Rojak Daily Logo

Trend Pulang Beraya Di Kampung Tapi Menginap Di Hotel?

0
comments
Trend Pulang Beraya Di Kampung Tapi Menginap Di Hotel?
Rumah kampung VS hotel?

Tiba-tiba isu pulang beraya tetapi tidur di hotel menjadi buah mulut masyarakat. Perkara ini bukan lagi baru kerana sudah beberapa tahun lepas sudah ada orang yang melakukannya demi keselesaan.

Pulang beraya di kampung sudah semestinya menjadi kewajiban kerana di rumah datuk dan neneklah kita boleh berkumpul sesama sanak saudara. Mana yang jauh datang berhimpun dan ia mengeratkan silaturahim. Namun bila malam menjelang, ada sebahagian daripada sanak saudara akan menginap ke homestay atau hotel. Apa pula kata datuk dan nenek melihat anak-anak mengangkut cucu mereka menginap di tempat lain?

Penulis dan aktivis popular Saiful Nang memberikan pendapat menerusi laman Facebook:

Saiful dan keluarga. (Gambar: Facebook Saiful Nang)

BALIK KAMPUNG TAPI TINGGAL DI HOTEL

Sebelum pelatah melatah dengan hanya baca tajuk, biar saya awal-awal declare saya tinggal di rumah bukan di hotel. Kedua, saya rasa tak perlu jadikan isu bila ada yang kena duduk hotel. Memang ada yang dah geli dan jijik nak memijak di bilik air yang berlendir lumut hijau sedangkan dulu masa kecil-kecil tempat tu dia selamba jer main slide pakai perut.

Tak dinafikan saya untuk seorang bapa yang berderet-deret anak dara dan isteri yang lawa untuk boleh berkompromi isu aurat. Bukanlah anak-anak dan isteri saya masuk rumah sahaja dah buka tudung dan tukar jadi tshirt atau baju kelawar tetapi kalau dah kena tidur di ruang tamu, bukan ke tak elok nampaknya. Bercampur dengan cousin, biras dan in-law yang bukan mahram buat semuanya menjadi risau.

Tak salah jika sebahagian terpaksa tinggal di hotel dengan niat untuk terus lama balik kampung. Yang jadi mak pak pun janganlah sensitif sangat, kena faham juga masalah anak-anak kita sekarang ni. Dulu zaman orang nak tengok porno kena smuggle VHS tape dan senyap-senyap komplot tengok kat rumah kawan ramai-ramai dan ketika itu umur dah 15 tahun. Tapi sekarang, buka tablet sahaja keluar dah iklan Casino dengan foto lembu-lembu ternakan yang menayangkan susu-susu perahan manusia padahal baru umur 8 tahun. So, zaman pak mak dan zaman kita…fitnahnya berbeza.

Kepada semua, saya harap jangan prejudis kepada yang terpaksa cari homestay dan hotel. Saya duduk rumah kerana cukup bilik yang berpintu dan penjagaan aurat dari percampuran yang tidak terkawal. Kena ingat juga, anak tak berbapak selalu kena mark akan ramai pada bulan 9 (anak New Year) dan bulan 6 (anak Merdeka) tapi orang jarang fikir pada bulan Rajab ramai juga yang lahir anak sedara mara ni.

Sekian
SN

Apa pendapat anda?

Wan Mohd Firdaus, 29

"Pada pendapat saya, tidak sepatutnya la atau tidak digalakkan. Walaupun sesempit mana rumah tu, yang penting keakraban apabila melihat ahli keluarga semua berkumpul. Saya sendiri pernah melalui pengalaman itu ketika kenduri keluarga. Memang seronok tidur ramai-ramai di beranda rumah. Satu pengalaman yang jarang sekali kita akan dapat, sampai tidur lewat sebab seronok berborak apabila berada dalam kalangan adik beradik, sepupu dan saudara-mara. Tetapi jika keadaan tidak mengizinkan sampai terpaksa untuk menempah hotel, boleh saja tapi sebaiknya elakkan."

Syamilatulhani, 33

"Kampung saya terletak di Taiping, Perak. Ketika pulang beraya baru-baru ini, saya menginap di Hotel Flemington, Taiping. Saya mengambil keputusan tidur di hotel sebab di rumah kampung ramai orang dan tak selesa dari segi penjagaan aurat. Saudara mara semua dah besar panjang, terutamanya bila beraya di rumah keluarga mertua. Tetapi hotel itu hanya untuk tidur sahaja, dari pagi sampai malam akan berada di rumah mertua atau beraya di rumah saudara."

