CLOSE
CLOSE

Hukuman Pada Perokok Seolah Tiada Kesan, Apa Langkah Seterusnya?

Malaysia meletakkan harapan menjadi negara bebas amalan merokok menjelang tahun 2045.


  • Share:

Hukuman Pada Perokok Seolah Tiada Kesan, Apa Langkah Seterusnya?
Pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk tidak menyediakan kemudahan merokok atau bekas habuk rokok di dalam premis perniagaan mereka. (Gambar: popsnip.com)
Pada 14 Jun 2011, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan lima zon di Melaka sebagai kawasan larangan merokok. Zon larangan merokok di bawah dasar Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) itu meliputi kawasan berikut: 
  • Melaka Raya
  • Melaka Bandaraya Warisan Dunia
  • Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka 
  • Pusat Bandar Alor Gajah
  • Pusat Bandar Jasin

Lima zon tersebut dilaporkan membabitkan kawasan seluas 388 hektar iaitu zon larangan merokok yang pertama di Malaysia. Program MBAR antara lain bertujuan melindungi orang awam daripada ancaman pendedahan kepada asap rokok yang membahayakan kesihatan. 

Ia juga bertujuan untuk memperkasakan golongan bukan perokok supaya memberi teguran kepada perokok di dalam zon MBAR. Berkuatkuasa 1 Jun lalu, Jabatan Kesihatan Melaka mengenakan pula perintah larangan merokok di semua taman awam di negeri itu. 


HUKUMAN KEPADA PEROKOK 

Mereka yang didapati merokok di zon larangan terbabit boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. 

Pewartaan berkenaan selari dengan visi kementerian di bawah Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau supaya Malaysia bebas dari sebarang bentuk amalan merokok menjelang tahun 2045.

Ia kerana di bawah Peraturan 11, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017 Kementerian Kesihatan, berpuluh tempat lain turut diwartakan sebagai kawasan larangan merokok iaitu: 
  • Stadium, kompleks sukan
  • Tempat keagamaan
  • Bas sekolah
  • Kafe Internet
  • Pusat aktiviti
  • Hospital dan klinik
  • Lif dan tandas awam
  • Tempat makan atau kedai yang berhawa dingin 
  • Perpustakaan
  • Institut Pengajian Tinggi
  • Kompleks membeli-belah
  • Kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam
  • Lapangan terbang
  • Bangunan yang dinyatakan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta di bawah peraturan 22
  • Taman asuhan Kanak-kanak
  • Premis kerajaan
  • Stesen minyak
  • Kaunter perkhidmatan
  • Pusat hiburan
  • Kawasan Latihan Khidmat Negara
  • Bangunan yang menggunakan sistem berhawa dingin berpusat

TANGGUNGJAWAB PEMILIK PREMIS 

Pemilik premis sebenarnya bertanggungjawab tidak menyediakan kemudahan merokok atau bekas habuk rokok di dalam premis. 

Mereka juga dikehendaki mempamerkan tanda larangan merokok di dalam premis atau boleh didenda masimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Peniaga perlu juga memastikan tiada orang merokok di dalam premis mereka atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.


PEROKOK TAK GENTAR? 

Bagaimanapun, sepanjang tahun lalu, sebanyak RM90,830 melibatkan 367 kes dikenakan terhadap perokok oleh Jabatan Kesihatan Melaka kerana merokok di kawasan larangan merokok.

Timbalan Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Melaka, Datuk Ng Choon Koon dalam laporan media sebelum ini menyatakan denda sejumlah RM11,850 melibatkan 48 kes pula dikenakan kepada perokok untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Mereka diambil tindakan kerana melanggar PPKHT iaitu merokok di kawasan larangan merokok yang diwartakan di bawah peraturan tersebut," katanya.

Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pelbagai ketetapan oleh pihak berkuasa termasuk peruntukan hukuman yang boleh dikenakan tidak mengerunkan perokok tegar di Melaka atau mereka sebenarnya kekurangan maklumat. 


SKUAD ANTI-ROKOK UTEM 

Menyedari kepentingan untuk semua pihak menyokong langkah kerajaan tersebut, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menubuhkan Skuad Anti-Rokok UTeM dengan objektif memastikan semua premis dalam zon bebas asap rokok. 

Skuad itu antara lain akan membantu kerajaan dalam memberi pendedahan kepada warga UTeM dan Melaka mengenai bahaya rokok kepada diri sendiri dan keluarga.

Dalam satu Seminar dan Pameran Melaka Bebas Asap Rokok anjuran UTeM yang diadakan pada 4 Ogos lalu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Shahrin Sahib menyatakan adalah penting bagi warga UTeM dan komuniti setempat memastikan Melaka menjadi sebuah negeri bebas asap rokok seperti yang ingin dicapai oleh kerajaan negeri.
 

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top