Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Cara Mudah Dapat Sayur Segar Tanpa Perlu Bayar!

Boleh guna botol dan tayar lama untuk membantu sayur tersebut.

0
comments
Cara Mudah Dapat Sayur Segar Tanpa Perlu Bayar!
Aktiviti berkebun di rumah juga sebenarnya boleh menjadi sesi asas pembelajaran subjek Sains. (Gambar: Adelia Amin)
Berbudi kepada tanah dengan cara betul jelas memberi kepuasan dan pulangan kepada seorang peniaga kecil-kecilan yang memanfaatkan sepenuhnya halaman rumah dengan tanaman sayuran-sayuran.

Ia bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan buat Sharinnahar Latib, 32, dan keluarganya untuk membeli sayur-sayuran sebagai sumber makanan, malah mencantikkan kawasan persekitaran rumah dengan landskap yang unik.

Sharinnahar atau lebih dikenali dengan panggilan Yen mula menanam sayur di rumah sewanya di Taman Inderasempura, Kuantan, Pahang pada tahun lalu selepas membaca berita penanaman sayur di halaman rumah.

Memang puas hati apabila makan kacang panjang segar yang ditanam sendiri.

Dibantu isterinya, Noraniza Kamsani yang berusia 31 tahun, Yen menanam sayur seperti bayam, kacang panjang, bendi, kangkung, kailan, kubis, salad, terung dan cili di persekitaran rumahnya.

Katanya, dia menggunakan bahan-bahan terbuang seperti botol serta tayar untuk menempatkan sayur serta kayu sebagai batas dan ia menjimatkan kos penanaman kerana hanya perlu benih sayur sahaja untuk disemai.

"Puas hati bila ia mengeluarkan hasil, puas mata memandang apabila sayur menjadi dan persekitaran rumah pun cantik...saya tidak perlu keluarkan duit untuk membeli sayur, hanya perlu petik di  luar rumah sahaja.

"Saya turut berkongsi lebihan sayur dengan jiran-jiran, sekurang-kurangnya semua dapat merasa,” katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Jangan tak percaya salad juga boleh hidup di dalam kawasan rumah.

SESI ASAS PEMBELAJARAN SAINS

Yen berkata, dia turut menanam sayuran di halaman rumah yang baru dibelinya di Taman Perumahan Makmur Penor Utara Jaya.

“Ia seperti sudah menjadi hobi pula sekarang dan memenuhi masa terluang, persekitaran rumah pun cantik. Sekarang semua sayur sudah dipetik dan saya akan membuat semaian baharu tidak lama lagi,” katanya.

Lebih seronok katanya apabila kedua-dua anak lelakinya yang berusia lima dan enam tahun turut meminati aktiviti bercucuk tanam dan sering membantunya di kebun mini mereka.

"Memang seronok tengok mereka asyik mencangkul tanah dan petik sayur. Selain dapat eratkan hubungan keluarga, kami jadikan aktiviti berkebun ini sebagai sesi asas pembelajaran subjek Sains," katanya.

Namun, jika anda tidak mempunyai tanah lapang untuk bercucuk tanam, apa kata cuba dengan menanam di pasu atau gunakan kaedah hidroponik dan mulakan dengan tanaman berpokok seperti cili, daun kari atau daun pandan.

Walaupun usaha ini kecil tapi jika dihitung secara bulanan, anda mampu berjimat banyak dalam perbelanjaan harian. Jom mulakan sekarang!
 
 
Comments



Back to top