Rojak Daily Logo

Bolehkah Orang Bukan Islam Turut Berpuasa?

0
comments
Bolehkah Orang Bukan Islam Turut Berpuasa?

Ibadah berpuasa yang merupakan rukun Islam ketiga ini adalah amalan wajib bagi setiap individu yang beragama Islam dan harus dilaksanakan selama sebulan pada bulan Ramadan.


Gambar: Facebook

Namun siapa sangka, hidup dalam negara berbilang kaum seperti di Malaysia, pengalaman menahan lapar dan dahaga sepanjang hari turut sama dirasai oleh masyarakat dari agama lain. Ternyata bukan umat Islam sahaja yang tertarik dengan amalan berpuasa pada bulan Ramadan, malah orang bukan Islam juga dilihat turut terpesona dengan keindahan bulan tersebut.

Menurut Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman, Eksekutif Kanan Unit Dakwah & Pemasaran Sektor Swasta di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Kuala Lumpur, “Dari pada asasnya orang bukan Islam tidak disyariatkan untuk berpuasa atau apa-apa juga amalan dalam Islam kerana dari sudut ganjaran, pahala memang tidak ada. Tetapi jika mereka ingin mencuba belajar itu tidak menjadi masalah. Semoga dengan mengalami perasaan berpuasa itu akan menyebabkan mereka tertarik kepada Islam.”


Gambar: Ustaz Ahmad Husni

Mereka turut berkongsi pengalaman mereka ketika berpuasa di bulan Ramadan:

Vincent Channel Omar, 25

Cerita unik berpuasa Vincent bermula sejak kecil lagi dimana dia telah didedahkan dengan persekitaran teman-teman dan jiran-jirannya beragama Islam. Dari situlah dia belajar serba sedikit tentang puasa tetapi cuba bertahan selama dua hingga tiga hari sahaja. Tetapi memasuki ke umur 18 tahun dan menyambung pengajiannya di Malaysia Institute of Integrated Media (MIIM), teman-teman selalu berpesan bahawa puasa adalah untuk menahan nafsu dan memperingati orang yang tidak bernasib baik. "Atas galakan teman-teman, saya turut belajar berpuasa dan kemeriahan cukup terasa sewaktu berbuka dan sahur. Bermula dari situ, saya belajar untuk berpuasa penuh selama sebulan."

Mengakui dirinya kuat makan, Vincent berasa puas hati apabila dapat mengawal nafsu makannya dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan. "Jika ke bazar Ramadan, menu kegemaran saya adalah nasi kerabu, laksa, ayam percik dan kuih sago. Kalau air, saya cari air katirah. Tapi pernah sekali saya dan teman-teman beragama Islam drive sampai ke Melaka hanya untuk berbuka di rumah teman sebab si dia ni beritahu masakan maknya terbaik. Memang seronok bulan Ramadan ni apabila kita dapat berkongsi rezeki. Untuk anda yang mahu cuba berpuasa, cuba untuk bangun sahur dan makan something serta minum air secukupnya. Tapi bila berbuka, jangan membazir duit dan makanan pula," tegas Vincent diakhir perbualan.

Prabanandan Ramachanderan, 28


Bagi seorang guru di Kolej Vokasional Gerik ini pula, dia mula belajar berpuasa ketika di tingkatan enam kerana terlalu ramai kawan yang beragama Islam. Apabila masuk universiti pula, pun ramai kenalannya juga beragama Islam dan dia turut mengikut mereka berpuasa. "Kami sama-sama akan ke bazar membeli juadah berbuka dan bangun sahur. Saya berasa seronok apabila berpuasa dan tidak berasa lapar pun. Kini saya bergelar seorang guru dan juga merangkap warden asrama, 99% daripada pelajar saya beragama Islam dan saya turut puasa bersama mereka. Saya akan ke bazar apabila ada masa lapang dan juadah berbuka yang menjadi kegemaran saya adalah kuih tepung pelita."

Lebih dikenali sebagai Mr Praba di kalangan pelajarnya, Praba turut memberikan pesanan epik kepada teman-teman yang bukan beragama Islam yang ingin berpuasa: "Tiada salahnya jika anda ingin mencuba, kitakan satu Malaysia."

Jillian Teh, 26


Gadis cantik yang merupakan seorang eksekutif jualan ini turut berpuasa kerana sifat ingin tahu. Dia turut dikelilingi teman-teman beragama Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan dan ini membuatkan dia ingin mencuba. "Saya cuba berpuasa selama dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad kerana saya banyak menghabiskan masa di rumah. Apabila berpuasa, mampu mengawal rasa nak makan dan minum itu amat berkesan. Ketika berpuasa, saya tidak bersahur seperti biasa. Tetapi apa yang menggembirakan hati saya apabila saya menghadiri majlis berbuka puasa anjuran tempat saya bekerja dan berpeluang berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan melihat mereka gembira serta mampu berpuasa menceriakan hati saya."

Bersempena Ramadan juga dia turut ke bazar Ramadan untuk mencari juadah kegemarannya iaitu nasi briyani dan ayam madu. Tambah Jillian lagi, "Tinggal di dalam negara yang berbilang kaum membuatkan saya ingin mencuba pelbagai adat, kebudayaan dan peraturan pelbagai bangsa. Anda juga patut mencuba berpuasa kerana ia membuatkan anda lebih mengenali teman-teman anda dan juga turut sama memberikan sokongan moral kepada mereka."

