Rojak Daily Logo

Anda Tidak Boleh Akses Ke Akaun Media Sosial Di Tujuh Negara Ini

0
comments
Anda Tidak Boleh Akses Ke Akaun Media Sosial Di Tujuh Negara Ini
Apabila akses ke media sosial disekat! (Gambar asal: www.brickmarketing.com)

Sehari tanpa akses ke media sosial ibarat si ibu hilang anak. Serba serbi tak kena dan terlalu banyak perkara serta berita yang kita terlepas. Media sosial memainkan peranan yang cukup besar dan punyai banyak kebaikan juga keburukan. Ada yang mudah terjebak menjadi mangsa jenayah seksual, peras ugut, skim penipuan internet dan tidak kurang juga yang menggunakan media sosial untuk menambah pendapatan dan berkongsi ilmu.

Gambar: www.hdwallpapers.in

Menurut artikel yang dipetik Berita Harian, Brazil buat kali ketiga telah menyekat akses ke laman mesej popular telefon pintar, WhatsApp, dalam masa kurang setahun selepas syarikat yang membangunkan aplikasi itu gagal menyerahkan data pengguna kepada polis. Presiden Mahkamah Agung Brazil, Ricardo Lewandowski, bertindak mengarahkan penutupan khidmat laman mesej itu selama empat jam.

Pertikaian berpanjangan dengan pihak berkuasa di Brazil itu bermula apabila mereka gagal mendapatkan akses kepada komunikasi suspek penjenayah kerana bertentangan dengan dasar Facebook yang melindungi hak peribadi dan kebebasan berkomunikasi penggunanya. Kali terakhir disekat pada Mei lalu apabila khidmat WhatsApp digantung selama sehari sebelum dibenarkan beroperasi semula selepas rayuan. Sementara Brazil menyekat akses ke laman sosial WhatsAppnya untuk tempoh sementara, kami senaraikan tujuh buah negara lain yang sering menyekat akses ke sosial media:

Antara negara yang sering menyekat laman sosial (Gambar: www.motherjones.com)

Turki

Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan pernah menyekat Twitter di negaranya selama dua minggu selepas rakaman audio tentang rasuah di dalam kerajaan mula tersebar. Erdogan percaya platform itu digunakan musuh untuk merosakkan reputasinya. Pada 2015, ketiga-tiga platform sosial media iaitu Twitter, Facebook dan YouTube turut disekat selepas penyebaran gambar seorang pendakwa raya warga Turki yang diacukan pistol oleh seorang anggota kumpulan militan beberapa jam sebelum dibunuh dalam satu insiden tembakan. Malah negara itu juga telah memperketatkan undang-undangnya bagi membolehkan laman sosial mudah disekat oleh pihak berkuasa.

Iran

Iran telah beberapa kali menyekat Facebook, Twitter dan YouTube sejak kes pemilihan presiden pada tahun 2009.

Gambar: www.vice.com

China

Negara ini telah menyekat Facebook, Twitter dan YouTube sejak 2009 selepas tunjuk perasaan oleh etnik Islam minoriti di Xinjiang. Pihak berkuasa China juga menyekat proxy yang boleh melangkaui sekatan ini. Laman web luar disekat, hanya laman sosial keluaran China seperti Weibo sahaja dibenarkan beroperasi.

Vietnam

Vietnam telah menyekat Facebook secara tidak rasmi sejak tahun 2009. Alasannya, pihak kerajaan ingin menyekat rakyat daripada mengkritik polisi kerajaan atau berkongsi berita yang mampu membawa kepada tunjuk perasaan.

Gambar: www.the-star.co.ke

Korea Utara

Korea Utara bukan sahaja menyekat sosial media tetapi juga internet. Akses hanya diberikan dengan kebenaran dan untuk kegunaan kerajaan.

Ethiopia

Negara yang terletak di Afrika ini menyekat sosial media termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan Viber di negaranya selepas berlaku kebocoran soalan peperiksaan. Sekatan sementara ini juga bertujuan menghalang pelajar daripada terus hanyut dengan media sosial terutama saat menjelang peperiksaan. Ethiopia menjadi antara negara Afrika pertama yang menyekat internet terutama blog anti kerajaan dan hak asasi manusia

 
 
Comments