Rojak Daily Logo

Kru Kabin Pikul Tanggungjawab Berat di Dalam Pesawat Terutamanya Keselamatan Anda

0
comments
Kru Kabin Pikul Tanggungjawab Berat di Dalam Pesawat Terutamanya Keselamatan Anda
Baru-baru ini pelbagai perkara berlaku di dalam pesawat penerbangan menjadi viral antaranya kapten berpantun, pramugara membuat aksi lucu ketika penerangan keselamatan sedang dijalankan serta kisah pramugari ditumbuk penumpang yang berang tidak dibenarkan menukar tempat duduk. 
 
Gambar: thenanfang.com
Berada pada paras 30,000 kaki di udara membuatkan kerjaya mereka sebenarnya agak sukar apatah lagi perlu melayan karenah beribu-ribu penumpang sehari. 
 
Bagi Mastura Tugiman, 30, yang sudah tujuh tahun berpengalaman sebagai kru kabin di Air Asia dan Malaysia Airlines, dia sudah masak dengan gelagat penumpang pesawat. Menurut Mastura, “Ramai yang sangka tugas sebagai pramugara dan pramugari adalah mudah. Asalkan ada rupa, boleh jadi. Tetapi ia tidak sekadar itu. Untuk menjadi seorang kru kabin, anda mestilah mempunyai attitude yang baik, aura yang positif dimana anda harus kemas, bersih, berpenampilan elok, grooming adalah sangat penting dan anda juga mesti berpengetahuan.

“Bertemu dengan penumpang dari serata dunia membuatkan seseorang kru kabin perlu berilmu dan bertatasusila kerana apabila kami menyarung unifom kru kabin, ia umpama duta bagi Malaysia Airlines dan kami membawa nama Malaysia. Sebelum bergelar kru kabin, kami turut menjalani latihan di akademi dan latihan ini adalah keperluan mandatori oleh Department of Civil Aviation (DCA).” 
 
Selama bergelar seorang kru kabin dan telah terbang ke sekitar Asia dan Asia Timur, sudah menjadi tugasnya untuk menjaga keselamatan penumpang. Bagi Mastura, penumpang adalah keutamaan dan sebagai pramugari, mereka harus tahu bagaimana untuk menjaga hati penumpang. “Jangan kita sesekali bersikap kurang ajar, pentingkan diri sendiri dan jangan bawa masalah peribadi ke tempat kerja. Penumpang ni ada 1,001 ragam. Apabila berdepan masalah dengan penumpang, kami perlu kawal diri, senyum dan minta maaf. Bila rasa diri tak boleh kawal, minta kru lain untuk ambil alih. Kebanyakan masalah dalam kapal terbang, 90% dapat diselesaikan,” tegas Mastura.
 
Berjayanya sesuatu penerbangan itu bergantung kepada kerjasama sepasukan. Objektif utama sesuatu pesawat itu terbang adalah untuk menghantar dan membawa penumpang kembali dengan selamat. Kata Mastura, “Seseorang kapten akan melakukan apa sahaja untuk memastikan keselamatan penumpangnya dan anak-anak kapal. Bagi beberapa isu yang telah menjadi viral tu, ia adalah satu bonus. Tidak semua penerbangan dapat kapten yang ceria seperti kes kapten berpantun tu. Sekaligus ia membuatkan penumpang ceria dan gembira sepanjang penerbangan. Tetapi bagi kru kabin yang membuat aksi lucu ketika penerangan keselamatan, saya kurang bersetuju kerana keselamatan adalah isu yang sangat kritikal dan ia tidak sepatutnya diambil ringan oleh mereka serta peralatan keselamatan bukan untuk dibuat main,” jelas Mastura lagi. 
 
Sepanjang bergelar kru kabin, dia juga telah berdepan dengan bermacam karenah penumpang. “Antara yang paling saya ingat adalah penumpang yang mengamuk akibat penerbangan lewat tiba sehingga memaki hamun kami. Agaknya dia mabuk dan keadaan menjadi tidak terkawal lalu saya melaporkan perkara tersebut kepada kapten dan kapten menyuruh penumpang tersebut turun dari pesawat. Lagi satu insiden apabila apa seorang penumpang bergurau tak bertempat beritahu ada bom di dalam begnya. Saya memberitahu kapten dan penumpang tersebut turut dihalau dari menaiki penerbangan. Tetapi semuanya tidaklah terlalu teruk sehingga tidak boleh dikawal. Semuanya dalam kawalan kami.”
 
