Rojak Daily Logo
Back to top

Lima Ciri Teknologi Ini Dijangka 'Meletup' Di Pasaran 2018!

Kesemua teknologi ini bakal memudahkan kehidupan seharian pengguna.

0
comments
Lima Ciri Teknologi Ini Dijangka 'Meletup' Di Pasaran 2018!
Teknologi VR dan AR akan diperkembangkan pada tahun 2018! (Gambar: Fortune)
Tahun 2017 bakal berakhir beberapa hari saja lagi dan jika diimbas sepanjang tahun ini banyak juga produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi diperkenalkan.
 
Ada yang berhasil, tidak kurang juga yang masih memerlukan penambahbaikan.
 
Secara umumnya tahun ini memperlihatkan semua syarikat berlumba-lumba untuk memperhebatkan teknologi kecerdasan pintar (AI) dalam setiap produk dan perkhidmatan mereka.

Namun, itu tahun 2017, apakah pula teknologi yang bakal memasuki tahun 2018?

Rojak Daily Skop! senaraikan lima teknologi dijangka ‘meletup’ dan bakal mendapat perhatian pengguna:
 
1. KEBANGKITAN 'IoT' BAGI GENERASI MUDA 

Tahun 2018 diharapkan sebagai tahun kebangkitan IoT di Malaysia. 
Internet of Things (IoT) adalah satu sistem kombinasi membabitkan penggunaan perkakas elektronik yang dipadankan dengan perisian atau pembinaan aplikasi khusus.
 
Jika di luar negara, IoT semakin membangun serta mendapat perhatian terutamanya dalam kalangan generasi muda. Contoh mudah hasil IoT adalah mengawal kenderaan anda menggunakan aplikasi pada telefon pintar.
 
Selain itu, IoT turut membabitkan penggunaan sensor untuk berhubung dengan perkakas rumah. Contohnya, Amazon Alexa boleh menghidup dan mematikan lampu bilik anda dengan hanya menggunakan arahan suara.
 
Jika di Malaysia, ia boleh dikatakan baru dan masih banyak lagi bakat muda yang belum diketengahkan secara meluas. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  turut menyediakan sebanyak RM1 juta untuk sektor IoT.

Bagi golongan muda, tahun 2018 adalah untuk menyerlahkan bakat dalam bidang teknologi!

2. 'AR' BAKAL MENGGANAS TERMASUK DI GEDUNG MEMBELI BELAH
 
Semakin hari semakin banyak fungsi AR diperkenalkan.
Terima kasih kepada Pokemon Go, Augmented Reality (AR) menjadi popular sejak tahun 2016. Malah pada tahun ini, banyak syarikat gergasi menumpukan pada penghasilan AR yang lebih realistik dan mampu berinterkasi dengan dunia nyata.
 
Contohnya, Apple Inc pada tahun ini memperkenalkan ARKit yang mempunyai ‘framework’ bagi menghasilkan reka bentuk AR pada iPhone dan iPad. Menariknya, ARKit membolehkan objek dicipta itu berinteraksi dengan kehidupan sebenar di sekeliling kita.
 
Perkara ini juga menjadi fokus utama bagi Google menerusi ARcore. Pengenalan awal boleh dilihat menerusi telefon pintar Google Pixel sebelum ia dikeluarkan secara komersial pada telefon pintar lain.
 
Selain fokus pada telefon pintar, AR juga dikatakan bakal memasuki arena Heads Up Displays (HUD) yang mana sebuah gelas kaca yang memaparkan maklumat dalam bentuk AR.
 
Bayangkan jika anda berjalan di luar negara dan melihat papan tanda dalam bahasa tempatan, maka HUD ini akan mengalih bahasa secara automatik.

Selain itu penggunanan AR juga dijangka mengubah cara anda membeli belah pada tahun 2018 dengan memaparkan info tambahan termasuk video pada sistem AR anda.

3. PENGHASILAN 'AI' BAKAL DIPERLUASKAN
 
Pernahkah anda terfikir tentang kewujudan AI?
Tahun ini banyak syarikat yang berkecimpung dalam penghasilan teknologi kecerdasan buatan AI dan tahun baru 2018 bakal menyaksikan sistem ini dibangunkan secara komprehensif.
 
Syarikat seperti Airbnb dan Netflix telah melancarkan AI ke dalam produk mereka dengan pelbagai cara yang secara umumnya memberi manfaat kepada pelanggan.
 
Pengeluar barang kosmetik dan kecantikan pula turut memperkenalkan AI bagi mengenalpasti bentuk dan jenis wajah pengguna, sekali gus memberi panduan berkenaan produk yang bersesuaian.
 
Contohnya, aplikasi Web Olay Skin Advisor dapat membantu wanita membuat pilihan tepat bagi produk penjagaan wajah pengguna.
 
Kami percaya tahun 2018 menyaksikan lebih banyak syarikat mencipta reka bentuk produk mereka dengan penggunaan terbaik AI.

4. PENGIMBAS CAP JARI DIBAWAH SKRIN TELEFON PINTAR

Telefon pintar manakah yang bakal menjadi peranti pertama menggunakan fungsi ini? 
Pada awal Disember lalu syarikat pengeluar sensor sentuhan, Synaptics mengumumkan kerjasama bersama lima pengeluar telefon pintar bagi menghasilkan pengimbas cap jari di bawah paparan skrin.
 
Jika sebelum ini pengimbas cap jari dihasilkan di bahagian luar kerangka peranti tetapi kali ini ia terbina di dalam iaitu di bawah paparan skrin telefon anda.
 
Teknlogi ini digelar sebagai Clear ID optical dan ia mampu beroperasi biarpun jari anda dalam keadaan basah, kering atau sejuk.
 
Sebenarnya pada tahun ini, ramai menjangkakan Apple menerusi iPhone X akan menggunakan teknologi ini. Namun, jangkaan itu ternyata meleset apabila telefon terbabit langsung tidak menggunakan sebarang pengimbas cap jari, sebaliknya menggantikan dengan Face ID.

5. PEMBANTU MAYA DI RUANG TAMU ANDA
 
Kawal alatan elektronik anda menggunakan peranti cantik ini!
Jika sebelum ini pembantu maya atau 'digital assistant' hanya ada pada telefon pintar, namun ia kini sudah diperkembangkan kepada alatan perhiasan rumah.
 
Jika Amazon tampil dengan Amazon Echo, Google Inc pula menawarkan Google Home.
 
Peranti ini bukan hanya cantik diletakkan di meja rumah anda, malah ia berfungsi lebih daripada ‘speaker’ semata-mata.
 
Anda boleh menggunakan suara untuk memberi arahan kepada peranti ini. Selain bertanya soalan, anda juga boleh mengawal peralatan elektronik dengan hanya guna suara.
 
Teknologi pada peralatan ini akan mengintergrasikan dengan peralatan lain termasuk televisyen, lampu, pembesar suara mahupun komputer peribadi anda.

Sejak mula diperkenalkan pada tahun lalu, harganya mungkin agak tinggi. Namun, kemunculan beberapa model dan jenama baru menjadikan peranti ini lebih murah di pasaran pada 2018!
 
 
 
Comments