Rojak Daily Logo

Tragedi Membeli Belah

0
comments
Tragedi Membeli Belah

Rentetan daripada kejadian terbaru yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera di tangan selepas tersepit pada eskalator di sebuah pasar raya besar di Melaka semalam. Kami kongsikan beberapa kes kemalangan eskalator yang melibatkan kanak-kanak yang berlaku tahun ini dan penghujung tahun lalu.

Gambar: www.galeripustaka.com

15 Jun 2016: Iman Sumaiyah Masri luka tangan kanannya akibat tersepit di bahagian pemegang eskalator ketika membeli kelengkapan lebaran di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Mangsa luka ringan di tangan dan dihantar ke Hospital Pantai Ayer Keroh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

6 Jun 2016: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera pada bahagian kemaluan akibat tersepit di eskalator di sebuah pasar raya di Bagan Serai jam 8.16 malam. Mangsa dipercayai duduk di atas eskalator. Katanya semasa kejadian kanak-kanak tersebut bersama ayahnya sedang menaiki eskalator berkenaan untuk ke bahagian permainan yang terletak di aras tiga premis berkenaan.

8 Februari 2016: Budak lelaki berusia empat tahun putus sebahagian pergelangan kaki kiri akibat tersepit eskalator KL Sentral. Kejadian berlaku jam 3.30 petang ketika mangsa dikatakan sedang turun dari tingkat satu menggunakan eskalator berkenaan. Kaki kanak-kanak terbabit tersepit antara panel besi dan tangga. Dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dikeluarkan dari eskalator. Pergelangan kaki yang putus ditemui pada jam 6.30 petang dan diserahkan kepada HKL untuk tindakan lanjut.

2 November 2015: Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun terpaksa menahan kesakitan hampir 40 minit selepas pergelangan kakinya tersepit di eskalator pusat membeli-belah Suria KLCC. Ketika kejadian, mangsa bersama keluarganya sedang turun dari aras tiga menuju ke aras dua pusat membeli-belah berkenaan sebelum tersepit. Kejadian dipercayai berpunca apabila kasut mangsa tersepit di celah sebelah kiri tangga bergerak tersebut.

23 Julai 2015: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun parah selepas tangannya tersepit pada eskalator sebuah pusat membeli belah di George Town. Kelima-lima jarinya hancur setelah tersepit hampir 30 minit di eskalator berkenaan.

Menurut laporan yang diambil daripada The Malay Mail, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia memaklumkan hampir semua kes kemalangan eskalator di negara ini akibat memakai kasut getah lembut dan memanjat susur tangan. Sehubungan dengan itu, kanak-kanak terutamanya, dinasihatkan agar tidak berada di atas garisan kuning, kaki pula tidak tersentuh berus skirt dan tidak berkaki ayam ketika menaiki tangga bergerak. Sebagai ibubapa, apa yang boleh kita lakukan bagi melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa? Rajah ini boleh dijadikan panduan berguna buat kita:

 
 
Comments