Rojak Daily Logo
Back to top

Aiskrim 'Nafas Iblis' Ini Digelar Sebagai Aiskrim Paling Bahaya

Tahap kepedasannya dikatakan setaraf dengan empat cili paling pedas di dunia.

0
comments
Aiskrim 'Nafas Iblis' Ini Digelar Sebagai Aiskrim Paling Bahaya
Nampak menyelerakan, namun tunggu sehingga ia memasuki ruang mulut dan tekak anda. (Gambar: SWNS)
Seumur hidup anda, apakah makanan paling pedas anda pernah makan? Mungkin kebanyakan masyarakat kita akan memberi jawapan Samyang Spicy Hot Ramen yang menjadi kegilaan ramai sehingga hari ini.
 
Selain itu, mungkin ada yang sudah mencuba burger di Bangi yang menggunakan dua jenis cili yang diakui paling pedas di dunia iaitu Carolina Reaper dan Bhut Jolokia.

Carolina Reaper merupakan cili yang berasal dari Carolina Selatan, Amerika Syarikat manakala Bhut Jolokia pula dari Assam, India.

AMARAN KERAS TAHAP KEPEDASAN BAHAYA
 
Pekerja kafe ini menunjukkan borang perjanjian sebelum pembeli merasai aiskrim pedas ini.
Namun, itu makanan yang dijual di Malaysia, lain pula kisah di Itali yang muncul dengan aiskrim paling pedas yang digelar sebagai ‘Respiro Del Diavolo’ atau diterjemahkan sebagai 'Nafas Iblis'.
 
Kedengaran agak kasar tetapi ia hanya strategi pemasaran kerana apa yang anda akan nikmati adalah sejenis aiskrim.
 
Bagaimanapun, ia bukanlah aiskrim yang dinikmati untuk menghilangkan rasa panas kerana silap langkah, aiskrim ini pula membuatkan anda panas tidak tentu arah.
 
Aiskrim ini dijual oleh sebuah kafe dikenali sebagai The Aldwych dan menu ini dicipta bersempena sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang dirai pada setiap 14 Februari.
 
Bagi mengelak sebarang insiden buruk berlaku, hanya individu 18 tahun ke atas saja yang dibenarkan membeli aiskrim ini.

Malah, anda perlu menandatangani perjanjian yang disediakan pemilik kafe berkenaan. Ini kerana terdapat amaran aiskrim ini berisiko menyebabkan kesakitan dan boleh kehilangan nyawa.
 
Pekerja yang menghidangkan aiskrim ini juga memakain sarung tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

PEDAS TAHAP TERTINGGI

Dari jauh sudah kelihatan menarik dan 'hot'.
Bagi memudahkan anda membayangkan tahap pedas aiskrim ini, pemilik kafe mendakwa ais krim ini 500 kali lebih pedas daripada sos Tabasco.
 
Secara saintifik pula, kepedasan aiskrim ini adalah 1,569,300 SHU Scoville, iaitu unit digunakan untuk mengukur tahap pedas cili.
 
Tahap ini meletakkan ia sebaris dengan tahap kepedasan yang dipegang oleh empat cili ini iaitu Carolina Reaper, Pepper X, Dragon's Breath dan Naga Morich.
 
Sebagai perbandingan tahap kepedasan cili Jalapeno, ia hanya 10,000 SHU.
 
Bagi bahan asas aiskrim, ia dihasilkan menggunakan resepi turun termurun dari Itali sejak tahun 1936 dan bahan digunakan adalah sepenuhnya daripada negara berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan oleh pemilik kafe berkenaan berhubung jenis cili yang digunakan di dalam aiskrim berkenaan.
 
Jika anda seorang yang sukakan cabaran makanan pedas bolehlah berkunjung ke Itali.


 
 
 
Comments