Rojak Daily Logo

Rumah Sudah Cukup Selamat? Fikirkan Sekali Lagi...

0
comments
Rumah Sudah Cukup Selamat? Fikirkan Sekali Lagi...
Kemalangan boleh berlaku di mana-mana. (Gambar asal: www.electriciantotherescue.com.au)

Rumah sewajarnya menjadi tempat paling selesa dan selamat untuk didiami. Biarpun kecil, buruk tetapi andai dijaga dengan rapi sudah memadai untuk memberi kepuasan diri setelah seharian keluar mencari rezeki. Di sinilah tempatnya kita meluangkan masa dengan insan paling disayangi. Dalam kita memastikan kediaman kita cukup selamat untuk ahli keluarga, kita tidak mampu menghidu malapetaka bakal menimpa.


Lee Xing Ni (Gambar: www.utusan.com.my)

Terbaharu, seorang wanita yang juga penuntut di sebuah universiti di Korea Selatan dalam jurusan komunikasi massa maut disyaki terkena renjatan elektrik ketika berada dalam bilik mandi di rumahnya di Garden Homes, Seremban 2. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, seramai enam anggota serta seorang pegawai bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.43 malam. Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun, berkata Lee Xing Ni, 19, terkena renjatan dari pemanas air mandian. Terdapat kesan lecuran di bahagian sebelah kiri dada mangsa dipercayai akibat renjatan tersebut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar dan hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah disebabkan renjatan elektrik.

Begitu juga kes yang berlaku pada Ogos 2014 apabila seorang ahli farmasi menemui ajal setelah terkena renjatan elektrik ketika menggunakan pemanas air di rumahnya.

Kes yang sama turut menimpa pasangan Jepun pada September 2013. Dalam kejadian yang berlaku di tingkat 13 sebuah apartmen di Mont Kiara, pasangan suami isteri itu maut apabila si isteri cuba membantu suaminya yang terkena renjatan elektrik ketika menyentuh pemegang pemanas air.

Kejadian ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, Ogos 2014 merekodkan kematian Gregory Ng, pemuda berusia 18 tahun di rumahnya di Hougang Avenue, Singapura. Mangsa sedang mandi ketika kejadian dan sempat menjerit. Jeritannya didengari ahli keluarga yang kemudiannya bertindak menutup suis elektrik pemanas air yang mengeluarkan asap.

Begitu juga kejadian yang menimpa seorang komposer Hong Kong Februari tahun ini yang ditemui tidak sedarkan diri ketika mandi di sebuah rumaj di Yuen Long. Tin Ho-Man ditemui rakan serumahnya tiga jam kemudian dalam keadaan sedang memegang kepada pancuran air mandi yang masih mengalir.

Apa Peranan Kita?

Kami kongsikan tip keselamatan penggunaan barangan elektrik dari TNB:

  • Pastikan semua suis utama ditutup apabila meninggalkan rumah untuk tempoh masa panjang.
  • Jika berlaku trip dan anda berhadapan kesukaran untuk menghidupkan kembali suis utama, terdapat kebarangkalian berlaku kerosakan pada baragan atau suis di rumah. Lakukan pemeriksaan lanjut dengan memanggil kontraktor bertauliah.
  • Jangan sentuh dawai hidup yang terdedah.
  • Jangan sentuh suis dengan tangan basah.
  • Jangan masukkan konduktor tajam ke dalam soket.
  • Jangan melebihi beban bagi suatu sumber kuasa.
  • Elakkan menyambung terlalu banyak peralatan pada satu soket.
  • Baiki peralatan elektrik yang rosak.
  • Jangan menarik palam daripada soket dengan talinya.
  • Jangan sentuh peralatan elektrik dengan tangan yang basah.

Gambar: logicstaffing.net

Tindakan Jika Berlakunya Renjatan Elektrik:

  • Matikan sumber elektrik utama sebelum menyentuh mangsa.
  • Tarik mangsa menjauhi sumber elektrik dengan menggunakan penebat seperti kayu.
  • Baringkan mangsa dalam kedudukan yang sesuai untuk memudahkan pernafasan.
  • Lakukan CPR jika mangsa sukar bernafas.
  • Hubungi ambulans.
 
 
Comments