CLOSE
CLOSE

Samsung Galaxy Note 8 Papar Imej Lebih Jelas, Guna Pengimbas Mata

Telefon pintar Samsung yang dilancarkan malam tadi memperkenalkan spesifikasi lebih hebat untuk pengguna.


  • Share:

Samsung Galaxy Note 8 Papar Imej Lebih Jelas, Guna Pengimbas Mata
Samsung bertindak lebih kehadapan dengan mengeluarkan fungsi pengimbas mata atau Iris Scanner pada telefon pintar, Galaxy Note 8 terbaru. (Gambar: Samsung)

Tahun lalu Samsung Galaxy Note 7 boleh dikatakan sebagai telefon pintar paling popular. Namun, populariti dikecapi itu bukan disebabkan perkara positif sebaliknya insiden beberapa unit Note 7 yang ‘meletup’ menjadi perbualan hangat seluruh dunia.

Masalah terbabit dilaporkan berpunca daripada masalah pada sel bateri serta rekaan kerangka yang dipasang pada Note 7. Malah, masalah terbabit menjadi semakin serius apabila setiap lapangan terbang ketika itu turut melarang peranti terbabit dibawa masuk ke dalam pesawat.

Bagaimanapun insiden berkenaan sudah pun berlalu hampir setahun dan kini Samsung bangkit dengan legasi terbaru dalam keluarga siri Note dengan melancarkan Galaxy Note 8 di New York, malam tadi.

Lebih menarik lagi, majlis pelancaran yang bermula jam 11 malam waktu tempatan dimulakan dengan tayangan video yang agak beremosi. Samsung mengumpulkan rangkuman video pengguna siri note pertama hinggalah Note 7. Video terbabit sebagai tanda penghargaan Samsung kepada kesemua pengguna setianya dengan mesej "Thank You For Believing Us and Inspiring Us To Be Better".

Mambangkitkan semangat peminat gajet jenama Samsung, Rojak Daily Skop! senaraikan 10 perkara yang anda perlu tahu sepanjang pembentangan Note 8 di New York semalam.

1. Skrin 'Infinity' terbesar.

Skrin 'Infinity Display' pada Galaxy Note 8 menjadikan ia antara skrin terbaik di pasaran buat masa ini.

Galaxy Note 8 mempunyai skrin beresolusi QuadHD+ jenis Super Amoled terbesar buat masa ini iaitu bersaiz 6.3 inci dengan nisbah paparan 18.5:9. Paparan Note 8 ini hanya sedikit besar jika dibandingkan dengan Galaxy S8+ yang bersaiz 6.2 inci. Skrin digelar sebagai Infinity Display ini mempunyai bezel paling minimal pada kedua-dua sisi kiri dan kanan sekali gus menjadikan ia antara skrin terbaik yang bakal berada di pasaran.

2. Bateri sekadar 3300mAH.

Samsung dilihat lebih berhati-hati meletakkan kapasiti bateri lebih tepat pada Galaxy Note 8.

Insiden Galaxy Note 7 yang ‘meletup’ nampak gayanya menjadikan Samsung lebih berhati-hati dalam memilih kapasiti bateri yang tepat. Jika Note 7 dilengkapi bateri sebesar 3500mAH tetapi kali ini Note 8 hanya tersedia dengan kapasti 3300mAH. Sejauh mana ketahanan bateri ini masih lagi belum diketahui sebaliknya, peranti ini masih dilengkapi dengan sokongan pengecasan pantas.

3. S Pen lebih mantap

Ciri S Pen sangat sinonim dengan pengguna telefon pintar Samsung dipertingkatkan dari aspek perisian.

Stylus kebanggaan Samsung digelar sebagai S Pen ini dipertingkatkan dari segi perisian dengan menambah beberapa fungsi tambahan seperti 'Live Message' dan 'Screen Off Memo'. 'Screen of memo' membolehkan pengguna menulis apa jua catatan pada skrin biarpun telefon berada dalam keadaan terkunci. 'Live Message' pula mirip kepada fungsi iMessage pada iPhone yang mana pengguna boleh menghantar teks animasi. Bezanya ia  ditulis menggunakan SPen.

4. Kamera terbaik di pasaran.

Teknologi kamera pada Samsung Galaxy Note 8 menghasilkan imej yang ditangkap tidak kabur dan bergoyang biarpun ketika zum.

Kualiti imej dihasilkan peranti Samsung diperakui antara yang terhebat di pasaran. Namun, apa yang menarik kali ini Galaxy Note 8 dilengkapi dua lensa kamera 12 megapixel (MP) dengan apertur f/1.7. Jika LG G6 menggunakannya dual lensa untuk pengambaran lebar (wide) dan iPhone 7Plus untuk zum dan bokeh, Galaxy Note 8 pula menggabungkan ketiga-tiga ciri itu dalam satu unit.