Nur Farihah Mat Zain, 34

"Beraya di kampung halaman di Tanah Merah dan Pasir Mas, Kelantan. Saya menginap di Hotel Medina, Tanah Merah. Saya tidur di hotel sebab datuk dan nenek dah tiada. Jadi pulang ke kampung tu tujuan untuk beraya dengan saudara-mara sahaja. Tiada persiapan nak masak-masak untuk raya pun."

Capit Kamaruddin, 29

"Pada saya, keselesaan itu paling utama. Kalau tidur di hotel, senang nak keluar atau balik ikut suka masa kita. Kalau tidur rumah ibu bapa, macam susah nak balik lewat sebab nanti ibu bapa kena berjaga nak buka pintu kalau dah tengah malam. Lagipun di rumah ibu bapa saya, bilik terhad untuk tidur melainkan di ruang tamu sahaja. Saya selesa memilih untuk tidur di Hotel Sentral Riverview, Hotel Swiss Garden atau pun Hotel Swan Garden kerana ia sangat dekat dengan rumah ibu bapa saya."

Lutfi Amir Zulkipli, 23

"Bila keadaan itu memaksa, memang perlu tidur di hotel atau homestay. Ia bergantung pada situasi jugak sebab kadang-kadang rumah mak ayah di kampung kecil, adik-beradik pula ramai dan ada yang dah beranak-pinak. Jadi takkan nak berhimpit sebab bila pagi raya mesti ramai nak guna bilik air.

Ada juga yang tidur di hotel sebab bercampur sepupu lelaki dan perempuan jadi segan tiada tempat untuk tukar baju. Tapi apabila balik kampung dan tidur hotel disebabkan rumah mak ayah tiada penghawa dingin, rumah tak selesa walaupun bilik cukup, itu memang tak boleh diterima. Rumah mak ayah tu la tempat kita membesar. Jadi, ia betul-betul bergantung pada situasi."

Mohd Al Qayum Azizi, 31

"Pandangan mengenai keluarga yang memilih untuk tinggal di hotel pada musim perayaan tidak perlu dijadikan isu sebenarnya. Ini kerana ia bersifat subjektif kepada setiap individu/keluarga mengikut kesesuaian keadaan dan persekitaran. Tambahan pula ia kini mula menjadi trend semasa berikutan pihak hotel turut mengadakan promosi khas bersempena hari raya.

Individu/keluarga yang memilih untuk tinggal di hotel mungkin disebabkan faktor keselesaan tambahan pula jika rumah berkenaan kecil. Selain itu mereka memilih tinggal di hotel kerana ingin menjaga aurat di antara ipar terutamanya golongan wanita. Bagaimanapun itu tidak bermakna mereka boleh mengabaikan rutin/tanggungjawab ketika hari raya seperti berkumpul bersama keluarga, bergotong-royong menyediakan hidangan dan sebagainya."

Afifah Hani Abdul Ghani, 21

"Bagi pendapat saya, tidak salah tidur di hotel tapi kuranglah rasa suasana seperti dulu. Tidur ramai-ramai dengan sepupu, beratur tunggu giliran untuk gosok baju raya, tunggu giliran untuk mandi pagi, semua tu untuk mengeratkan silaturahim. Tapi kalau rumah nenek dan datuk tak sebesar mana dan boleh mendatangkan masalah kepada anak-anak dara yang semakin membesar, takkan nak tidur dengan sepupu lelaki, nak bersiap dan sebagainya.

Kalau ada anak-anak yang dah besar, boleh la menginap di hotel atau homestay berdekatan dengan rumah nenek dan datuk asalkan tidak terlalu jauh dengan mereka agar mereka tidak terasa terpinggir."

Aishah Mohamed Shah, 36

"Saya pulang beraya di Bukit Pasir, Muar. Saya dan suami akan menginap di hotel berdekatan bandar Muar setiap kali pulang ke kampung beraya. Di kampung, ramai saudara-mara jadi tidur pun bersepah. Suami pula anak tunggal dalam keluarganya jadi agak tidak selesa untuk dia tidur dalam keadaan macam tu."

Terpulanglah pada anda untuk memilih untuk tidur di rumah kampung atau pun di homestay dan hotel. Asalkan ibu dan bapa tidak terasa terpinggir apabila anak-anak lebih memilih keselesaan daripada berkumpul bersama. Semoga aidilfitri ini membawa lebih banyak makna pada anda dan keluarga. 

 

 
 
Comments