Rojak Daily Logo

Aplikasi Mudah untuk Membantu Pelancong Muslim Mencari Makanan Halal

0
comments
Aplikasi Mudah untuk Membantu Pelancong Muslim Mencari Makanan Halal
Jom rancang percutian seterusnya! (Gambar asal: Have Halal Will Travel)
Sebut sahaja melancong, pasti sesiapa sahaja akan menjadi teruja. Ya lah, siapa yang tak suka meluangkan masa untuk explore tempat-tempat baru sambil menghargai keindahan ciptaanNya. Tetapi, sebagai seorang Muslim kadangkala kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran sewaktu melancong, lebih-lebih lagi apabila melawat negara yang majoriti penduduknya bukan Muslim. Antara cabarannya adalah kesukaran mencari tempat makan atau makanan yang halal, tempat solat dan juga tempat yang Muslim-friendly.

Kini, kita tak perlu bimbang lagi kerana munculnya aplikasi terbaru yang dapat membantu kita sewaktu melancong. Aplikasi Have Halal Will Travel (HHWT) merupakan sebuah aplikasi yang boleh membantu merancang perjalanan kita dan juga menyenaraikan restoran-restoran yang berstatus halal. Selain itu, aplikasi ini juga menyenaraikan lokasi-lokasi solat atau masjid yang berdekatan. How convenient!
 

Ikon-ikon yang terdapat dalam aplikasi ini akan membantu anda mencari maklumat dengan lebih pantas. (Gambar: Have Halal Will Travel)
Sebelum kemunculan aplikasi ini, HHWT sebenarnya sudah lama beroperasi sejak awal 2015 melalui laman web mereka. Laman web tersebut mempunyai lebih kurang 180,000 pengunjung setiap bulan dan juga 30 orang penulis dari serata dunia. Antara negara yang disenaraikan dalam laman web tersebut adalah Dubai, Hong Kong, Perancis, Jepun, Sepanyol, Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea, dan banyak lagi.

Aplikasi ini walaubagaimanapun hanya menyenaraikan satu tempat sahaja buat masa ini iaitu Seoul, Korea. Menurut pemerhatian kami, HHWT bakal melancarkan aplikasi untuk destinasi seterusnya iaitu Tokyo, Jepun tidak lama lagi. Untuk destinasi-destinasi lain pula, para pengguna perlu melayari laman web mereka. Laman web mereka padat dengan informasi yang amat membantu, seperti destinasi makanan halal, tempat-tempat tarikan pelancong, dan juga tip-tip melancong.

Hmm rasanya tak sabar pula nak melancong lepas ni, rasa lega apabila kami mendapat tahu tentang kewujudan aplikasi dan laman web sebegini. Kami berharap pihak HHWT akan melancarkan aplikasi ini untuk negara-negara Eropah selepas ini.

Anda boleh memuat turun aplikasi HHWT di Apple App Store dan juga Google Play Store untuk pengguna android atau kunjungi laman Facebook mereka untuk maklumat lebih lanjut.
 
 
Comments