Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Instagram Lebih Hebat Daripada Doktor Boleh Kesan Penyakit!

Kaji selidik mendapati Instagram kini menjadi aplikasi terbaik berbanding Facebook.

0
comments
Instagram Lebih Hebat Daripada Doktor Boleh Kesan Penyakit!
Instagram kini berupaya mengesan pengguna media sosial itu mengidap penyakit kemurungan ataupun tidak hanya menerusi gambar yang dimuat naik menerusi aplikasi tersebut. (Gambar: epsyclinic.com)
Selain daripada telefon pintar, apa agaknya yang sudah menjadi sinonim dengan kehidupan seharian generasi digital yang ada sekarang? Sudah tentu jawapannya adalah media sosial.

Seandainya kita mengimbas semula sewaktu 15 tahun lalu, media sosial yang paling mendapat sambutan ramai adalah Friendster. Tidak lama selepas itu, Myspace pula datang mengambil alih takhta sebagai ‘raja media sosial’. Bagaimanapun, sekitar tahun 2008, Facebook pula gah menawan hati pengguna alam maya dengan mendominasi segala persaingan.

Namun, sepertimana kebanyakan perkara yang dianggap trend dilalui pengguna Internet, begitu juga ada masa kemuncak dan suram sesuatu aplikasi itu di pasaran. Kini, pada tahun 2017, Facebook sudah dianggap sebagai media sosial bagi warga tua sahaja. Para pengguna Internet dan juga dunia pemasaran sudah beralih arah kepada aplikasi yang dikenali sebagai Instagram.


APLIKASI TERBAIK

Semenjak mula dilancarkan pada tahun 2010, aplikasi media sosial Instagram sudah mempunyai lebih 500 juta pengguna aktif. Walaupun pada April 2012 Facebook telah mengambil alih aplikasi yang diasaskan oleh Kevin Systrom dan Mike Krieger itu, Instagram kini telah berjaya mengatasi ‘tuannya’, baik dari segi keterlibatan pengguna mahupun dari sudut nilai pemasaran.

Mengikut satu kaji selidik yang melibatkan seramai 2,500 pengaruh media sosial, seramai 60 peratus mengatakan Instagram adalah aplikasi terbaik dari sudut keterlibatan pengguna. Facebook pula menduduki tempat kedua dalam kaji selidik tersebut dengan mendapat sokongan daripada 18 peratus sahaja.

Maka tidak hairan kebanyakan perniagaan kini lebih gemar mengiklankan produk atau servis mereka di Instagram. Dianggarkan terdapat lebih dari satu juta pengiklan aktif di aplikasi tersebut.


INSTAGRAM JADI DOKTOR

Sesuai dengan kedudukan terkininya sebagai ‘raja’ media sosial, nampaknya Instagram mempunyai satu lagi keistimewaan yang tidak terdapat pada media sosial yang lain iaitu kemampuan untuk mengenal pasti penyakit kemurungan.

Chris Danforth dari University of Vermont dan Andrew Recce dari Universiti Harvard telah membangunkan satu algoritma yang boleh mengenalpasti pengguna Instagram yang mengalami penyakit kemurungan dengan lebih efektif jika dibandingkan dengan doktor perubatan.

Kajian mereka itu telah diterbitkan di dalam jurnal EPJ Data Science pada 8 Ogos lalu. Algoritma yang mereka bina ini akan mengimbas gambar-gambar yang dimuat naik ke Instagram dan seterusnya mengenal pasti pengguna yang mengalami penyakit kemurungan.

Ketepatan algoritma ini adalah pada kadar 70 peratus manakala doktor perubatan hanya berjaya mengenal pasti situasi yang sama dengan kadar ketepatan sebanyak 42%.

Antara faktor yang diambil kira oleh algoritma tersebut adalah penggunaan 'filter' pada gambar yang dimuat naik. Pengguna yang mengalami kemurungan biasanya akan memuat naik gambar yang lebih gelap dan mempunyai elemen warna kekelabuan.

'Filter' jenis 'Inkwell' adalah contoh terbaik bagi situasi seperti ini. Mereka juga lebih kerap memuat naik gambar yang mempunyai wajah seseorang didalamnya. Bagi pengguna yang tidak mengalami kemurungan, pada kebiasaanya akan memilih 'filter' yang akan membuatkan gambar kelihatan lebih terang seperti filter 'Valencia'.

Menerusi contoh 'filter' tersebut, kecanggihan Instagram berupaya menggambarkan tahap kemurungan pengguna media sosial. Ini bermakna, pengguna Instagram selepas ini perlu lebih berhati-hati ketika memuat naik gambar mereka di media sosial tersebut kerana ia boleh memberikan jawapan pada personaliti diri sendiri.

Nampaknya pada zaman digital sekarang, sudah wujud aplikasi yang hampir melakukan kemampuan manusia mengatasi pemikiran manusia itu sendiri. Mungkin, selepas ini Instagram juga mampu memberi 'ubat' seperti khidmat nasihat pada penyakit yang dikesan mereka.
 
 
 
 
Comments



Back to top