CLOSE
CLOSE

Rojak Daily Diiktiraf Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia Kategori Media Baharu

Portal ini mendominasi tiga pencalonan dalam Top 5 kategori tersebut.


  • Share:

Rojak Daily Diiktiraf Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia Kategori Media Baharu
Editor Pengurusan, Rojak Daily Skop!, Elrafaei Sapi memberi ucapan selepas menerima Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (AKIFMA 2017) kategori Media Baharu malam tadi. (Gambar: FINAS - Facebook)
Portal Astro, Rojak Daily berjaya meraih pengiktirafan menerusi Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (AKIFMA 2017) kategori Media Baharu, malam tadi.

Anugerah tersebut diberikan berdasarkan pemilihan juri profesional yang menilai artikel '[Eksklusif] Filem Tempatan Tidak Jelas, Kita Hanya Boleh Buat Filem Darai' yang ditulis Editor Pengurusan, Rojak Daily Skop!, Elrafaei Sapi yang diangkat sebagai pemenang kategori tersebut. 

Menariknya, dalam kategori itu Rojak Daily mengungguli dengan 3 pencalonan daripada Top 5 termasuk artikel daripada penulis yang sama iaitu 'Ketandusan Filem Patriotik Sempena Hari Kemerdekaan Negara' dan '[Eksklusif] Produser Filem Tempatan Bukan Profesional, Hanya Jaguh Kampung'.

Pemenang-pemenang anugerah bergambar kenangan pada majlis Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (AKIFMA 2017) yang berlangsung di Kuala Lumpur malam tadi.

Program televisyen Astro, Jomovie turut membawa pulang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia kategori Televisyen manakala Editor Pengurusan Thinker Studios, hlive!, Syazwan Zakariah menerima Anugerah Khas Juri.

Syazwan Zakariah membawa pulang dua anugerah untuk kategori Televisyen dan Anugerah Khas Juri.

Majlis anugerah anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bersama Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) itu julung kali diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada wartawan hiburan tanah air menerusi penulisan yang disiarkan di akhbar dan televisyen termasuk media baharu iaitu portal.

Hadir sama pada acara berkenaan, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah,  Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob dan Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Acara yang diadakan julung kali dalam suasana penuh gilang-gemilang itu berjaya menghimpunkan ramai wartawan hiburan, bekas wartawan hiburan dan pengamal media dari pelbagai agensi berita media cetak dan elektronik.

Acara diserikan dengan kehadiran ramai selebriti antaranya Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Seri Shah Rezza, Datuk Rosyam Nor, Noorkumalasari, Maya Karin manakala Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Abam Bocey sebagai pengacara majlis.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top