Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Tanggungjawab Tetap Tanggungjawab, Hal Peribadi Saya Uruskan Sendiri

Adi Putra luangkan masa lawat remaja berpenyakit tulang belakang

0
comments
Tanggungjawab Tetap Tanggungjawab, Hal Peribadi Saya Uruskan Sendiri
Adam Akhbar Ali memerlukan RM860,000 untuk rawatan
“Masalah sendiri belum selesai tetapi saya ada tanggungjawab pada masyarakat. Sesukar mana pun dugaan hidup yang saya hadapi namun kepada yang memerlukan bantuan,  saya sedia melakukan apa yang patut,” kata Adi Putra yang  meluangkan masa melawat remaja menghidap penyakit tulang belakang bengkok iaitu Adam Akbar Ali, 14, di kediaman keluarganya di Nilai, baru-baru ini.
   
Ujarnya lagi, cerita peribadinya biarlah dia uruskan sendiri dan demi keyakinannya kepada Yang Maha Esa dia percaya setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya.
   
Lantaran itu apabila dia dapat tahu Adam Akbar Ali, 14, perlukan bantuan peruntukan kewangan sebanyak RM860,000 untuk merawat penyakit tulang belakang bengkok (skoliosis) akibat tumor di luar negara, Adi terus pergi melawat remaja itu di kediaman keluargannya  di Nilai sebelum dia berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardu haji pada 29 Ogos ini.
   
“Sayu hati saya mendengar pendengar penderitaan Adam yang menghidapi penyakit tumor saraf tunjang sejak dia berusia enam tahun lagi. Pada usianya sekarang, sepatutnya dia menikmati detik-detik indah seperti rakan-rakannya yang lain.
 
Adam cemerlang dalam peperiksaan
 
“Bagaimanapun dalam keadaannya begitu Adam cemerlang dalam pelajaran dengan mendapat  5A dalam peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar.
   
“Namun keadaan kesihatannya tidak membenarkan Adam meneruskan pelajarannya di sana dan dengan berat hati bapanya memindahkannya ke sekolah berhampiran rumah mereka,” katanya.
   
Justeru, sebelum Adi  berangkat ke Tanah Suci, dia akan berusaha untuk membantu Adam agar remaja itu pulih seperti biasa.
    
Sementara itu bapa Adam, Pensyarah di sebuah universiti swasta, Profesor Madya Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, penyakit tulang belakang bengkok yang dihidapi anaknya itu disebabkan tumor dan ia berlaku satu dalam sejuta penduduk.  
    
“Pada usia 10 tahun, Adam selamat menjalani pembedahan pertama di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.
  
“Selepas empat tahun menjalani pembedahan itu, keadaan  tumornya sudah pulih namun ia memberi kesan kepada tulang belakang Adam dan keadaan itu  sudah dijangka.
   
“Kini tulang belakangnya membengkok sebanyak 50 peratus dan Adam sering mengalami simptom ringan sakit di bahu serta abdomen,” katanya.
    
Sambung Akbar, melihat keadaan tulang belakang Adam itu, dia  dinasihatkan menjalani pembedahan segera bagi mengelak risiko lumpuh dan kerosakan organ dalaman yang boleh membawa maut.
   
“Setiap kali Adam diserang kesakitan, saya dan isteri (Siti Rogayah Syed Ismail) akan kejarkan dia ke Unit Kecemasan Pusat Universiti Malaya (PPUM) dan menurut doktor di sana pembedahan kali ini berisiko tinggi akan berlaku pendarahan mengakibatkan Adam lumpuh.
 
Mengharapkan orang ramai sudi menghulurkan bantuan untuk pembedahan
 
“Adam tahu apa yang berlaku kepada dirinya kerana kami suami isteri sentiasa bersikap terbuka dengannya dan sebagai ibu bapa kami akan terus berusaha mengubatinya,” katanya.
   
Jelas Akbar, daripada sumbangan pelbagai pihak, setakat ini wang terkumpul sebanyak RM15,000 dan jumlah itu masih jauh daripada jumlah sebenar yang diperlukan. Pembedahan itu tidak boleh dilengahkan dan mereka dijadual berangkat ke Amerika Syarikat pada 25 September ini.
   
“Oleh yang demikian saya berharap ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga untuk mencukupkan jumlah yang diperlukan sebanyak RM860,000 dalam masa terdekat ini.
  
“Pihak universiti tempat saya bekerja juga bercadang untuk mengadakan majlis amal untuk mengumpul dana itu,” katanya.
   
Sumbangan dan derma boleh disalurkan ke akaun  Maybank (512101054830) atas nama, Akbar Ali Mohamed Noordin. Sebarang pertanyaan hubungi 017-6202642.
Emel: akbaralinoordin@gmail.com. FB: Akbaralinoordin.
 
 
Comments



Back to top