CLOSE
CLOSE

5 Jenis Tanaman Ini Bukan Sebarangan, Ia Amat Berguna Ketika Tidur

Ramuan semula jadi dalam tumbuhan ini menjadikan ia bertindak balas lebih efektif.


  • Share:

5 Jenis Tanaman Ini Bukan Sebarangan, Ia Amat Berguna Ketika Tidur
Tumbuhan catnip atau catmint ini dipercayai boleh menyebabkan kucing menjadi mabuk. (Gambar: westcoastseeds.com)
Sesudah banjir yang teruk melanda Pulau Pinang dan beberapa kawasan lain sekitar tanah air baru-baru ini, nampaknya musim tengkujuh kembali semula melanda negara pada minggu ini.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Monsun Timur Laut hadir di Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Serawak bermula 13 November lalu dan dijangka berlarutan sehingga Mac 2018.

Sebanyak empat sehingga lima episod hujan lebat dijangka berlaku pada musim tengkujuh kali ini dan hujan dijangka boleh berterusan sehingga tiga hari berturut-turut.

“Episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pada November dan Disember 2017. Pada Disember 2017 dan Januari 2018, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di barat Sarawak serta utara dan timur Sabah,” kata kenyataan tersebut.


ANCAMAN SECARA SENYAP

Selain daripada ancaman banjir, musim tengkujuh ini sebenarnya juga membawa bahaya sampingan yang mungkin ramai terlepas pandang antaranya adalah pembiakan nyamuk yang meningkat dengan mendadak.

Umum sudah mengetahui bahawa nyamuk membiak di tempat air bertakung dan mereka membawa ancaman pelbagai penyakit merbahaya seperti demam denggi, malaria dan zika di samping rasa gatal yang tidak menyenangkan.

Malah, sejarah pernah melabelkan serangga ini sebagai makhluk pembunuh setelah hampir separuh populasi manusia meninggal dunia sejak zaman paleolitik akibat penyakit malaria.

Setakat November 2017 sahaja, sudah terdapat 71,892 kes denggi di negara ini yang membabitkan 162 kematian!

Namun, tahukah anda bahawa terdapat beberapa tumbuhan yang anda boleh tanam di sekitar kawasan rumah yang mampu melindungi keluarga anda daripada ancaman nyamuk?

Di sini Rojak Daily Skop! nyatakan lima jenis tanaman yang mampu membantu anda tidur dengan lebih nyenyak pada waktu malam tanpa gangguan nyamuk:

1. BUNGA LAVENDER

Arona  bunga lavender ini dipercayai mampu menganggu deria nyamuk untuk mencari mangsa.


Ramai yang mengetahui bahawa bunga lavender mempunyai aroma yang wangi dan sangat menyenangkan. Aroma ini berasal daripada minyak yang terdapat pada daun tersebut dan seringkali digunakan sebagai minyak wangi, pencuci tangan dan haruman rumah.

Haruman ini juga dipercayai mampu menggangu deria bau nyamuk. Ini agak penting kerana nyamuk bergantung kepada deria bau mereka untuk mencari mangsa. Selain kebolehan menghalau nyamuk dan mengeluarkan aroma yang wangi, warna ungunya yang lembut mampu menjadikan hiasan rumah anda tampak lebih menarik dan menawan!

2. CATNIP/CATMINT

Tanaman Nepeta Cataria yang lebih dikenali sebagai pokok catnip atau catmint merupakan sejenis herba daripada keluarga Mint. Ramai yang menyalah anggap tumbuhan ini sebagai pokok kucing galak walaupun mempunyai beberapa ciri yang sama seperti sangat digilai oleh kucing.

Kandungan aktif dalam pokok ini iaitu Nepetalactone adalah seperti ganja kepada kucing kerana mampu memberi kesan halusinasi kepada mereka. Kucing akan menyapu, menjilat, menghidu dan makan pokok catnip dan berkelakuan seperti mabuk dan hiperaktif.

Disamping itu, tumbuhan ini mampu menghalau nyamuk dengan sangat berkesan. Malah, mengikut kajian yang dilakukan oleh Iowa State University, pokok catnip adalah 10 kali lebih berkesan daripada DEET, iaitu bahan kimia yang digunakan dalam kebanyakan racun serangga.

3. BASIL

Kelebihan pokok basil boleh menghalau serangga seperti nyamuk dan lalat.

Basil adalah sejenis tanaman herba yang beraromatik dan tergolong dalam keluarga kemangi, selasih dan tulasi. Di Eropah, ia seringkali diguna dalam ramuan makanan terutamanya gaya masakan Itali.

Sesuai ditanam berhampiran sumber air dan matahari, pokok basil juga mempunyai kemampuan untuk menghalau serangga seperti nyamuk dan lalat. Merujuk kajian yang dilakukan oleh Deemed University pada tahun 2009 mendapati bahawa minyak yang terdapat pada basil adalah toksik terhadap pertumbuhan jejentik nyamuk.

4. BUNGA MARIGOLD

Nyamuk tidak suka terhadap bau busuk seperti bunga tahi ayam.

Pokok Marigold juga dikenali di negara kita sebagai bunga tahi ayam kerana ia mengeluarkan bau yang agak busuk. Namun, bau busuk ini juga sebenarnya mampu menghalau nyamuk dan beberapa serangga lain.

Walaupun tidak dapat dibuktikan secara saintifik, masyarakat di Wales pada zaman dahulu menggunakan bunga marigold ini untuk meramalkan cuaca. Seandainya bunga tersebut berada pada keadaan yang agak tertutup dan tidak berkembang, itu adalah petanda bahawa ribut bakal melanda.

Bahkan, masyarakat ketika itu juga percaya bahawa tindakan merenung bunga ini terlalu lama mampu menjadikan seseorang itu menjadi mabuk!

5. ROSEMARY

Meskipun tanaman rosemary sering digunakan dalam masakan tetapi ia tidak disukai nyamuk.


Rosemary adalah sejenis tumbuhan herba yang berasal dari kawasan Mediterranean tetapi juga boleh hidup di negara kita. Ia boleh ditanam dalam pelbagai jenis tanah asalkan ianya mempunyai saliran yang baik.

Seringkali digunakan sebagai bahan masakan, ia juga mempunyai pelbagai khasiat yang baik seperti antibakteria, antikulat, antioksida, antitumor dan pelbagai khasiat lagi. Ia juga merupakan tumbuhan penghalau nyamuk dan serangga yang baik malah, turut disyorkan oleh New York Botanical Garden dan PlantShed bagi tujuan tersebut.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top