Malah, Samsung menyatakan Galaxy Note 8 adalah peranti telefon pertama yang mempunyai Optical Image Stabilization (OIS) yang diletakkan pada kedua-dua lensa (iPhone 7Plus hanya satu OIS). Teknologi ini berupaya menjadikan imej yang ditangkap tidak kabur dan bergoyang biarpun ketika zum.

Selain itu teknik mengaburkan imej di belakang atau ‘Bokeh’ turut diterapkan dalam kamera Note 8. Fungsi 2X optikal zum pula membolehkan gambar diambil dengan lebih jelas tanpa menjejaskan kualiti gambar.

5. Spesifkasi lebih hebat dengan RAM 6GB.

Note 8 sememangnya direka khas untuk ‘Power User’.

Kehebatan Samsung Note 8 banyak diwarisi daripada Galaxy S8/8+ termasuk penggunaan cip pemprosesan Snapdragon 835 dengan penggunaan cip 10nm. Namun, Malaysia akan menerima cip pemprosesan versi Exynos 8895 berbanding Snapdragon 835.

Apa yang membezakan model Note ini dengan model S8/S8+ adalah penggunaan RAM sebanyak 6GB. Note 8 sememangnya direka khas untuk ‘Power User’. Note 8 juga hadir dengan memori dalam berkapasiti 64GB yang boleh ditambah kad memori tambahan selain turut dilengkapi fungsi kalis air dan debu IP68.

6. Keupayaan Bixby dan DeX dipertingkat.

Fungsi Bixby pada Galaxy Note 8 direka supaya lebih mesra pengguna.

Pembantu pintar Samsung dikenali sebagai Bixby mula dilancarkan tahun lalu tetapi fungsi yang diperkenalkan masih agak terhad dan lebih kepada penggunaan dalaman telefon pintar. Oleh itu, Samsung menaik taraf fungsi Bixby supaya lebih mesra pengguna.

Bixby kini boleh ditetapkan mengikut kehendak pengguna. Contohnya, Bixby mampu menetapkan jam pengera, menukarkan mod malam secara serentak sekiranya pengguna menyebut ‘Goodnite’. Penetapan seperti ini sebenarnya lebih memudahkan. Selain itu penggunaan Dex yang mampu menukarkan Galaxy Note 8 kepada penggunaan Desktop turut dipertingkat.

7. Kawalan keselamatan menyeluruh.

Ciri keselamatan Galaxy Note 8 dipertingkatkan tetapi pengimbas cap jari masih berada di belakang telefon pintarnya.

Disaat peranti telefon pintar di pasaran menumpukan pengguna biometrik cap jari sebagai fungsi keselamatan, Samsung bertindak lebih kehadapan dengan mengeluarkan fungsi pengimbas mata atau Iris Scanner. Penggunaan pengimbas ini sekali gus menjadikan fungsi keselamatan peranti Samsung lebih menyeluruh dengan merangkumi sebanyak 6 cara iaitu pengimbas mata, muka, jari, penggunaan nombor pin, kata laluan dan juga corak (pattern).

Oh ya, sebelum penulis terlupa, berita kurang baik bagi mereka yang gemar menggunakan pengimbas cap jari, kedudukan pengimbas masih diletakkan di belakang iaitu bersebelahan dengan kamera!

8. Warna tambahan biru laut dalam.

Warna seperti Midnight black, Orchid Grey, Maple Gold antara warna yang sering dikeluarkan dalam setiap model terbaru Samsung. Selain itu warna biru dan merah jambu digelar sebagai Blue Coral dan Rose pink antara edisi terbaru dikeluarkan. Namun, untuk Galaxy Note 8, satu warna baharu mula diperkenalkan dikenali sebagai Deepsea Blue. Samsung masih belum mengeluarkan kenyataan bagi pasaran warna terbabit.

9. Pra tempahan bermula 5 September

Malaysia kekal menjadi antara negara terawal menerima pra tempahan iaitu bermula 5 September ini. Samsung Malaysia menyatakan pra tempahan akan dibuka dari 5 sehingga 10 September dengan pakej khas. Jika melihat tradisi dibawa Samsung, pra tempahan selalunya lebih berbaloi kerana menawarkan beberapa hadiah menarik seperti potongan harga atau pemberian pakej atau peranti tambahan lain.

10. Diskaun kepada bekas pengguna Note 7.

Menurut laporan laman sesawang Phonearena, Samsung dikatakan akan memberi diskaun kepada mereka yang pernah membeli Galaxy Note 7. Untuk makluman pembaca, semua pengguna Note 7 terpaksa mengembalikan semula peranti terbabit atas faktor keselamatan. Pengguna kemudian ditawarkan dengan pemulangan wang atau penukaran unit telefon pintar kepada Galaxy S7 Edge.

Perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan kerja harian pengguna Note 7 yang terpaksa mencari alternatif lain dalam menggunakan telefon pintar. Berikutan itu, pemotongan harga bagi bekas pengguna ini dirasakan amat wajar selain menghargai kesetiaan mereka pada syarikat berkenaan.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top