CLOSE
CLOSE

Jangan Bimbang Pergi, Balik Tengok Final TM Piala Malaysia

Penyokong bola sepak yang hadir menonton boleh membuat tuntutan kepada FMLLP.


  • Share:

Jangan Bimbang Pergi, Balik Tengok Final TM Piala Malaysia
Pemegang tiket Final TM Piala Malaysia 2017 dilindungi insurans `Group Personal Accident' atau (GPA). (Gambar: Johor Southern Tigers - Facebook)
Tarikh untuk menentukan pasukan mana yang bakal menjulang Piala Malaysia semakin hampir. Perlawanan akhir yang mendebarkan itu akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor pada 4 November ini. 

Penentuan hebat membabitkan pertembungan dua gergasi bola sepak tanah air Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah. Aura sukan yang cukup mendebarkan ramai peminat bola sepak tanah air bagi tahun 2017. Pastinya, penyokong kedua-dua pasukan sedang bersiap sedia untuk memberi sokongan terbaik di stadium pada malam tersebut. 

Mesyuarat penyelarasan Tiket Final TM Piala Malaysia pada 24 Oktober lalu memperuntukan sebanyak 30,000 keping tiket untuk setiap pasukan yang akan bertanding. 

Sebanyak 4,000 keping tiket untuk dijual secara dalam talian (online) turut diperuntukan untuk JDT dan Kedah manakala sebanyak 2,000 tiket juga secara online dibuka kepada mana-mana penyokong yang mahu menyaksikannya. 

Selain itu sebanyak 2,000 tiket diperuntukan untuk kanak-kanak. Sebanyak 750 tiket untuk kanak-kanak yang menyokong Kedah dan 750 tiket kanak-kanak yang menyokong JDT.

Secara keseluruhan sebanyak 72,000 keping tiket termasuk untuk kanak-kanak diperuntukan bagi perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017 dengan harga ditetapkan RM50 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. 

Harga tiket sebanyak RM50 bukan nilai kecil tetapi demi pasukan masing-masing, tiket Final TM Piala Malaysia 2017 pasti menjadi rebutan ramai. 

Bagaimanapun, adakah anda tahu sebagai pemegang tiket Final TM Piala Malaysia 2017 sebenarnya dilindungi oleh insurans `Group Personal Accident' atau (GPA)? 


PAMPASAN INSURANS SEHINGGA RM5,000

Football Limited Liability Partnership (FMLLP) dalam satu kenyataan mengingatkan bahawa pemegang tiket Final TM Piala Malaysia 2017 boleh membuat tuntutan insurans jika terlibat dalam kemalangan semasa ke stadium, sewaktu perlawanan atau ketika pulang dari stadium.  

Bagaimanapun, mereka yang layak mendapat perlindungan insurans itu jika kemalangan berlaku semasa perlawanan dalam tempoh 12 jam sebelum perlawanan bermula atau 12 jam selepas perlawanan itu tamat. 

Manfaat yang ditawarkan menerusi insurans GPA tiket itu adalah seperti berikut: 
  1. Pampasan kematian akibat kemalangan = RM 5,000 
  2. Pampasan cacat kekal akibat kemalangan = RM 5,000 
  3. Kos Perubatan akibat kemalangan = hanya kos perubatan di bawah RM500 sahaja ditanggung (RM25 akan ditanggung oleh pemegang tiket)
  4. Khairat Kematian akibat kemalangan = RM1,000

CARA TUNTUT INSURANS 

FMLLP turut memaklumkan cara untuk menuntut insurans GPA oleh pemegang atau waris pemegang tiket Final TM Piala Malaysia 2017. 

Pertemuan kedua final Piala Malaysia antara JDT menentang Kedah menjadi antara pelawanan yang dinantikan.

Berikut merupakan aliran proses tuntutan perlindungan insurans GPA oleh waris pemegang tiket Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2017 jika terlibat dalam kemalangan maut: 

1. Waris pemegang tiket hendaklah membuat laporan polis memaklumkan bahawa pemegang tiket asal telah meninggal dunia akibat kemalangan sejurus selepas mendapatkan pengesahan laporan daripada pihak hospital. 

2. Selepas urusan pengebumian jenazah selesai, waris hendaklah membawa bersama salinan laporan polis, sijil kematian, laporan kematian daripada pihak hospital dan tiket asal untuk membuat tuntutan pampasan kematian di pejabat FMLLP.

3. Semua dokumen tersebut perlu diserahkan kepada pejabat FMLLP dan tiket perlawanan akhir tersebut juga perlu disahkan oleh pejabat FMLLP. Setelah itu, waris hendaklah mengisi borang tuntutan yang akan diberikan oleh pegawai di pejabat FMLLP.

4. Lengkapkan borang tuntutan tersebut dengan memberikan maklumat secara terperinci.

5. Setelah dokumen-dokumen tersebut lengkap, pihak FMLLP akan menyerahkannya kepada syarikat insurans (MPI Generali), untuk urusan pembayaran pampasan. Waris akan dihubungi oleh pihak insurans (MPI Generali) jika terdapat sebarang bukti lain yang diperlukan, atau sekiranya proses tuntutan tersebut telah berjaya.

6. Tempoh pembayaran dianggarkan kurang 60 hari daripada tarikh dokumen yang lengkap diserahkan kepada syarikat insurans (MPI Generali).

Berikut pula aliran proses tuntutan perlindungan insurans GPA kepada pemegang tiket Final TM Piala Malaysia 2017 yang mengalami kecederaan: 

1. Pemegang tiket perlu mendapatkan rawatan segera daripada mana-mana klinik atau hospital berdekatan.Bil-bil kos perubatan hendaklah dibayar oleh pemegang tiket terlebih dahulu.

2. Pemegang tiket hendaklah membuat laporan polis sejurus selepas menerima rawatan kecemasan tersebut. Laporan polis harus menerangkan bahawa kemalangan tersebut berlaku dalam perjalanan ke stadium, dalam stadium atau ketika perjalanan pulang ke selepas tamat perlawanan.

3. Untuk membuat tuntutan bayaran balik bil-bil kos perubatan tersebut, pemegang tiket hendaklah membawa bersama salinan laporan polis, salinan kad pengenalan pemegang tiket, resit-resit atau bil-bil asal kos perubatan dari klinik atau hospital dimana mendapatkan rawatan, laporan perubatan (jika perlu) dan tiket asal yang disahkan oleh FMLLP.

4. Pemegang tiket hendaklah maklumkan kepada FMLLP mengenai kecederaan atau kecacatan kekal akibat kemalangan yang berlaku dan mendapatkan borang tuntutan daripada FMLLP.

5. Lengkapkan borang tuntutan tersebut dengan memberikan maklumat secara terperinci. Borang tuntutan tersebut hendaklah disertakan sekali bersama dokumen-dokumen seperti yang dinyatakan di Perenggan 3 .

6. Borang tuntutan yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan kepada FMLLP bersama-sama dokumen yang diperlukan untuk proses tuntutan.

7. Setelah dokumen-dokumen tersebut lengkap, pihak FMLLP akan menyerahkannya kepada syarikat insurans (MPI Generali), untuk urusan pembayaran pampasan. Pemegang tiket akan dihubungi oleh pihak insurans (MPI Generali) jika terdapat sebarang bukti lain yang diperlukan, atau sekiranya proses tuntutan tersebut telah berjaya.

8. Tempoh pembayaran dianggarkan kurang 60 hari daripada tarikh dokumen yang lengkap diserahkan kepada syarikat insurans (MPI Generali).

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top