Filem Badang Tidaklah Seteruk Disangka. Ini Tiga Elemen Boleh Dipuji!

Kisah adiwira filem ini dikritik ramai sehingga jumlah penonton ke pawagam juga terjejas.


  • Share:

Filem Badang Tidaklah Seteruk Disangka. Ini Tiga Elemen Boleh Dipuji!
Tidak kenal maka tidak cinta. Kami tonton dan kami ulas apa yang boleh dibanggakan mengenai filem ini. (Gambar UiTM)
Jika ditanya apakah filem paling popular di Malaysia ketika ini pasti filem adiwira Badang berada di kedudukan teratas!
 
Tarikh tayangan yang sama dengan filem Hollywood, Black Panther pastinya menjadi laluan sukar untuk mana-mana filem untuk bersaing rapat. Kecuali Badang mungkin.
 
Sebenarnya terlalu banyak perkara menjadikan filem adiwira tempatan ini popular walaupun majoriti yang bercerita mengenainya belum lagi menyaksikan filem berkenaan di panggung wayang.
 
Antara publisiti bagi filem ini pastinya datang daripada pelakon utamanya yang juga Pengarah Urusan D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Aliff Syukri.
 
Ada saja video yang dimuat naik untuk mempromosikan Badang. Baik positif atau negatif, mungkin Aliff percaya cara itulah yang terbaik untuk menyakinkan penonton ke pawagam.
 
Paling mengejutkan apabila 'abang terlajak laris' ini sendiri mendakwa filem Badang adalah lebih bagus daripada Black Panther! Setuju?
 
Bagaimanapun, belum seminggu filem itu ditayangkan, ia telah pun menerima kritikan hebat daripada penonton.
 
Suasana tambah sensasi apabila pelakon yang lebih senior dan berpengalaman juga mengkritik lakonan Aliff dalam Badang.
 
Persoalannya, teruk sangatkah filem ini sehingga tiada langsung elemen atau adegan dalam filem ini yang boleh dibanggakan?
 
Rojak Daily Skop! berkesempatan menonton filem berkenaan pada saat-saat akhir tayangannya hari ini dan kami senaraikan tiga perkara yang wajar dipuji.
 
1. KUALITI CGI BERADA DALAM 'KELASNYA' TERSENDIRI
 
Kesan CGI yang tidaklah terlalu teruk.
Sebelum menyentuh aspek kesan khas imej janaan komputer (CGI) secara terperinci, perlu diingatkan yang kesan CGI pada filem Badang diseliakan oleh KRU Studios.
 
Antara hasil filem sentuhan KRU Studios sebelum ini adalah Vikingdom, Magika, Cicakman dan Duyung. 
 
Secara jujurnya, penulis tidak memberi harapan tinggi mengenai kualiti CGI yang ditonjolkan kerana melihat posternya saja agak kurang membangkitkan rasa teruja.
 
Adegan CGI yang pertama dihidangkan adalah ketika ibu Badang dirempuh sekumpulan gangster di kawasan perumahan mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
 
Kesan khas pada adegan ini boleh disifatkan sebagai ‘Ok’ dan boleh dihadam oleh penglihatan normal manusia walaupun sudah memasuki 2018.
 
Namun, apa yang tidak masuk akal adalah keadaan ibunya yang masih stabil biarpun dihentam pada kelajuan tinggi kenderaan tersebut.
 
Selain itu, kesan khas ketika kemunculan ‘bunian’ lakonan Nadia Brian juga boleh diterima akal bagi 'level' filem tempatan.
 
Kesan khas pada imej bayi yang diletakkan pada tapak tangan ibu Badang juga agak menyakinkan. Tidak terlalu ‘fake’ dan nampak realistik.
 
Oh ya, tidak dilupakan bagaimana filem ini menjadikan Aliff sebagai seorang halimunan dan penggunaan efek gerak pelahan atau 'slow motion' ketika Badang membelasah 'gangster' ketika di hujung babak filem ini.
 
Malah, transisi Badang yang mampu ‘teleport’ atau ghaib dari satu kawasan ke kawasan lain juga tampak kemas!
 
Cuma, adegan watak Badang membawa Fasha ke luar negara amat menyedihkan dan sukar dihadam oleh penulis. Mungkin, jika adegan ‘melancong’ tiada dalam filem ini adalah keputusan yang lebih bagus.
 
Secara keseluruhannya, kesan CGI tidaklah terlalu ‘cap ayam’ sehingga boleh diperlekehkan dengan begitu teruk sekali.
 
Penulis sendiri sebagai penonton pernah melihat filem tempatan lain yang menggunakan CGI yang lebih teruk.
 
2. LAKONAN MANTAP PELAKON 'UTAMA'!

Lakonan Fauzi Nawi dan Fasha Sanda harus diberi pujian. 
Syabas diucapkan kepada kesemua tunjang utama filem ini kerana melakonkan watak mereka dengan baik.
 
Pujian ini diberikan kepada aktor berpengalaman, Fauzi Nawawi yang membawa watak ketua kongsi gelap merangkap abang kepada Fasha Sanda.
 
Dengan muka bengis semula jadi, Fauzi menjiwai karakter yang dibawa dengan bersahaja dan tidak mustahil untuk mengatakan filem ini diselamatkan pelakon itu.
 
