Model iPhone 'Kentang' Masuk Pasaran, Nak Beli Tak?

Hasrat seorang wanita membeli iPhone pada harga murah tidak kesampaian.


  • Share:

Model iPhone 'Kentang' Masuk Pasaran, Nak Beli Tak?
Disebabkan ingin memiliki iPhone murah, anda mungkin ditipu 'scammer' kentang ini. (Gambar: Youtube)
Siapa yang boleh menidakkan populariti iPhone yang kini menjadi peranti wajib setiap golongan dan peringkat usia. Bukan perkara pelik apabila murid sekolah menengah pun sudah menggunakan iPhone!
 
Namun, disebabkan popularitinya jugalah ia menjadi sasaran untuk sindiket penipuan! sasaran golongan yang menjadi 'buruan' penipu atau 'scammer' ini pastilah yang agak berusia.

Jika dulu pernah kecoh seketika apabila pengguna hanya menerima kunci mangga dalam bungkusan Apple iPhone yang dibeli secara atas talian.

Baru-baru ini muncul sekali lagi penipuan yang seakan sama. Menariknya, kali ini bukan batu tetapi ubi kentang!

HARGA TERLAMPAU MURAH

Alat pengecas turut disertakan dalam pembelian 'iPhone' ini.
Wanita terbabit yang tidak diketahui identitinya mendakwa dia menjadi mangsa ‘scammer’ apabila ditipu oleh seorang lelaki yang kononnya menjual iPhone 6 pada harga AS$100 (RM411). Murah bukan?
 
Menurut mangsa, lelaki terbabit menjual dengan harga murah bersempena jualan ‘Black Friday’.

Modus operandi dilakukan lelaki ini agak mudah dan penipuan itu bukan dilakukan secara atas talian sebaliknya kedua-dua pihak bersetuju melakukan perjumpaan berdekatan rumahnya di Wisconsin, Amerika Syarikat.
 
Ketika berjumpa, wanita terbabit menyatakan gaya lelaki terbabit kelihatan begitu yakin. Lengkap dengan membawa peralatan gajet seperti komputer riba.
 
Malah menurut laporan Metro, lelaki terbabit turut menyatakan iPhone yang dibeli telah pun didaftarkan. Wanita itu hanya perlu membayar bil pertamanya pada pertengahan Disember ini.

HASRAT TERKUBUR
 
Yakin dengan penampilan lelaki terbabit, wanita itu terus membayar sebelum pulang ke rumah membawa kotak pembelian.
 
Bagaimanapun episod hitam wanita ini bermula apabila dia membuka kotak terbabit. Apa yang dilihat hanyalah 11 ketulan kentang yang dipotong kecil bersama alat pengecas!
 
Nampaknya hasrat mangsa untuk menggunakan iPhone 6 pada harga yang murah terkubur. Rakaman video memaparkan kentang iPhone ini juga turut dimuat naik oleh wanita terbabit.
 

Bagi anda di luar sana, jadikan kejadian malang menimpa wanita ini sebagai pengajaran. Sentiasalah berhati-hati dalam membeli telefon idaman. Mungkin ubi kentang tadi boleh dimasak dalam gulai atau 'western' ala 'potato wedges' dihiasi mayonis dan keju yang menyelerakan!

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top