Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo
Back to top

Pinjaman Perumahan Tidak Lulus Atau Harga Rumah Terlalu Mahal?

Masih ramai lagi rakyat Malaysia tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

0
comments
Pinjaman Perumahan Tidak Lulus Atau Harga Rumah Terlalu Mahal?
Ramai yang mahu membeli rumah beranggapan faktor pinjaman perumahan yang tidak lulus menjadi satu masalah. (Gambar: Rojak Daily Skop!)
Bagi kebanyakan rakyat di negara ini, antara keputusan terbesar yang perlu dibuat sepanjang hayat mereka adalah membeli rumah. Tidak kiralah sama ada pembelian ini bagi tujuan tempat tinggal sendiri mahupun digunakan sebagai pelaburan, ia akan melibatkan jumlah perbelanjaan wang yang besar.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita semakin banyak mendengar rungutan dari orang ramai yang mengatakan harga rumah kini adalah terlampau mahal sehingga tidak mampu dimiliki.

Malah, kesukaran untuk mendapat pinjaman perumahan diberikan sebagai faktor semakin ramai penduduk masih belum memiliki rumah. Namun, apakah benar ramai dalam kalangan kita berdepan situasi sedemikian?

Pasti ramai yang terkejut apabila mengetahui Bank Negara Malaysia (BNM) mengatakan bahawa itu sebenarnya adalah mitos!


REALITI SEBENAR PINJAMAN PERUMAHAN

Di sebalik permintaan orang ramai kepada BNM untuk memberi kelonggaran dalam meluluskan pinjaman perumahan, mereka masih belum berganjak. Sebaliknya, mereka mengatakan bahawa industri hartanah perlu melipat gandakan usaha untuk mengurangkan kos dan memperbanyakkan lagi bekalan.

Malah, satu laman sesawang baru, Housing Watch diwujudkan bertujuan menyediakan maklumat sebenar mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi harga dan permintaan rumah di negara ini. Semalam (11 Oktober), laman tersebut memaparkan laporan Bloomberg bersama pihak BNM yang mengatakan pinjaman perumahan tidak perlu dipersalahkan kerana realitinya rumah pada masa kini sememangnya tidak mampu dimiliki!

Malah, laporan itu menyatakan kadar kelulusan pinjaman perumahan di bandar-bandar utama di serata negara adalah pada tahap 70 peratus ke atas.


MAMPU KE MILIKI RUMAH?

Mengikut bancian yang dilakukan pada tahun 2010, hanya separuh daripada penduduk Kuala Lumpur memiliki rumah sendiri manakala angka bagi keseluruhan negara adalah 72.5 peratus.

Mengikut laporan yang dijalankan Institut Pengajian Khazanah pada tahun 2015, harga median bagi rumah di Malaysia adalah 4.4 kali lebih tinggi daripada median pendapatan tahunan seisi rumah.

Mengikut piawaian antarabangsa, angka tersebut menjadikan harga rumah di negara ini sebagai amat tidak mampu dimiliki. Laporan tersebut mengatakan untuk pasaran rumah diklasifikasikan sebagai mampu milik, median harganya perlulah tinggi setakat tiga kali ganda sahaja.

Housing Watch juga mendedahkan bahawa sebanyak 12,994 rumah baru telah dibina pada suku pertama tahun ini. Daripada angka tersebut hanya 20 peratus sahaja berada pada harga di bawah RM250,000 iaitu penurunan berbanding angka 33 peratus pada 2010 sehingga 2014.

BNM menggangarkan Malaysia kekurangan 960,000 rumah mampu milik ketika ini dan angka tersebut dijangka mencecah 1 juta menjelang tahun 2020.

“Fokus sepatutnya diberikan terhadap pembinaan rumah mampu milik, bukannya membina rumah mahal, cuba menjualnya dan selepas itu merungut bila bank tidak beri pinjaman.

Punca orang ramai sukar dapat pinjaman adalah kerana harga rumah tidak mampu dimiliki. Ia menjangkaui kemampuan mereka untuk membayar semula,” ujar Setiausaha Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj.
 
 
 
Comments