Rojak Daily Logo

Tiga Ibu Muda Berkongsi Pengalaman Menjaga Anak HFMD

0
comments
Tiga Ibu Muda Berkongsi Pengalaman Menjaga Anak HFMD

Menurut Kementerian Kesihatan yang direkodkan The Star, terdapat peningkatan 83 kes (6.4%) HFMD antara 5 hingga 11 Jun. Berita Harian melaporkan Negeri Sembilan merekodkan kes melebihi paras amaran iaitu 20 kes seminggu dan sebanyak 595 kes direkodkan sehingga Jun tahun ini. Sinar Harian pula melaporkan peningkatan kes HFMD di Johor sejak awal bulan Mei dengan 161 kes antara 14 hingga 20 Mei sahaja.

Sebanyak 1,448 kes direkodkan di Johor sehingga bulan Jun tahun ini dengan Johor Bahru dan Kluang mencatatkan rekod tertinggi. Selangor mempunyai rekod tertinggi dengan 4,441 kes HFMD, diikuti Johor dengan 1,393 kes, Kuala Lumpur sebanyak 1,317 kes, Sabah 1,299 kes dan Sarawak sebanyak 1,108 kes. Sementara Perak mencatatkan 892 kes, Melaka 727 kes, Pulau Pinang 713 kes, Negeri Sembilan 522 kes, Pahang 345 kes dan Kedah 265 kes.

Gambar: Astro Awani

HFMD?

Sejenis penyakit yang disebabkan oleh enterovirus seperti Coxsackie A16 dan Enterovirus 71. HFMD kebiasaannya menyebabkan jangkitan ringan yang akan sembuh dengan sendiri.

Namun jangkitan HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung serta menyebabkan kematian akibat jangkitan selaput otak (meningitis), jangkitan otak (encephalitis), masalah jantung (myocarditis) dan jangkitan paru-paru berair seperti kes kematian 31 kanak-kanak Sarawak pada tahun 1997, 78 warga Taiwan terkorban pada tahun 1998 dan lebih daripada 1,000 kanak-kanak di Singapura telah didiagnos menghidap penyakit ini pada tahun 2000.

Penularan?

Virus HFMD merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD. Titisan air daripada batuk atau bersin orang yang dijangkiti boleh disebarkan melalui udara selain amalan kebersihan yang kurang dititikberatkan pesakit HFMD.

Tanda?

Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, luka (ulser) di mulut, ruam atau lepuh di tapak atau pergelangan tangan, kaki dan kadang kala di siku, kemaluan serta lutut. Pesakit akan hilang selera makan kerana ketidakselesaan di bahagian mulut. Gejala penyakit ini muncul antara hari ketiga hingga ketujuh jangkitan dan mengambil masa antara seminggu sehingga dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Rawatan?

Pesakit dirawat sebagai pesakit luar dan diarahkan untuk dikuarantinkan selama seminggu atau sehingga pulih sepenuhnya. Namun dalam sesetengah kes iaitu apabila pesakit tidak boleh makan dan minum dan perlu dimasukkan air melalui salur darah, terlalu lemah, demam berpanjangan sehingga empat hari, masalah jantung dan tekanan darah serta gangguan otak, pesakit akan dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan lebih teliti.

Pesakit yang dibenar pulang pula perlu dikuarantin agar tidak menyebarkan virus ini kepada kanak-kanak lain melalui udara dan sentuhan. Basuh pakaian, mainan dan kelengkapan rumah dengan air panas serta kerap membasuh tangan terutama selepas menyalin lampin anak.

Pengalaman ibu bapa?

Aiman (25 tahun) menceritakan pengalamannya menjaga anak sulung yang dijangkiti HFMD. Anak mula demam selepas seminggu mendapat suntikan di klinik kesihatan tetapi suhunya tidak terlalu tinggi dan dia mempunyai selera makan serta aktif seperti biasa.

"Saya dan suami hanya memantau kesihatannnya dari rumah. Keesokan harinya muncul bintik merah di bahagian bahu. Kami sangkakan ekzema dan saya hanya menyapu krim Moogoo yang dibeli di farmasi. Hari ketiga, anak masih demam dan kami memutuskan membawa anak ke klinik. Dia didiagnos penyakit kudis buta, namun perasaan kurang senang melihat bintik merah semakin memenuhi tubuh, kami nekad membawanya ke klinik lain sekali lagi untuk mendapatkan pendapat kedua. Ketika inilah anak didiagnos HFMD dan dinasihatkan untuk dikuarantinkan di rumah. Kesian melihat anak tergaru-garu dan tidak tidur sepanjang malam. Keesokannya, saya mula membersihkan satu rumah dengan cecair peluntur dan air panas. Nasihat saya, para ibu terutamanya perlu BANYAK BERSABAR dalam melalui hari-hari ini. Perasaan kesian melihat anak dalam kesakitan, enggan makan dan minum adalah satu perkara paling menyeksakan."

Sementara itu, Syikin (28 tahun) berkata pengalaman menjaga dua anak yang dijangkiti HFMD pada masa serentak memang tidak mungkin dapat dilupakan.

"Ketika itu saya sedang sarat mengandung anak ketiga. Kakak demam terlebih dahulu dengan suhu yang tinggi, keesokan harinya si adik pula demam. Tiada sebarang tanda melepuh di peringkat awal, tetapi memasuki hari ketiga tanda-tanda ini mula kelihatan terutamanya di bahagian mulut dan kaki. Kakak paling teruk sampai perlu dimasukkan ke hospital kerasa hidrasi. Kakak langsung enggan makan dan minum. Adik pula boleh makan terutama selepas ubat kebas mulut yang diberikan doktor. Anak merengek gatal, terbaring lesu. Seorang rakan yang pernah menjaga anak HFMD cadangkan saya memberi aiskrim kepada anak-anak bagi mengurangkan rasa kurang selesa di dalam mulut."

Syarifah (28 tahun) pula berkongsi, "Anak saya pernah menghidap HFMD daripada taska. Daripada awal saya boleh menjangka Dhiah terkena jangkitan ini apabila tumbuh bintik merah di kaki dan mulutnya. Selain mendapatkan rawatan di klinik, saya turut memberinya makan yogurt asli yang sejuk dan aiskrim. Walaupun dalam mulutnya ada ulser tetapi selera makan Dhiah masih tinggi. Saya masakkan nasi dengan bawang putih bersama sup ayam. Saya juga campurkan madu asli ke dalam minumannya bagi memberinya tenaga."

Buat ibubapa, jika telah diketahui anak anda pembawa virus HFMD usahlah dibawa ke tempat awam atau dihantar ke pusat jagaan kerana bimbang anak orang lain turut menjadi mangsa. Bersama-sama kita sekat penyebaran wabak yang semakin membimbangkan di Malaysia ini.

 
 
Comments