Mungkin Kita Tidak Dapat Makan Durian Lagi Lepas Ini

Kajian terbaru saintis mendapati jumlah raja buah itu akan berkurangan pada masa akan datang.


  • Share:

Mungkin Kita Tidak Dapat Makan Durian Lagi Lepas Ini
Jumlah durian dijangka berkurangan apabila ekosistem terjejas akibat kepupusan keluang. (Gambar: Rojak Daily Skop!)
Pada Ogos tahun lalu satu festival buah-buahan diadakan di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar), Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Ribuan orang ramai menghadirinya. Fokus mereka sudah tentu mahu menjamah durian. 

Natijahnya sebanyak lima tan durian yang dibekalkan untuk pengunjung hari pertama program itu habis dimakan hanya dalam tempoh tiga jam oleh orang ramai. 

Malangnya ada sebahagian pengunjung tidak berkesempatan menikmatinya. Mereka jadi marah sehingga melemparkan perasaan tidak puas hati menerusi media sosial. Kerajaan negeri pula terpaksa membuat permohonan maaf. 

Begitulah kisahnya tentang kehebatan durian yang juga dikenali sebagai raja buah oleh masyarakat negara ini yang sememangnya menjadi buah kegemaran rakyat Malaysia.


KEBERGANTUNGAN JUMLAH DURIAN 
 
Lupakan saja insiden tersebut mahupun mengulas lebih lanjut tentang keenakan durian. Sebaliknya, satu kajian oleh sekumpulan saintis di Pulau Tioman baru-baru ini mengenai durian mempunyai kaitan dengan spesis haiwan dikenali keluang menarik perhatian untuk dikongsi bersama orang ramai. 

Keluang merujuk kepada haiwan mamalia dalam keluarga haiwan kelawar yang dipanggil Pteropodidae. Di Malaysia, ia lazimnya digunakan bagi merujuk kepada spesis khusus Pteropus Vampyrus.

Keluang kebiasaannya dibunuh oleh manusia kerana dianggap sebagai haiwan perosak. Keluang mengakibatkan kerosakan dan kerugian apabila ia memakan buah tanaman.

Namun, ia juga haiwan yang sangat terancam akibat pemburuan dan penebangan hutan. Kadang-kala ia ditangkap, dijual dan dimakan kerana didakwa boleh digunakan untuk perubatan termasuk lelah. 

Faktor-faktor itu yang menyebabkan populasi keluang di seluruh dunia berkurangan dengan sangat mendadak. Namun, adakah anda tahu apa kepentingan keluang kepada durian? 

Sebelum ini, masyarakat sedia maklum kelawar kecil yang dipanggil cecadu gua merupakan pendebunga untuk durian tanpa mereka menyangka keluang turut memainkan peranan penting keatas pertumbuhan durian selama ini. 

Kajian oleh kumpulan saintis diketuai Dr Sheema Abdul Aziz itu mendapati keluang juga merupakan agen pendebunga untuk pokok durian. Penemuan itu diperoleh melalui pemasangan kamera perangkap pada pokok-pokok durian di Pulau Tioman. 

Kumpulan saintis terbabit berjaya mendapatkan rakaman video menunjukkan spesis keluang mendebungakan bunga durian yang seterusnya menghasilkan durian yang sihat. 

“Ini adalah penemuan yang sangat penting kerana ia menunjukkan perkhidmatan ekosistem yang disediakan oleh keluang," kata Sheema yang juga presiden Pertubuhan RIMBA merupakan kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian sains konservasi di Semenanjung Malaysia. 


INDUSTRI DURIAN TERJEJAS

Kesimpulan oleh kumpulan saintis itu, keluang memainkan peranan sangat penting sebagai agen pendebunga dan penyebar biji benih dalam hutan termasuk durian terutama di kawasan pulau. 

Justeru, kepupusan keluang boleh mengakibatkan ekosistem tropika terjejas dengan teruk sekali gus turut menjejaskan penghasilan durian di rantau Asia Tenggara. 

"Populasi cecadu gua sudah pun terjejas akibat aktiviti penerokaan batu kapur. Jika keluang juga terus diburu sehingga pupus, sudah tentu raja buah’ di Asia Tenggara akan turut terkesan. 

"RIMBA akan mengkaji isu ini dengan lebih mendalam supaya tindakan pemuliharaan dapat dicetuskan," kata Sheema.

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top