Rojak Daily Logo

250 Rumah Setinggan di Kudat Hangus Terbakar

0
comments
250 Rumah Setinggan di Kudat Hangus Terbakar
Penempatan setinggan. (Gambar: @KKCity)

Hampir 250 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Landung Ayang Laut, Kudat awal pagi Isnin. Kebakaran mengakibatkan lebih 1,000 penduduk hilang tempat tinggal dalam bencana itu. Di sebalik kemusnahan besar yang berlaku, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Kejadian jam 4.50 pagi itu dipercayai bermula dari salah sebuah rumah sebelum api mula merebak dengan cepat kerana keadaan berangin dan kedudukan rumah yang rapat serta diperbuat daripada papan.

Gambar: @KKCity

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata sepasukan anggota bersama tiga jentera telah digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan tentang kejadian. Beliau juga berkata ia tiada kena mengena dengan sebarang unsur khianat dan berlaku disebabkan kecuaian individu. Sehingga kini, punca kebakaran masih disiasat.

Gambar: @KKCity

Selain dari kes kebakaran, penempatan setinggan sering membawa kepada beberapa masalah yang serius seperti pencemaran sungai, pencemaran alam sekitar, banjir serta penularan penyakit berbahaya seperti demam denggi, taun dan malaria. 

Kawasan rumah setinggan yang didiami secara tidak sah di segi undang-undang, tiada sistem perparitan dan sistem kumbahan yang sistematik, serta isu-isu pembuangan sampah sesuka hati sering mengundang kepada perkara-perkara bahaya ini berleluasa.

Sumber: Awani

 
 
Comments