Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Pastikan Cecair Nitrogen Meruap Sepenuhnya

Kementerian Kesihatan Malaysia mahu penyedia makanan sentiasa peka dan prihatin.

0
comments
Pastikan Cecair Nitrogen Meruap Sepenuhnya
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan cecair nitrogen harus digunakan pada tahap bersesuaian. (Gambar hiasan: explorasa.cari)
Dalam saingan bisnes pada masa kini, pelbagai cara digunakan peniaga untuk menarik perhatian pengguna membeli barang yang dijual. Terbaru, membabitkan produk makanan yang menggunakan cecair nitrogen yang menyebabkan produk itu berasap dan pengguna tertarik untuk mencubanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cecair nitrogen adalah gas nitrogen tidak berbahaya yang disejukkan kepada suhu sangat rendah (-196°C) sehingga ia menjadi cecair. Penggunaan cecair nitrogen ini banyak digunakan dalam industri makanan seperti penyejukan serta-merta ais dan pembuatan ais krim. 

"Cecair nitrogen juga digunakan dalam pembekuan serta-merta ('flash freezing') makanan termasuk biskut untuk memberikan tekstur berkabus ('fog like texture') di mana ia menghasilkan 'novelty' kepada pengguna apabila asap dihembus keluar semasa makan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menegaskan cecair nitrogen harus digunakan pada tahap bersesuaian bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan, iaitu untuk membekukan produk. 

"Pada amnya, selepas pembekuan produk makanan, cecair nitrogen akan meruap dengan cepat menjadi gas dan tidak kekal di dalam produk makanan siap. Oleh itu isu keselamatan makanan berhubung makanan yang dihasilkan atau disediakan menggunakan cecair nitrogen tidak timbul," jelasnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, baru-baru ini.

Tambahnya, KKM menasihatkan pengeluar atau penyedia makanan yang menggunakan cecair nitrogen dalam produk makanan yang dihasilkan perlu memastikan cecair nitrogen dalam produk makanan tersebut telah meruap sepenuhnya sebelum dijual kepada pengguna untuk mengelakkan melecur (cryogenic burn) atau radang dingin (frostbite). 

"KKM berharap penyedia makanan dan pengguna mengambil perhatian ke atas perkara ini. KKM sentiasa peka  dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM," katanya.

Dalam satu kejadian baru-baru ini, seorang remaja lelaki mendakwa melecur di tangan kanan selepas terkena cecair nitrogen yang digunakan dalam biskut yang dibelinya. 
 
 
Comments



Back to top