CLOSE
CLOSE

Plug-in: Alternatif Terbaik Untuk Model Flagship? Ini Review Penuh Samsung Galaxy A8 Plus

Tawaran harga pasaran lebih rendah, pengguna akan merasai pengalaman lebih premium.


  • Share:

Plug-in: Alternatif Terbaik Untuk Model Flagship? Ini Review Penuh Samsung Galaxy A8 Plus
Telefon premium yang berharga pertengahan! (Gambar: Rojak Daily Skop!)
Siri Samsung Galaxy A sudah mula menjengah pasaran pengguna sejak tahun 2014 lagi dengan kemunculan pertama menerusi Galaxy A3 dan A5.
 
Galaxy A atau bermaksud ‘Alpha’ ini merupakan keluaran pertengahan bagi pengunaan telefon pintar yang dihasilkan Samsung.
 
Jika dilihat perjalanan siri ini, rekaannya tidak begitu jauh daripada siri S cuma penggunaan spesifikasi dan fungsinya berbeza sedikit berbanding model ‘flagship’.
 
Jadi, adakah siri A ini mendapat perhatian pengguna? Jika melihat jualannya, ternyata siri A mempunyai tempat di hari pengguna yang tidak gemar berbelanja lebih untuk telefon pintar.
 
Malah, Samsung sendiri telah menyasarkan penjualan 20 juta unit Galaxy A pada tahun lalu.
 
Bagi melengkapkan keluarga A pada tahun ini, Samsung melancarkan Galaxy A8 dan A8 Plus edisi 2018 mereka bulan lalu.
 
Rojak Daily Skop! berkesempatan mencuba peranti terbaru ini dan ini ulasan penuh berhubung Galaxy A8 Plus.
 
REKAAN PREMIUM SEAKAN 'FLAGSHIP' 9/10
 
Jenis material pada A8 Plus ini menimbulan rasa 'mahal' ketiga memegangnya.
Jika dibandingkan Galaxy A pada tahun lalu dengan tahun ini, nampaknya A8 Plus merangkul kemenangan yang lebih tinggi.
 
Disebabkan nisbah paparan menggunakan 18.5:9 Super AMOLED, rekaan untuk A8 Plus ini agak tinggi berbanding model terdahulu.
 
Namun, apa yang mengagumkan adalah pilihan material pada kerangka A8 Plus ini.
 
Gabungan besi dan kaca merupakan kombo terbaik untuk mencipta rasa ‘premium’ apabila memegang peranti ini. Ia sedikit sebanyak mengingatkan penulis kepada Samsung Galaxy Note 8.
 
Malah, beberapa rakan juga mengakui ia kelihatan premium dan mahal.
 
Cuma skrin kali ini tidak melengkung sepenuhnya dan ia sebenarnya berita baik bagi sesetengah pengguna. Mencari pelindung skrin melengkung yang sesuai adakalanya merimaskan!

Pada bahagian belakang pula, rekaan A8 Plus agak kemas, membolehkan anda memegang peranti ini dengan selesa. Kekurangannya mungkin pada anda yang mempunyai saiz tapak tangan kecil kerana peranti agak memanjang.
 
Namun, ciri rekaan paling kemas adalah kedudukan kamera modul yang tidak menimbul seperti peranti Galaxy S6 dan S7 Edge.
 
Kedudukan pengimbas cap jari boleh dikatakan agak bagus kerana ia diletakkan di bawah kamera. Perubahan yang baik bagi tahun 2018!
 
Butang suara dan kekunci juga selesa dan anda tidak perlu bimbang sekiranya terjatuh ke dalam air kerapa kekuatan utama peranti ini adalah kalis air dan debu IP68.

KUALITI SKRIN 9/10
 
Perbezaan saiz antara A8 dan A8 Plus
Tiada ujian secara terperinci dilakukan tetapi berdasarkan kecemerlangan Samsung dalam penghasilan skrin AMOLED, Galaxy A8 Plus ini tidak terkecuali.
 
Malah, jika dibandingkan dengan telefon pintar yang penulis guna sebagai ‘daily-driver’ ini, ternyata panel bagi A8 Plus ini jauh lebih menyerlah walaupun kedua peranti menggunakan panel AMOLED.
 
Menggunakan skrin 5.5 inci beresolusi 1080 x 2220 pixel dengan kepadatan 440 PPI, peranti ini lebih daripada memuaskan untuk pandangan mata kasar.
 
Keterangan ketika cahaya terik juga bagus. Bagi aspek ketepatan warna, anda mempunyai pilihan sama ada memilih warna yang lebih 'vivid' ataupun tidak.

PERISIAN TRADISI SAMSUNG 7/10
 
Samsung Pay antara kelebihan peranti Samsung kerana ia turut menggunakan MST
Mungkin ada yang mengharapkan A8 Plus ini muncul dengan sistem operasi Android terbaru iaitu Oreo 8.0 tetapi anda perlu bersabar sedikit kerana ia didatangkan dengan Android Nougat 7.1.1
 
Pelayar Samsung dikenali sebagai pelbagai penetapan yang amat berguna sampai ada yang terasa kehilangan sesuatu jika mereka beralih kepada ‘Pure Android’. Namun, setiap antaramuka itu mempunyai kelebihannya masing-masing.
 
Antara yang menyerlah pada A8 Plus ini adalah gerakan menggunakan pengimbas cap jari  untuk melihat notifikasi, ‘smart capture’ untuk ‘screenshot’, dwi akaun untuk aplikasi media sosial, pelayar khas ‘Game Launcher’, fungsi multi-window, Samsung Pay dan banyak lagi untuk anda kuasai!

Penulis menantikan apakah yang bakal dibawa Samsung untuk kemas kini Android Oreo 8.0 akan datang.
 
