CLOSE
CLOSE

Ada Berani Cuba Rasa Kaki Kambing?

Masakan istimewa dari Johor ini dihidangkan bersama nasi briyani yang cukup menyelerakan.


  • Share:

Ada Berani Cuba Rasa Kaki Kambing?
Bagi penggemar daging kambing, jangan lepaskan peluang menikmati Nasi Briyani Kaki Kambing yang dijual di Sri Wangsa Briyani Batu Pahat (Sri Wangsa), Kuala Lumpur. (Gambar: Aina Medina)

Di mata dunia, Malaysia bukan saja sinonim dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan mempunyai pelbagai jenis kebudayaan tetapi juga terkenal dengan variasi makanannya.

Malah, setiap negeri di negara kita ini turut terkenal dengan keenakan makanan mereka tersendiri.

Negeri yang terletak di selatan negara juga tidak terkecuali. Johor terkenal dengan makanan-makanannya yang menariknya seperti mee bandung, mee rebus, nasi ambeng, burasak dan banyak lagi.

Bagi Bangsa Johor atau mereka yang pernah berkunjung ke Johor, restoran Sri Wangsa Briyani Batu Pahat (Sri Wangsa) sememangnya terkenal sebagai sebuah syarikat katering yang menawarkan masakan Nasi Briyani Kambing dalam kalangan masyarakat setempat.

Mereka menampilkan keistimewaan dengan mewujudkan ciri-ciri asli makanan Johor.

Mi Bandung antara menu popular Johor yang digemari ramai juga boleh didapati di restoran Sri Wangsa Briyani Batu Pahat (Sri Wangsa), Kuala Lumpur.

PERNAH CUBA KAKI KAMBING?

Dalam mengekalkan konsep utama Sri Wangsa untuk mengangkat menu Nasi Briyani Kambing sebagai pilihan utama, mereka tidak ketinggalan menawarkan pilihan lain seperti Briyani Daging dan Briyani Ayam Masak Merah.

Menariknya, bukan semata-mata hidangan daging kambing, Sri Wangsa mengetengahkan kelainan apabila tampil menyediakan Briyani Kaki Kambing atau lebih dikenali sebagai ‘lamb shank’.

Bagi penggemar lamb shank, anda pasti tertarik dengan menu ini.

Meskipun penulis bukanlah penggemar daging kambing tetapi gabungan nasi bersama setiap bahan yang terdapat dalam masakan berkenaan benar-benar mengangkat selera penulis.

Daging yang dimasak tidak berbau seperti sesetangah masakan kambing yang lain. Apakah rahsia keenakan resepi-resipi ini?

Mereka yang takut mencuba 'kaki kambing' boleh memilih Nasi Briyani Ayam Masak Merah.

RAHSIA KESEDAPAN 

Sri Wangsa Briyani menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi seperti beras Basmathi terpilih. Pemilihan beras terbabit bertujuan untuk memberi peluang kepada pelanggan merasai keaslian nasi briyani daripada beras terbaik. Ia juga sesuai bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, keistimewaan nasi briyani Sri Wangsa juga terletak pada daging serta tulang kambing. Mana tidaknya, Sri Wangsa mengimport daging terbaik dari luar negara bagi menjamin aroma dan kesedapan masakannya.

Menambahkan lagi kelazatan pada nasi briyani ini adalah kombinasi rempah ratus yang digunakan. Ia dibawa khas dari Batu Pahat dan merupakan resipi turun-menurun.

Set menu nasi briyani di sini disertakan bersama kuah dalca dan acar jelatah bagi membangkitkan lagi selera pelanggan ketika menjamu hidangan.

Bangsa Johor pastinya menggemari laksa Johor yang menjadi identiti menu wajib negeri mereka.

Sekiranya ingin bertukar selera, pelanggan boleh memilih untuk menikmati hidangan dalam masakan Nasi Briyani mahupun Nasi Bukhari.

Tidak hanya memfokuskan kepada nasi briyani saja, Sri Wangsa turut menyediakan menu lain yang berkonsepkan Authentic Johor Food, di mana pelanggan boleh merasai kelazatan menu yang ditawarkan antaranya Laksa Johor, Mee Bandung, Mee Rebus serta Soto Ayam.

Sekiranya anda ke sini, anda wajib nikmati setiap hidangan kerana setiap suapan dan hirupan yang dirasai akan membawa anda seperti berada di Johor sendiri.

Hidangan pembuka selera seperti Rojak Buah turut dijual. Terdapat juga Tauhu Sumbat Bakar yang dipenuhi dengan hirisan timun, lobak merah segar beserta sos pencicah yang menyelerakan.

Selain nasi briyani, pengunjung juga boleh mencuba Tauhu Sumbat Bakar yang menyelerakan.


LAYAN KAMBING, LAYAN KOPI

Bagi pengemar kopi pula, anda harus mencuba air kopi yang terdapat di Sri Wangsa. Kopi yang digunakan adalah kopi asli dari Muar yang popular dengan aroma menyegarkan.

Minuman kopi terbabit merupakan pilihan ‘hangat’ pelanggan Sri Wangsa Briyani untuk membasahi tekak selain air Sirap Bandung Soda.

Mesti anda terliur kan? Tetapi jangan risau, kini anda tidak perlu lagi melancong jauh untuk merasai hidangan Sri Wangsa. Mereka mengambil inisiatif membuka restoran di ibu kota Kuala Lumpur untuk membolehkan pelanggan dari luar Johor merasai kenikmatan masakan yang disediakan.

Mula beroperasi pada 28 September tahun lalu, restoran berkenaan terletak berhadapan dengan gedung tekstil negara, Jakel Mall.

Kedudukannya di tengah bandaraya itu amat sesuai dijadikan pilihan warga kota terutamanya pekerja di kawasan sekitar untuk menikmati hidangan semasa waktu rehat.

Restoran ini beroperasi dari 11.30 pagi sehingga 8.30 malam pada setiap Isnin hingga Ahad turut menyediakan perkhidmatan penghantaran menerusi khidmat aplikasi penghantaran 'FoodPanda'.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top