Rojak Daily Logo

Obesiti Di Kalangan Kanak-Kanak Bukan Satu Pilihan

0
comments
Obesiti Di Kalangan Kanak-Kanak Bukan Satu Pilihan
Anda perlu rungsing jika mempunyai anak obesiti. (Gambar Asal: www.gdnonline.com)

Kanak-kanak montel atau tembam dianggap comel tetapi pernahkah kita terfikir jika kemontelan itu berkekalan sehingga dewasa? Sudah tentu pelbagai penyakit mendampingi, dan mereka sendiri mula buntu memikirkan cara terbaik menguruskan badan. Tambah merisaukan dengan serangan pelbagai penyakit berjangkit yang tidak mengenal usia dan jantina. Kegemukan di kalangan kanak-kanak secara dasarnya dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau penjaga bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan yang diambil dalam diet seharian. Namun tidak dinafikan terdapat faktor luaran yang memainkan peranan membentuk tabiat pemakanan anak-anak seperti pengaruh rakan sebaya, gaya hidup dan faktor genetik.

Gambar: jakarta.coconuts.co

Hasil laporan bersama oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ASEAN mendapati beberapa negara ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand berhadapan masalah berat badan berlebihan manakala sebahagian lain mengalami kekurangan zat makanan. Punca masalah ini sukar ditentukan. Kanak-kanak yang terganggu pertumbuhan sejak dilahirkan lebih berisiko mengalami obesiti apabila usia meningkat. Risiko ini bertambah dengan kewujudan makanan ringan serta minuman tinggi kandungan gula dan kurang aktif. Trend yang semakin meningkat ini menyumbang kepada pertambahan penyakit kronik seperti diabetis dan masalah jantung.

Gambar: www.thequint.com

Masalah kekurangan zat makanan pula selain disebabkan oleh kemiskinan turut disumbangkan oleh diet tradisional yang kurang kandungan nutrisi, kekurangan air bersih dan sanitasi. Masalah ini lebih tinggi di Kemboja, Laos, Myanmar, Indonesia dan Filipina. Menurut Astro Awani yang dipetik daripada Laporan Serantau mengenai Jaminan Zat Makanan di ASEAN, lebih 7% kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Malaysia dikenal pasti mempunyai berat badan berlebihan manakala 8% lagi mengalami kekurangan zat makanan akut. Laporan itu juga menyatakan hampir seorang daripada setiap lima kanak-kanak di Malaysia terbantut atau terlalu rendah bagi usia mereka dan trend itu semakin meningkat di beberapa negara anggota ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.

Gambar: www.huffingtonpost.com

Penasihat Pemakanan Rantau Asia Timur dan Pasifik Unicef, Christiane Rudert berkata usaha mencegah obesiti dan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak perlu bermula sejak peringkat prahamil, ketika hamil dan dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan kanak-kanak. Cara memberi makan dan kesedaran tentang pentingnya diet sihat untuk menjamin pertumbuhan sihat kanak-kanak perlu diberi penekanan untuk menangani masalah itu. Beliau berkata dasar dan undang-undang kukuh juga perlu diwujudkan berkaitan amalan makan secara sihat seperti cukai gula yang dikenakan di Mexico.

Sementara itu Pengarah Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Zalma Abd Razak, berkata faktor yang menyumbang kepada masalah itu termasuklah budaya makan secara tidak sihat seperti kurang makan buah-buahan, sayur-sayuran dan susu seperti yang disyorkan pakar kesihatan. Pebagai usaha dilakukan kerajaan antaranya merangka Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia Mengenai Rangka Kerja Pemakanan 2016-2025 yang memberi fokus terhadap usaha memerangi obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa dan untuk jangka panjang, Kementerian Kesihatan mungkin bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menempatkan pakar pemakanan di sekolah atau pejabat pendidikan daerah.

Gambar: www.scmp.com

Masalah obesiti ini bukan sahaja membelenggu kanak-kanak Asia, satu daripada lima orang kanak-kanak di Amerika diklasifikasikan berlebihan berat badan. Mereka berisiko membesar dalam keadaan berlebihan berat badan dan mengalami penyakit kronik seperti jantung, diabetis, kemurungan, tekanan hidup, masalah tulang, masalah kulit seperti ruam panas serta jangkitan kulat, tinggi kolesterol dan kurang keyakinan diri.

Kebanyakan kanak-kanak hari ini mudah mengalami masalah berat badan kerana gaya hidup yang kurang aktif akibat terlalu terdedah kepada gajet, permainan video dan menonton televisyen. Dianggarkan purata tempoh menonton televisyen kanak-kanak, bermain gajet dan permainan video kira-kira empat jam sehari.

Gambar Asal: www.yummy.co.ke

10 tip Kevin Zahri, Cikgu Fitness Malaysia, buat ibubapa dalam mengawal berat badan anak-anak

1. Biar kasih sayang bertempat: Ramai ibubapa gunakan makanan sebagai tanda kasih dan sayang. Tapi kalau anda betul-betul sayang, janganlah masak atau beli makanan yang menggemukkan sepanjang masa.

2. Teladan yang baik: Kalau anda sendiri mengalami masalah berat badan, cubalah untuk kurangkan berat badan dan menjadi contoh teladan kepada anak anda.

3. Tetapkan peraturan pemakanan: Disiplin dalam pemakanan kanak-kanak tu penting. Macam cikgu sekolah juga, anda perlu tetapkan waktu-waktu makan, bila makanan ringan dibenarkan dan aktiviti riadah. Pastikan anda enforce peraturan dan garis panduan denga konsisten.

4. Makanan ringan untuk hujung minggu: Biarlah makanan sepanjang Isnin hingga Jumaat sihat dan seimbang. Ganjaran makanan ringan seperti ais krim, makanan ringan dan kuih sesuai untuk hujung minggu dan cuti sekolah.

5. Masa riadah setiap hari: Paksa anak-anak anda untuk keluar rumah dan melibatkan diri dalam aktiviti fizikal seperti bersukan, bermain dengan jiran dan lain-lain lagi selama 60 minit setiap hari!

6. Kawal masa permainan video dan telefon bimbit: Kawal waktu dan penggunaan alat permainan serta telefon bimbit kerana kedua-duanya penyebab 'malas'!

7. Sediakan snek sihat: Sarapan, makan tengah hari dan malam mungkin lebih mudah untuk dikawal, tetapi makanan di antara hidangan atau snek adalah pencetus kegemukan kerana selalunya TIDAK dikawal. Pastikan anda sediakan snek yang mudah dan sihat untuk anak-anak seperti sandwich tuna dan buah-buahan.

8. Ketahui keperluan kalori anak anda: Setiap individu mempunyai keperluan kalori yang berbeza, termasuklah kanak-kanak bergantung kepada jantina, umur dan kadar aktiviti harian kanak-kanak tersebut.

9. Buang tabiat lama: Buang tabiat kurang sihat untuk jangka masa panjang. Pastikan perubahan pemakanan dan gaya hidup adalah kekal supaya menjadi tabiat.

10. Tanggungjawab anda: Jangan serahkan tanggungjawab kesihatan anak-anak kepada pihak ketiga seperti pengasuh, cikgu sekolah mahupun orang gaji. Andalah orang yang paling layak mengawal berat badan serta pengambilan makanan mereka.

 
 
Comments