PRESTASI HAMPIR BAGUS SEPERTI 'FLAGSHIP' 8/10
 
Fungsi IP68 membolehkan model ini bertahan lebih lama jika di dalam air.
A8 Plus menggunakan cip pemprosesan Exynos 7885 lapan teras yang sama digunakan pada A7 tahun lalu.
 
Untuk penggunaan asas harian, peranti ini melakukan tugas dengan baik. Malah, untuk tugas berat juga ia tidak terlalu ketara dan penulis masih berpuas hati menggunakan peranti ini.
 
Melayari video atau menaip laporan menggunakan Google Keep juga agak lancar.
 
Bagi sesetengah model, Google Keep akan ‘stuck’ kerana kandungan gambar, nota dalam aplikasi itu agak berat untuk beroperasi. Namun, A8 Plus melakukan tugas dengan baik.
 
Bagi permainan pula, ia masih melakukan tugas dengan mudah. Namun anda dinasihatkan tidak terlalu meletakkan harapan tinggi dengan membandingkan prestasi model ini dengan model 'flagship' yang menggunakan cip pemprosesan lebih hebat.
 
Kekuatan model ini bagaimanapun terletak pada keupayaannya melakukan beberapa tugas dalam satu masa berikutan ia menggunakan RAM sebanyak 6GB!
 
Biarpun menggunakan dua aplikasi serentak menerusi fungsi ‘dual window, ia  tidak menunjukkan tanda-tanda ‘lagging’.
 
Bagi prestasi bunyi pada pembesar suara pula ia masih agak kuat biarpun menggunakan satu ‘speaker'.
 
Secara keseluruhan prestasi ditonjolkan A8 Plus bersesuaian dengan kemampuan model pertengahan yang menjadi fokus siri A.
 
KUALITI KAMERA 8/10
 
Bimbang masalah tunafoto? Guna fungsi Live Focus pada kamera hadapan ini.
Aspek ini paling menarik kerana semua pengguna mahukan telefon mereka mempunyai kualiti kamera yang memberi kepuasan.
 
Bagi A8 Plus, peranti ini dilengkapi sensor 16 Megapixel (MP) apertur f/1.7 pada kamera utama manakala bahagian depan menggunakan 16 MP dan 8MP f/1.9.
 
Secara keseluruhan, gambar yang diambil mempunyai ketajaman yang cukup. Pengunaan satu kamera pada belakang mungkin kelihatan seperti ketinggalan berbanding jenama lain, namun penggunaan apertur f1.7 menyelamatkan keadaan.
 
Keupayaan 'High Dinamic Range' (HDR) dan makro juga memuaskan. Cuma, penggambaran pada waktu malam dilihat tidak begitu meyakinkan.
 
Namun, Samsung dilihat lebih memfokuskan kamera depan untuk keupayaan swafoto yang lebih menyeluruh.
 
Dua lensa yang digunakan pada bahagian depan itu berperanan untuk menghasilkan efek ‘bokeh’ bagi memfokuskan objek dan pada masa sama mengaburkan imej belakang. Panduan untuk anda yang inginkan gambar efek bokeh sempurna adalah mencari sumber cahaya yang cukup. 
 
Secara keseluruhan, imej dihasilkan kamera hadapan Samsung ini memuaskan biarpun sesetengah pengguna terutama lelaki tidak akan menggemar kesan seakan ‘beauty’ apabila mengambil swafoto.
 
Bagaimanapun, anda pasti akan lebih menggemari kamera depan ini jika mahukan sudut pengambaran yang lebar.
 
BATERI TAHAN LAMA 9/10
 
Perbezaan antara A8 dan A8 Plus sebanyak 500 mAh.
Penggunaan selama hampir dua minggu membolehkan penulis menggunakan pelbagai aplikasi harian peribadi dan juga tugas kerja hakiki.
 
Penggunaan bateri 3,500 mAh dengan paparan skrin yang tidak terlalu tinggi resolusinya membolehkan peranti ini bertahan lebih lama berbanding ‘flagship’.
 
Selepas habis seharian berkerja, masih terdapat baki sekitar 30 hingga 25 peratus untuk digunakan sehingga larut malam. Baterinya agak memuaskan dan anda mungkin tidak perlu terlalu paranoid untuk sentiasa membawa pengecas.

PILIHAN TERBAIK UNTUK MODEL YANG LEBIH MAHAL

Secara keseluruhannya, pengalaman menggunakan A8 Plus berjaya membawa penulis ketika menggunakan Galaxy S8 dan Note 8.
 
Skrin dan kerangka badan yang agak memanjang serta penggunaan besi dan kaca membuatkan peranti ini hampir sama dengan model ‘flagship’ Samsung.
 
Dalam erti kata lain, anda boleh menggunakan peranti yang lebih murah tetapi pada masa sama tampak mahal.
 
Malah, pengalaman menggunakan perisian, antaramuka dan kameranya juga hampir menepati ciri model kelas atasan.
 
Bagaimanapun, Samsung mungkin boleh mula cuba untuk menyingkirkan kesan ‘beauty’ yang sudah lama terbina pada kamera hadapan mereka.
 
Biarpun sudah dinyahkan kesan berkenaan, saki bakinya masih ada.
 
Masalah ini tidaklah besar dan mungkin sesetengah saja yang merasakan ia agak ‘turn off’.
 
Samsung Galaxy A8 Plus dijual pada harga RM2,499 dan warna yang ditawarkan pula adalah emas, hitam dan ‘orchid grey'.

Untuk anda yang ingin melihat sampel gambar yang diambil menggunakan Galaxy A8 Plus ini, kami tampilkan beberapa contoh.

Gambar 'outdoor'

Diambil ketika cuaca panas terik.

Penggambaran HDR

Penggambaran malam
 
 
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top