bulan lebih. 

"Pesakit mula mengalami gejala ruam, demam dan sakit badan pada 2 September 2016. Beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital kerajaan pada 5 September 2016. Pada 6 September 2016, ujian pengesahan Zika adalah positif bagi wanita ini.


Semua pihak diminta bekerjasama dan memainkan peranan menjalankan aktiviti menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu. (Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia - Facebook)

"Hasil sisatan KKM mendapati kali terakhir pesakit melawat ke Singapura adalah pada enam (6) bulan yang lalu. Namun begitu, suami pesakit berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Geylang, Singapura. Suami pesakit juga telah menunjukkan tanda-tanda jangkitan mulai 2 September 2016 dan kini telah dimasukkan ke wad untuk siasatan lanjut. Pesakit yang hamil ini juga di bawah pengawasan Obstetrik dan Ginekologi untuk pemantauan berterusan terhadap ibu dan bayinya. 

"Ibu beliau yang juga merupakan kontak kepada pesakit ini tidak menunjukkan sebarang simptom Zika, tetapi akan turut disaring. Kawalan vektor telah dibuat dengan serta-merta di rumah kediaman pesakit dan kontak terdekat pesakit, selain semua kawasan yang pernah dikunjungi pesakit di Johor. Sehingga kini, 400 buah rumah telah diperiksa dan 450 premis telah disembur. Active Case Detection sedang dilaksanakan," katanya.
 
 
Comments



Back to top