Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Ibu Syukur Anak Selamat Daripada Maut

Jurukamera sambilan RTM, Mohamad Amirul Amir Mohamed Amin selamat menjalani pembedahan semalam.

0
comments
Ibu Syukur Anak Selamat Daripada Maut
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melawat Mohamad Amirul di ICU, Hospital Pulau Pinang, kelmarin. (Gambar: Polis Diraja Malaysia - Facebook & Twitter)
Ibu kepada jurukamera sambilan RTM, Mohamad Amirul Amir Mohamed Amin yang cedera dibahu kiri selepas terkena tembakan di bahu kiri dalam peristiwa tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang malam kelmarin melahirkan rasa syukur kerana anaknya selamat.

Bunisa Mohd Ali, 58, memberitahu Mohamad Amirul, 28, dibawa ke Unit Kecemasan, Hospital Pulau Pinang pada jam 8.30 malam pada hari kejadian oleh ambulan bomba dari lokasi kejadian untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Menurutnya, selepas dirawat anaknya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan dan pemeriksaan lanjut selain terpaksa menjalani pembedahan kecil untuk membuang serpihan kecil peluru yang berada di dalam bahu kirinya.

Katanya, anaknya menjalani pembedahan jam 9 pagi (semalam) dan syukur semua selamat dan tiada kecederaan serius dilaporkan berlaku dan keadaannya dilaporkan stabil dan masih ditempatkan di ICU.

"Dia masih lagi tidak sedarkan diri dan sebagai ibu dia melahirkan rasa terharu di atas kunjungan rakan-rakan seperjuangan serta doa yang diberikan termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang turut turun padang melawat Mohamad Amirul.

"Ucapan terima kasih turut diberikan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid yang turut sudi hadir melawat," katanya ketika ditemui di ICU, Hospital Pulau Pinang, semalam.

Bunisa juga menyatakan penghargaan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang hadir melawat. Dalam kejadian jam 7.15 malam kelmarin, Mohamad Amirul bersama seorang lagi rakannya, Mohd Iskandar Othman yang juga wartawan Sinar Harian menunggang sebuah motosikal untuk pergi ke Tapak Pesta Pulau Pinang.

Semasa melalui laluan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, kedua-dua mereka terlihat satu kemalangan jalan raya dan Mohamad Amirul dikatakan cuba membantu mangsa sebelum dipercayai ditembak oleh seorang lelaki dan mengenai bahu kirinya. Mohd Iskandar dilaporkan selamat selepas berjaya menyelamatkan diri dari ditembak. Akibat kejadian itu tiga maut manakala lima lagi cedera.
   
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Datuk Ong Teik Kwong, 32, yang disahkan meninggal dunia akibat ditembak di bahagian kepala manakala mangsa kedua, Choi Hon Meng, 32, pula mati selepas ditembak di dada kiri dan mangsa terakhir, M Sentgi, 38, mati ditembak pada anggota badan. Kesemua mereka kini ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik, HPP sebelum dituntut keluarga masing-masing untuk upacara pengebumian.
 
 
 
Comments



Back to top