Gambar: Liyana (Kanan)
Bagi Nur Liyana yang mula menceburi bidang penerbangan sejak umur 20 tahun lagi, dia telah berkhidmat dengan beberapa syarikat penerbangan utama Malaysia iaitu Firefly, Malaysia Airlines, Air Asia dan kini sedang mengikuti kursus di Qatar Airways. Kata Liyana, “Ramai yang meyangka tugas seorang pramugari hanyalah seperti pelayan di atas awan namun ia bukanlah semudah yang anda sangka. Latihan untuk menjadi seorang kru kabin adalah sangat susah dan anda harus melepasi pelbagai peperiksaan barulah anda boleh dapat lesen penerbangan.”
 
Untuk bergelar seorang kru kabin, anda perlulah mampu buat berbilang tugas. Menceritakan lebih lanjut pengalamannya, “Di dalam penerbangan, kamilah pelayan, pegawai polis, jururawat, ahli bomba dan banyak lagi serta semua itu termasuk di dalam latihan keselamatan yang perlu kami jalani. Antara latihan yang perlu kami jalani adalah latihan kecemasan jika seorang wanita mahu melahirkan bayi di dalam penerbangan, kami dilatih untuk membantu wanita mengandung tersebut untuk melahirkan bayinya sebelum mendarat di lapangan terbang berdekatan dan jika ada kebakaran di dalam pesawat, kru kabin juga dilatih untuk memadamkan kebakaran.”
 
Bagi Liyana, walaupun berdepan dengan pelbagai karenah penumpang dan pastinya ia bukan mudah, dia suka kerjayanya kerana dapat belajar pelbagai budaya luar. Pernah terbang sekali bersama kapten Shahar yang berpantun di dalam penerbangan Air Asia, “Itu adalah salah satu inisiatif beliau menghiburkan penumpang ketika memberikan informasi. Itulah yang membuatkan sesuatu penerbangan itu istimewa. Mengenali Air Asia yang sememangnya ceria dan mesra pengguna, kru kabin dibenarkan untuk menyanyi, menyambut hari jadi penumpang dan sebagainya asalkan ia tidak melanggar prosedur keselamatan pesawat. Namun ia berbeza dengan penerbangan lima bintang yang lebih formal,” jelas Liyana lagi.

Berikut disertakan antara lima insiden pelik dalam pesawat komersial serata dunia yang pernah dialami oleh kru kabin. Walaupun pelik, tapi ia benar.

1) Diusir kerana menyanyi dengan kuat

Seorang wanita diusir dari pesawat kerana menyanyi lagu ‘I Will Always Love You’ dendangan Whitney Houstan di dalam kabin. Penumpang lain, kru kabin dan juruterbang telah memberi amaran namun tidak diendahkannya. Juruterbang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan dan wanita itu telah dihalau oleh pegawai lapangan terbang. Ketika dihalau, dia masih terus menyanyi.

2) Dibuang di sebuah pulau kerana memaki pramugari

Insiden ini terjadi di syarikat penerbangan Monarch Airline yang terbang dari Britain menuju ke Pulau Canary, Sepanyol. Seorang penumpang mabuk memaki-hamun pramugari dan juruterbang. Perlakuan yang kasar membuat juruterbang marah dan mendarat di sebuah pulau kecil di Afrika Barat lalu mengusir penumpang tersebut.

3) Penumpang mabuk

Penumpang mabuk sering menyusahkan dan juga menggangu penumpang lain. Seperti seorang penumpang ini, dia menyerang penumpang lain dan berteriak-teriak di dalam pesawat. Rimas dengan penumpang tersebut, akhirnya pramugari dibantu penumpang mengikat penumpang tersebut di kerusinya. Insiden tersebut terjadi ketika penerbangan dari Iceland menuju ke Amerika Syarikat.

4) Juruterbang dan pramugari mabuk

Insiden ini terjadi di dalam syarikat penerbangan Donbassaero milik Ukraine. Pemeriksaan ini dilakukan selepas syarikat ini telah melakukan penerbangan. Dari hasil pemeriksaan terdapat data yang meragukan. Semua kru pesawat didapati mabuk dengan kadar alkohol 0.075 - 0.052. Kadar tersebut melebihi had yang dibenarkan di Ukraine.

5) Tarian erotik dalam pesawat

Kejadian ini berlaku dalam penerbangan dari Moscow menuju ke London yang terpaksa dibatalkan. Sebabnya salah seorang wanita tiba-tiba melakukan tarian erotik di dalam pesawat yang sudah berada di udara. Kerana tingkah lakunya yang aneh ketika didalam pesawat serta menganggu penumpang lain, pesawat yang sudah terbang selama 15 minit ini kembali ke Moscow, Russia. Setelah diserahkan ke pegawai lapangan terbang dan menjalani pemeriksaan perubatan, didapati bahawa wanita ini mabuk.

 
 
Comments