Rojak Daily Logo
Back to top

Plug-in: Ingin Tahan Lama? Lima Telefon Pintar Ini Terbaik Untuk Anda

Bateri berkapasiti besar tidak semestinya mempunyai jangka hayat panjang.

0
comments
Plug-in: Ingin Tahan Lama? Lima Telefon Pintar Ini Terbaik Untuk Anda
Telefon pintar manakah yang mempunyai jangka hayat bateri paling lama?( Gambar: The Verge )
Jika ditanya mengenai ciri utama yang diperlukan dalam sesebuah telefon pintar pastinya ketahanan bateri antara aspek terpenting yang dititikberatkan.
 
Melihat saiz telefon pintar yang semakin hari semakin besar dan memanjang, pengguna pastinya mengharapkan bateri telefon yang lebih tahan lama sekurang-kurangnya sehari.
 
Bagi melaksanakan tugas ini, kapasiti bateri haruslah besar selain turut memfokuskan optimum perisian serta jenis dan kualiti paparan skrin.

Untuk anda yang tertanya-tanya apakah telefon pintar yang mempunyai ketahanan bateri paling lama, senarai ini mungkin boleh membantu anda.
 
1. BLACKBERRY MOTION DAN KEYONE

 Tahniah jika anda pengguna BlackBerry ini.
Mungkin ramai yang sudah tidak menggunakan telefon BlackBerry tetapi hakikatnya, dua model ini memegang takhta jangka hayat bateri paling lama.
 
BlackBerry Motion dijana oleh 4,000 mAh manakala KeyOne memiliki saiz bateri 3,500 mAh.
 
Menariknya, kedua-dua peranti ini menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 625 berbanding 835 yang lebih berkuasa.
 
Berita baiknya adalah bateri BlackBerry Motion mampu bertahan sehingga 13 jam 23 minit manakala KeyOne 12 jam 26 minit dengan penggunaan penuh.
 
2. HUAWEI MATE 10 PRO
 
Mate 10 Pro menerima pujian ramai dengan jangka hayat baterinya yang lama.

Jika BlackBerry menggunakan spesifikasi pertengahan, lain pula jenama Huawei Mate 10 Pro kerana ia hampir sempurna dalam lingkungan peranti kelas atasan.
 
Malah, ramai mengakui peranti ini mampu bertahan lebih daripada sehari dengan pengunaan sederhana.
 
Huawei Mate 10 Pro ini dijana cip pemprosen Kirin 970 yang dihasilkan Huawei sendiri.
 
Dengan penggunaan bateri 4,000 mAh, peranti ini mampu bertahan sehingga 12 jam 5 minit.

3. SAMSUNG GALAXY S8 ACTIVE
 
Samsung S8 Active tidak dibawa masuk ke Malaysia.
Jika anda menggunakan model Samsung Galaxy S8 dan S8 Plus, jangka hayat bateri harian mungkin ada turun naik dan tidak menentu.
 
Biarpun Samsung Galaxy S8 Plus mempunyai kapasiti bateri lebih besar daripada S8 tetapi perbezaannya tidak terlalu ketara.
 
Bagi Samsung Galaxy S8 Active ini, ia dilengkapi bateri sebesar 4,000 mAh yang turut menggunakan cip pemprosesan sama iaitu Snapdragon 835.
 
Ketahanan peranti ini adalah selama hampir 11 jam.

4. APPLE IPHONE 8 PLUS
 
Kapasiti bateri kecil tetapi mempunyai jangka hayat lama.
Dalam senarai tertinggi ini, model Apple iPhone 8 Plus adalah peranti yang mempunyai saiz kapasiti bateri paling kecil iaitu sekadar 2691 mAh.
 
Bagaimanapun, Apple membuktikan optimum perisian telefon ini lebih penting daripada penggunaan bateri besar.
 
Peranti ini mampu bertahan selama 10 jam 35 minit.
 
Bayangkan jika iPhone ini menggunakan kapasiti sebesar 4,000 mAh seperti Huawei Mate 10 Pro. Berapa lama agaknya ia akan bertahan.
 
5. LG V30

LG masih kurang mendapat perhatian berbanding jenama lain. 
Telefon pintar ini boleh dikatakan sangat ‘underrated’. Namun, ia perkara biasa buat jenama LG kerana popularitinya yang tidak mampu bersaing dengan jenama hebat lain.
 
Walaupun tidak popular bukan bermaksud ia tidak sehebat dari segi ketahanan bateri. Telefon pintar ini berada di kedudukan kelima dengan jangka hayat selama 9 jam 34 minit.
 
LG V30 tidak dipasarkan secara rasmi di Malaysia dan anda perlu membeli menerusi pihak ketiga.
 
Kesemua kedudukan ini diuji dan dikeluarkan sendiri oleh laman sesawang Phonearena mengikut cara mereka sendiri.
 
Berkemungkinan carta dikeluarkan oleh pihak lain tidak sama berbanding senarai ini.
 
Bagaimanapun, peranti paling teruk jangka hayat baterinya adalah milik LG G6 yang hanya bertahan sekadar 6 jam.
 
 
Comments