CLOSE
CLOSE

Dilema Pesakit Kanser Masih Tanggung Kos Rawatan Mahal?

Rumah Perantaraan MAKNA memberi kemudahan pada pesakit untuk terus mendapatkan rawatan.


  • Share:

Dilema Pesakit Kanser Masih Tanggung Kos Rawatan Mahal?
Pesakit kanser perlu mendapatkan rawatan berterusan untuk memastikan kesihatan mereka bertambah baik. (Gambar: MAKNA . Majlis Kanser Nasional - National Cancer Council - Facebook)
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pesakit kanser di seluruh dunia semakin bertambah dan dijangka akan terus meningkat. Pada tahun 2015, kira-kira 8.8 juta manusia di seluruh dunia dilaporkan meninggal dunia akibat kanser.

Secara purata kira-kira 8.2 juta orang meninggal dunia akibat penyakit itu setiap tahun. Di Malaysia, terdapat lebih 100,000 orang dilaporkan menderita kerana kanser dengan sebahagian besarnya adalah golongan wanita.

Kanser paru-paru, prostat, kolorektal, perut dan hati merupakan penyakit kanser yang kebiasaannya dialami golongan lelaki manakala kanser payudara, kolorektal, paru-paru, serviks dan kanser perut antara yang paling biasa dihadapi golongan wanita.

Bagaimanapun, antara 30 sehingga 50 peratus daripada kematian akibat kanser sebenarnya boleh dicegah antaranya dengan cara mengelakkan produk tembakau, mengurangkan penggunaan alkohol, mengekalkan berat badan yang sihat dan bersenam secara kerap.

Dianggarkan satu dalam empat orang rakyat negara ini akan mendapat kanser dan antara puncanya adalah berkaitan dengan gaya hidup mereka.


RAWATAN KANSER MASIH MAHAL?

Jika dahulu kanser diibaratkan sebagai hukuman mati keatas sesiapa yang mengidapnya. Kini dengan kemajuan teknologi dalam bidang perubatan semakin ramai pesakit kanser dapat dipulihkan. Kanser tidak lagi dianggap sebagai penyakit yang menakutkan tetapi masih ada yang membimbangkan pesakit iaitu berhubung kos untuk merawat penyakit itu.

Seorang ahli akademik dari Universiti Malaya, Dr Nimala Bhoopathy sebelum ini pernah menyatakan kos rawatan kanser payu dara sahaja sekitar RM65,000 setahun. Kos rawatan itu bukan saja membabitkan aspek perubatan tetapi juga perbelanjaan yang perlu ditanggung pesakit.

Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan ramai pesakit kanser tidak mampu menanggung perbelanjaan untuk mendapatkan rawatan. Ia termasuk dalam aspek kewangan atau terdapat pesakit yang tidak berkeupayaan secara fizikal untuk mendapatkan rawatan dengan kerap.

"Akibatnya, pesakit cenderung untuk berhenti atau meninggalkan rawatan mereka sebelum selesai sehingga membahayakan peluang pemulihan mereka," katanya.


RUMAH PERANTARAAN MAKNA

Menyedari dilema sebahagian pesakit kanser dalam negara, MAKNA sejak tahun 2008 mengambil inisiatif mewujudkan Rumah Perantaraan MAKNA iaitu menyediakan penginapan kepada pesakit kanser berhampiran hospital. Kemudahan ini bertujuan membantu pesakit kanser yang perlu berulang-balik antara hospital dan rumah mereka sepanjang tempoh rawatan terutama yang menjalani kemoterapi atau radioterapi.

Rumah Perantaraan MAKNA menyediakan penginapan jangka pendek secara percuma untuk pesakit dan penjaga mereka bagi meringankan beban dan membantu pesakit meneruskan rawatan.

"Kami berharap ini akan menggalakkan pesakit meneruskan rawatan mereka terutama dari kawasan terpencil yang perlu pergi jauh dari rumah mereka ke hospital," katanya.

Lebih menarik, setiap rumah perantaraan itu dilengkapi jururawat terlatih bagi memantau keadaan pesakit kanser yang menggunakan kemudahan itu.


HANYA TIGA BUAH 

Rumah Perantaraan MAKNA pertama diwujudkan di Johor Bahru, Johor sebelum ia kemudian dibina di Kepala Batas, Pulau Pinang pada tahun lalu. Semua lokasi penginapan itu terletak tidak jauh dari hospital. Terbaru sebuah lagi Rumah Perantaraan MAKNA dibangunkan di Kubang Kerian, Kelantan.

Rumah perantaraan itu dilengkapi lima bilik tidur, 13 katil, ruang tamu dan dapur termasuk sarapan pagi. Rumah Perantaraan MAKNA di Kubang Kerian terletak kira-kira 10 minit perjalanan atau 2.2 kilometer daripada Hospital Universiti Sains Malaysia. Bagi memudahkan pesakit, MAKNA turut menyediakan pengangkutan kepada pesakit ke hospital sepanjang tempoh penginapan mereka di rumah perantaraan tersebut.

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top