Faye Kusairi Dan Azmi Hatta Akhirnya berkahwin

Sebelum ini menafikan kad undangan yang diedarkan adalah kad undangan perkahwinan.


  • Share:

Faye Kusairi Dan Azmi Hatta Akhirnya berkahwin
Selepas sekian lama menafikan, faye akhirnya berkahwin dengan Azmi. (Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)

Bukan lagi teka teki, sebaliknya pengakuan di laman Instagram meminta orang ramai mendoakan supaya majlis berjalan lancar sebagai pengesahan mengenai pernikahan antara pelakon, Faye Kusairi dan pengarah, Azmi Hatta, semalam.

“Assalamualaikum. Terima kasih di atas semua doa selama ini. Yang baik datang daripada Allah, segala kekurangan dari saya sebagai hamba-Nya. Doakan majlis yang kecil ini akan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan serta diberkati,” katanya menerusi keterangan gambar.

(Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)

Terdahulu, gambar kad undangan perkahwinan yang tertera nama Faye dengan Azmi yang juga bekas suami pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein itu dimuat naik sendiri oleh Faye di Instagramnya secara berperingkat beberapa jam sebelum acara bermula.

Sekali gus, ia menimbulkan tanda tanya malah spekulasi menjadi lebih panas apabila ada di antara peminat memuat naik gambar berkaitan majlis namun baik Faye mahu pun Azmi tidak dapat dihubungi bagi memberikan komen.

(Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)

Sebelum ini, kisah percintaan mereka dipalit kontroversi apabila aktres terbabit didakwa sebagai punca pergolakan rumah tangga antara Elly dan Azmi malah kedua-duanya turut berbalah menerusi laman sosial.

Mengenai pernikahan berkenaan, ia difahamkan berlangsung dalam suasana peribadi yang hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan teman terdekat, pasangan berkenaan dikatakan bernikah di sebuah kondominium di Ampang.

Menurut sumber, Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 30, menerima mas kahwin berjumlah RM300 namun tidak dapat dipastikan berapa jumlah dulang barangan hantaran.

Bagaimanapun, pengantin perempuan pada majlis itu dilihat mengenakan persalinan rona merah jambu yang juga sedondon dengan pasangan selain bertambah manis apabila diacu bersama kerudung kelabu.

Gambar pengantin baharu dikongsi kelab peminatnya di laman sosial mereka.

(Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)

Minggu lalu, ketika media meminta komen berhubung penyebaran gambar kad berkenaan, Faye menafikan ia untuk perkahwinan sebaliknya itu adalah kad undangan sambutan ulang tahun anak buah beliau.

Faye mula mengenali Azmi ketika bekerjasama dalam drama Istikarah Cinta manakala Elly dan Azmi pula bercerai pada 15 Oktober 2015 di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, selepas 11 bulan berumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Apa pun akhirnya kini Faye dan Azmi sudah sah sebagai suami isteri. Kami di team Rojak Daily Kaw! ingin mengucapkan tahniah seterusnya sama-sama mendoakan semoga perkahwinan ini berbahagia hingga ke Jannah.


  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top