Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo Rojak Daily Logo

Punca Krisis Air Selangor Dikenalpasti, Bukti Kukuh Disabotaj

Pasukan pemantauan pelbagai agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor dan Air Selangor beroperasi 24 jam.

0
comments
Punca Krisis Air Selangor Dikenalpasti,  Bukti Kukuh Disabotaj
Loji Rawatan Air Sungai Semenyih ditutup akibat sungai tercemar. (Gambar: Kosmo!)
Krisis air yang berlaku di beberapa kawasan di Selangor terus berlanjutan apabila Loji Rawatan Air Sungai Semenyih ditutup akibat sungai tercemar. 

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah dalam satu kenyataan semalam menyatakan beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sementara akibat penutupan loji itu selepas berlaku pencemaran bau air sungai pada jam 7:30 pagi, semalam.

Tambahnya, pencemaran bau air sungai disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan. Kawasan terjejas adalah daerah Hulu Langat membabitkan Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching; daerah Kuala Langat iaitu Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang.

Bagi daerah Petaling merangkumi kawasan USJ 1- 27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang manakala daerah Sepang iaitu Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab.
 
Bagaimanapun, penghantaran bekalan air bantuan diuruskan menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas dan premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
 
Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor mendakwa mempunyai bukti kukuh mengaitkan isu pencemaran kali ini mempunyai unsur sabotaj. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pasukan pemantauan dianggotai pelbagai agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor beroperasi 24 jam.

Katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, Kerajaan Negeri Selangor tidak teragak-agak mengenakan tindakan ke atas pelaku yang membuat pencemaran sungai sekiranya bukti-bukti dapat disediakan.
 
 
Comments



Back to top