Howell Gunner, 32


Bagi Penyelaras Seni Bina yang berasal dari Kiulu, Sabah ini, dia pernah belajar berpuasa ketika menuntut di istitusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Kata Howell, "Pada waktu itu saya menetap bersama dengan teman serumah yang beragama Islam. Sahur, saya akan bangun dan kebiasaannya saya akan makan roti. Cubaan nak berpuasa masa itu konon macam nak diet dan kecilkan perut. Hari pertama berpuasa, saya mampu bertahan sehingga ke waktu berbuka dan rasa cukup gembira kerana berjaya menahan lapar dahaga. Namun masuk hari ketiga, keempat dan kelima, saya mulai lemah, tak tahan dan tak boleh fokus pada pelajaran."

Memiliki teman serumah yang memahami, ada teman serumahnya berpesan, tak perlulah nak berpuasa dan jangan risau kalau nak makan di dalam rumah tanpa rasa bersalah. "Pada saya, apabila saya turut belajar berpuasa ini, ia banyak mengajar tentang hormat diantara satu sama lain. Kita dapat rasa apa yang kawan-kawan beragama Islam rasa sedikit sebanyak dan ia juga mengeratkan persahabatan. Sampai ke hari ini, saya ada juga singgah ke bazar Ramadan berdekatan rumah kerana kegemaran saya adalah kuih pulut panggang, kuih koci dan juga lemang".

Suresh Raman, 45


Bagi pengurus jualan ini, pengalamannya berpuasa memberikan banyak kenangan manis. "Saya pernah berpuasa ketika zaman bujang dan tinggal bersama teman serumah. Kebetulan teman serumah pada waktu itu beragama Islam jadi saya nak cuba untuk berpuasa. Selain nak cuba, saya nak mencabar diri saya untuk menahan lapar dan dahaga selama 15 jam itu. Saya bertahan berpuasa selama seminggu."

Bercerita lanjut mengenai perkara yang paling seronok semasa bulan Ramadan,"kenangan paling best, apabila saya pergi keluar membeli juadah berbuka bersama teman serumah, beli barangan basah untuk dimasak ketika sahur dan saya masih ingat kami bangun jam tiga pagi untuk memasak juadah sahur. Pada saya, ini satu pengalaman yang menarik dan setiap orang perlu cuba. No harm trying."

Lester Calvin Miol, 30


Bagi pengurus program stesen radio Kupi-Kupi FM di Kota Kinabalu ini, dia mengambil kesempatan bulan puasa untuk turut serta berpuasa. Menurut Lester, pada awalnya memang agak kurang bertenaga sebab tak biasa tapi lama-kelamaan dia boleh bertahan. "Sudah empat hari berpuasa di bulan Ramadan tahun ini. Saya menganggap puasa adalah suatu yang cukup indah. Saya merasakan teman-teman yang bukan Islam seharusnya cuba berpuasa walaupun sehari kerana puasa ini ibarat detox, sesuai untuk mencuci bahagian dalaman badan."

Menjadikan bazar Ramadan Kem Askar Lok Kawi sebagai lokasi pilihan, Lester amat gemarkan nasi dagang sebagai juadah berbuka di bulan puasa. Tambah Lester, "Maklumlah di Kota Kinabalu ni susah nak dapat nasi dagang pada hari-hari biasa dan selalunya ada banyak pada bulan Ramadan."

Joshua Nicholas, 27


Menurut Joshua, pengalaman berpuasa adalah sesuatu yang sangat menarik! Kata eksekutif jualan di CtrlShift ini, "Dah lama saya ingin cuba berpuasa tapi timing selalu tak kena. Jadi apabila tiba Ramadan saya ambil kesempatan bulan ini dengan turut berpuasa bersama. Cuba berpuasa selama sebulan, kadang-kala ia sangat menduga. Dalam masa sebulan tu, tidaklah saya berpuasa seperti teman-teman beragama Islam dimana ada ketikanya saya minum kerana terlalu dahaga. Jadi apabila tiba waktu berbuka, saya akan mengajak teman-teman yang bukan Islam untuk berbuka puasa disamping mereka menikmati makan malam."

Joshua mengakui dia bukanlah jenis yang suka ke bazar Ramadan kerana bazar terletak jauh dari rumah. "Pesanan saya buat teman-teman bukan Islam untuk cuba merasai pengalaman berpuasa, elakkan lalu di tepi kedai Famous Amos kerana aroma biskutnya sangat menusuk kalbu dikala anda cuba menahan lapar dan dahaga. Cubalah sesuatu yang baru, yang tidak pernah anda lakukan selama ini dan saya pasti anda juga akan teruja," katanya.

Jadi kesimpulannya, tidak salah untuk anda yang bukan beragama Islam yang ingin cuba berpuasa untuk merasai sendiri kemeriahan dan ketenangan bulan Ramadan. Hidup di dalam negara yang berbilang kaum ini seharusnya menjadi kelebihan buat kita sama-sama berkongsi adat dan kebudayaan. 

 

 
 
Comments