Malah, lakonan Fasha juga memuaskan dan adegan paling terkesan adalah ketika rambutnya dipotong sehingga pendek oleh Fauzi.
 
Penulis hanya memberi skala memuaskan kepada Fasha kerana dia telah pun membawa watak sedemikian beberapa tahun lalu di awal kemunculannya.
 
Malah, watak heroin kepada adiwira ini mengingatkan kami kepada wataknya dalam filem, Cicakman.

Jika ditanya mengenai lakonan Aliff Syukri, baca artikel ini hingga habis.
 
3. USAHA BADANG MENJADI SEBAIK BLACK PANTHER
 
Hijau lawan hitam, mana korang suka?
Masuk saja elemen ketiga yang boleh dipuji untuk filem ini, penulis sudah buntu untuk mencari kelebihan atau aspek filem berkenaan yang boleh dibanggakan.
 
Jika mahu memuji elemen nasihat dan pengajaran, ia terlalu sedikit dan langsung tidak ‘deep’ untuk diketengahkan. 
 
Namun, kita tidak boleh memperlekehkan usaha pihak produksi filem ini untuk menghasilkan sebuah lagi filem adiwira buatan Malaysia yang setanding dengan produksi antarabangsa.
 
Malah, usaha Aliff untuk meyakinkan netizen yang Badang adalah sebagus Black Panther juga wajar dipuji.
 
Anda boleh lihat di pembukaan kredit filem ini yang mengunakan elemen komik ala Marvel. Walaupun agak kelakar tetapi pujian harus diberi pada produksi FiTA Studios Sdn Bhd.
 
Mungkin juga Malaysia belum menemui filem adiwira tempatan yang mampu dibanggakan selepas kemunculan Cicakman beberapa tahun lalu.

TIDAK DIINSPRASIKAN KISAH KLASIK BADANG
 
Filem klasik ini lebih menarik untuk ditonton.
Filem ini diarahkan oleh Profesor Datuk Dr A. Razak Mohaideen yang berpengalaman dalam menghasilkan filem ‘blockbuster’ atau pecah panggung.
 
Siapa boleh lupa filem sekuel, Anak Mami, Mami Jarum, Jutawan Fakir, Lady Boss dan banyak lagi yang meraih sambutan memberangsangkan daripada penonton.
 
Genre komedi ini menjadi kekuatan pengarah ini. Namun, secara jujurnya sukar untuk penulis ketawa sepanjang menyaksikan filem ini.
 
Watak menjengkelkan dalam filem ini bukanlah Aliff tetapi lebih kepada rakan karibnya, Sarip yang dilakonkan Azhari Zain mampu memberi kesan kepada sel minda anda!
 
Wataknya juga begitu janggal kerana dikelilingi dengan persekitaran pelakon lebih muda sekitar 20-an.
 
Selain itu, penulis agak kecewa kerana ia langsung tidak mempunyai kaitan dengan kisah rakyat Badang yang berasal dari Sayong Pinang, Johor.
 
Kisah misteri Badang itu telah difilemkan pada tahun 1962 sehingga menjadikan kisah lelaki gagah berkenaan sangat dekat dengan pemikiran masyarakat.

 
Siapa boleh lupa adegan Badang memakan segala muntah makhluk yang mencuri hasil ikannya.
 
Jika elemen dan jalan cerita ini dikekalkan mungkin ramai yang akan membawa anak-anak mereka melihat filem yang diinsipirasikan kisah rakyat.
 
Generasi kini mungkin keliru dengan kisah Badang sebenar kerana Badang 2018 ini hanya diambil berdasarkan nama watak Alif iaitu Bad atau nama penuhnya, Badrul Hisham.
 
Nama panggilan Bad ditambah menjadi Badang dan tiada langsung kaitan dengan kisah klasik Melayu tersebut. Bahkan, adegan Badang yang muncul daripada buluh juga bukan daripada kisah klasik berkenaan.
 
Sudut positifnya pula, pihak produksi lain masih mempunyai peluang untuk menghasilkan filem Badang yang diadaptasi daripada kisah di Johor itu.
 
Penulis tidaklah terlalu membenci filem tempatan kerana secara jujurnya penulis pernah menonton filem lain sebelum ini termasuk Mat Moto Otai dan juga Pak Pong. Mendengar nama filem ini saja pastinya mengundang pandangan negatif anda bukan?
 
Namun, penulis masih mampu menonton filem sebegini sehingga tamat tetapi tidak untuk Badang. Pemilihan pelakon utamanya iaitu Alif mungkin dianggap tidak sesuai buat filem ini.

Jika ditanya mengenai 'rating' bagi filem ini, penulis berikan 1/10 untuk usaha mencipta filem adiwira.

Bagaimanapun, filem ini mungkin boleh dijadikan bahan kajian untuk pembikin filem kita lebih memahami pemasalahan filem tempatan yang perlu dirombak dan ditambah baik agar kualitinya lebih bagus pada masa akan datang.
 
Filem: Badang
Pengarah: Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen
Pelakon: Datuk Seri Aliff Syukri, Fasha Sandha, Azhari Zain, Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi, Aminah Raphor, Norman Hakim dan Esma Daniel.
Genre: Aksi/Komedi
Durasi: 105 minit
Pengedar: Empire Film Solution
Tarikh Tayangan: 15 Februari 2018
Rating Rojak Daily Skop: 1/10

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top