Park Bo-Gum Kata "Aku Rindu Padamu", Peminat Dah Mula Histeria

Bintang Korea itu dipilih untuk mempromosikan model terbaru Samsung Galaxy S9 dan S9 Plus.


  • Share:

Park Bo-Gum Kata
Pavilion dilanda 'tsunami' manusia sejak petang semalam. (Gambar: Samsung)
Bagaikan satu tradisi buat Samsung Malaysia Electronics (SME) sejak kebelakangan ini apabila membawa artis atau pelakon Korea setiap kali pelancaran model ‘flagship’ mereka.
 
Jika tahun lalu, bintang Running Man, Song Ji-Hyo dibawa khas melancarkan Galaxy Note 8. Namun, pada tahun ini selebriti yang dibawa nampaknya lebih hebat.
 
Buktinya, Pavilion Kuala Lumpur semalam dibanjiri lebih 3,000 peminat apabila pelakon Korea, Park Bo-gum pula membuat penampilan khas semalam.
 
Park Bo-gum dipilih menjadi duta terbaru Samsung bagi mempromosikan telefon pintar terbaru mereka iaitu Galaxy S9 dan S9 Plus.
 
AURA PARK BO-GUM
 
Tahun ini giliran Park Bo-gum menjadi duta.
Difahamkan, ada peminat yang sanggup beratur dari jam 9 pagi sehingga tempoh pelancaran pada jam 5 petang semata-mata untuk mendapat tempat khas yang disediakan Samsung.
 
Ruang khas ini disediakan dengan jumlah yang amat terhad kerana berhadapan dengan pentas utama. 

Namun di sebalik kekurangan ruang khas itu, ia juga tidak menghalang peminat untuk mengerumuni sekeliling kawasan pentas. Memang 'full house'! 
 
Suasana kemudian bertambah riuh apabila Bo-gum tiba kira-kira jam 7 petang. Dengan ucapan pembukaan 'aku rindu padamu', seluruh peminatnya bagaikan dilanda 'histeria'!.

Setiap perkataan dikeluarkan pelakon ini, pastinya jeritan peminat bergema seluruh pusat membeli belah ini.

Apa yang boleh dikatakan mengenai kemunculan Bo-gum ini, ia lebih hebat daripada pelancaran Galaxy Note 8 tahun lalu.

PERANTI TERHEBAT SAMSUNG KETIKA INI
 
S9 dan S9 Plus mula dijual hari ini.
Kehadiran Bo-gum pastinya sebagai menggalas tanggungjawab sebagai duta baru Samsung apabila syarikat gergasi Korea ini melancarkan telefon pintar baru mereka iaitu Galaxy S9 dan S9 Plus.
 
Antara kelainan yang terdapat pada Galaxy S9 dan S9+ kali ini pastinya terletak pada kameranya yang mempunyai lensa mekanikal boleh laras daripada apertur f/2.4 hingga f/1 serta fungsi Super Slow-mo dan ‘AR Animoji’.

Selain itu, dua model ini juga menjadi peranti Samsung pertama menyokong Dolby Atmos yang memberikan kesan bunyi 360 darjah seolah-olah berada di pawagam.

Bagi pasaran Malaysia, terdapat tiga variasi warna iaitu Midnight Black, Coral Blue dan Lilac Purple. Harga pasarannya pula adalah antara RM3,299 hingga RM4,399.

Sempena pelancaran telefon pintar itu, Samsung menawarkan promosi khas pada 16 hingga 18 Mac ini yang mana setiap pembelian akan diberikan pengecas tanpa wayar berharga RM279 secara percuma, terhad 2,300 unit.

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top