Rojak Daily Logo

Bazar Oh Bazar

0
comments
Bazar Oh Bazar

Setiap kali Ramadan topik utama perbincangan selain menu iftar dan sahur, tentunya kemeriahan bazarnya. Ramadan sememangnya bulan rezeki, bazar Ramadan sangat mudah didapati di mana jua lokasi anda berada di Malaysia. Menariknya, para peniaga berlumba-lumba mencipta kelainan daripada jenis menu yang dihasilkan kepada pemilihan nama. Pengunjung juga boleh menemui beberapa makanan hipster di sesetengah bazar seperti murtabak roti jala cheese dan gabungan beberapa jenis air seperti ribena, laici dan lemon.

Gambar: Astro Awani

Di sinilah lokasi terbaik untuk mencari pelbagai jenis makanan daripada pelbagai negeri, sebut sahaja ayam percik, nasi ambang, nasi beriyani, nasi kerabu, nasi daging, kuih muih tradisional dan pelbagai jenis air, semuanya ada di bazar Ramadan.

 

Dalam keseronokan membeli juadah, terdapat sebahagian peniaga kurang mengambil berat isu kebersihan produk makanan yang dihasilkan. Bubur, murtabak dan roti John basi, ayam goreng berulat kepada air tebu masam. Belum lagi bercerita tentang harga barangan yang dijual di bazar mencanak naik. Sepotong puding biasa mampu mencapai harga RM3, belum lagi ayam dan nasi yang dijual berbelas ringgit.

Lemang berinti katak. (Gambar: www.utaranews.com)

Tahun lalu heboh dengan lemang berinti katak yang dibeli di sebuah bazar di Kuching dan beberapa hari lalu viral ikan berulat yang dimuat naik seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Alias Ismail. Menerusi video itu, lauk ikan bawal yang dibeli di bazar Ramadan berhampiran rumahnya di Kuala Nerang dipenuhi ulat hidup.

Begitu juga dengan sebuah video yang kami temui di YouTube tentang ikan berulat yang dibeli di bazar Ramadan di Butterworth

Kami sempat menemubual beberapa individu tentang bazar Ramadan, pelbagai jawapan yang diterima. Sebahagiannya serik untuk membeli makanan di bazar kerana merasa tertipu dengan makanan yang dijual peniaga. Sebahagian yang lain mengakui teruja untuk mengunjungi bazar Ramadan berbeza untuk melihat kelainan yang ditampilkan begitu juga ada yang terpaksa membeli juadah berbuka di bazar kerana merasakan itulah antara pilihan paling mudah didapati.

"Pengalaman terbeli kuih basi dengan harga yang mahal amat mengecewakan. Saya pasti tidak keseorangan dalam kes ini." - Syarifah

"Saya hampir-hampir tertelan ubat stapler dalam bungkusan mi goreng yang dibeli di bazar Ramadan. Selain itu, saya kurang berpuas hati dengan kualiti rasa makanan yang dijual di sana." - Ahmad

"Kebab daging tetapi tiada daging, ikan bakar berinti tetapi tiada inti, lauk-pauk basi, ayam mentah, kuih muih yang langsung tidak mempunyai rasa dan berita viral tentang pelanggan bazar yang menjumpai pelbagai spesies haiwan membuatkan saya serik. Saya lebih rela berbuka dengan nasi panas bersama telur goreng dan kicap daripada membazir duit atas makanan yang tidak sedap." - Nurul

Gambar: Twitter

"Tahun lepas saya terbeli makanan basi di bazar dan sepanjang tempoh sebulan saya tidak menjejakkan kaki di gerai itu. Tetapi insiden itu tidak menyebabkan saya berhenti mengunjungi bazar." - Azwa

"Sudah dua tahun saya tidak ke bazar Ramadan kerana kerap kali kecewa dengan makanan yang dijual para peniaga." - Miko

 
 
Comments