CLOSE
CLOSE

10 Hari Perjalanan Di India, Ini Antara Lokasi Insta Worthy Anda Patut Pergi!

Dapatkan itinerary penuh.


  • Share:

10 Hari Perjalanan Di India, Ini Antara Lokasi Insta Worthy Anda Patut Pergi!
India...sukar untuk diterjemahkan betapa cantiknya negara ini. Setiap negeri, mempunyai kelebihan dan kecantikkannya yang tersendiri. 

Saya bersama dua lagi rakan daripada Astro Gempak berkesempatan menjelajah beberapa negeri di bumi India selama 10 hari dan ini mungkin antara lokasi anda patut pergi jika ke sini. (Perlu diingatkan kami tidak ke Kashmir atas faktor-faktor tertentu)

#NEW DELHI


Kami tidak lama di sini, namun terdapat satu tempat yang kami rasa wajib untuk dikunjungi terutamanya ketika matahari sedang naik (sunrise). Lokasi berkenaan adalah Yamuna Ghat dan kalau boleh datanglah seawal jam 6 pagi.

Sekali pandang ia hanyalah sungai biasa, namun apa yang membezakan sungai ini dengan sungai yang lain adalah kehadiran ratusan burung berkeliaran di sekitarnya.


Difahamkan burung-burung hanya banyak sekitar hujung tahun sehingga awal Mac. Jika anda datang selain daripada tempoh itu, tinggal hanya sebahagian burung saja.

Dari New Delhi kami kemudian ke Agra menaiki kereta api selama 4 jam. Anda boleh buat tempahan di sini.

#AGRA


Bersiap sedia untuk rasa kagum dengan seni binaan bangunan yang menjadi satu daripada tujuh keajaiban dunia! Taj Mahal merupakan simbol cinta Raja Shah Jahan untuk isterinya, Mumtaz Mahal.

Anda boleh ambil gambar berlatarbelakangkan Taj Mahal seperti mana pelancong lain ambil, namun terdapat satu bahagian di mana anda boleh mengambil gambar ala ‘silhouette’ bersaksikan Taj Mahal. Masuk saja Taj Mahal, pergi ke arah bangunan kiri bersebelahannya.

Anda boleh lihat gambarnya di bawah.


Sebaik habis kunjungan di Taj Mahal, anda boleh terus Agra Fort, kediaman utama Dinasti Mughal sehingga 1638.  Di sini bangunannya berwarna perang kemerah-merahan, jadi rancanglah pakaian anda jika ke sini.


Menariknya di sini, anda berpeluang melihat Taj Mahal dari kedudukan fort ini. Terdapat beberapa port yang anda dapat mengambil gambar seni bina berkenaan. Walaubagaimanapun lokasi yang paling strategik di sini sudah pun ditutup oleh pihak berkuasa.

Penginapan: Bedwiser Hotel
 

#MATHURA


Selalunya pelancong ke Mathura hanya untuk menyambut perayaan Holi memandangkan ia tempat kelahiran dewa Krishna. Lokasi ini disifatkan sebagai paling meriah (dan juga sedikit liar) untuk menyambut holi.

Sebagai persediaaan, sapukan kulit dan rambut anda dengan bahan berminyak seperti vaseline atau lotion. Ia memudahkan anda membersihkan serbuk berwarna dan jika mahukan impak yang cantik, pakai baju berwarna putih bagi menyerlahkan lagi kombinasi warna.

Bagi anda yang mengambil gambar, pastikan sarung kamera DSLR anda bersesuaian dengan perayaan ini kerana kebarangkalian kotor sangat tinggi. Jika anda mempunyai telefon pintar yang boleh mengambil gambar dengan baik, ia sudah memadai. 


Nasihat kami, jaga keselamatan kerana perayaan Holi di Mathura ini agak bercampur baur terutamanya jika anda terserempak dengan kelompok yang agak agresif. Pengalaman kami pada awalnya bermula dengan aman, namun berakhir dengan sedikit tegang apabila ada yang mula membawa kayu. 

Wanita dinasihatkan tidak pergi di kawasan yang terlalu dalam terutamanya di lorong-lorong yang tidak ramai.

Penginapan: Madvan Muskan Residency

Amaran: Perlu diingatkan, kebanyakan hotel di Mathura tidak menerima pelancong luar dan hanya membenarkan warga India tempatan saja menetap. Jadi, sebelum membuat tempahan, sila semak di bahagian polisi. Kami antara mangsa kekeliruan ini walaupun sudah membuat pembayaran di Booking.com. (Jadikan kesilapan kami ini sebagai pengajaran buat anda)

Disebabkan kehabisan tiket, kami menaiki kereta api dari Mathura ke Bharatpur sebelum berlepas ke Jodhpur. 

#JODHPUR


Secara jujurnya kami telah memandang rendah terhadap Jodhpur. Kami hanya menjadikan Jodhpur sebagai lokasi persinggahan saja sebelum berlepas ke Jaisalmer pada waktu malamnya.

Apapun sebaik sampai ke Jodhpur pada jam 7 pagi, kami terus tersentak dengan kecantikan bandar yang digelar sebagai Blue City ini. Bukan saja lebih bersih berbanding bandar sebelum ini, malah susunan bangunannya dengan tona warna biru menjadikan lokasi ini unik!


Kami bersarapan di Hotel Rani Mahal dan apa yang boleh kami katakan, kami berasa menyesal tidak menginap di sini. Dekorasinya ada kelas, bangunannya pula terasa seperti di gua, malah pemandangan rooftop hotel ini sangat ‘mahal’ menghadap ratusan rumah biru dan Mehrangarh Fort. Dua dalam satu!


Disebabkan bangunan di bandar ini berwarna biru, ambil peluang untuk mencari spot yang menarik. Atas nasihat pemilik Rani Mahal, kami mengambil tour guide tempatan yang membawa kami mengelilingi bandar Jodhpur, Harganya amat murah sekitar INR900 (RM53).



Lokasi paling ‘mahal’ di sini sudah tentunya di sebuah kuil berhampiran Mehrangarh Fort. Di sini anda boleh menikmati pemandangan ketika matahari terbenam.

Tiada perkataan boleh diungkap ketika ini. Tambah pula, kami dihidangkan minuman tradisi mereka, teh chai.

Penginapan: Disarankan tinggal di Rani Mahal

Peringatan: Beli sari dan barangan kain di sini kerana harganya jauh lebih murah daripada bandar lain. Anda boleh dapat kain berkualiti dengan harga yang murah.

#JAISALMER


Destinasi pertama di Jaisalmer adalah Jaisalmer Fort yang terletak betul-betul di bandar ini. Di sini bukan sekadar fort semata-mata, malah ia dimeriahkan dengan pelbagai jualan barangan yang boleh anda beli seperti kasut, sari, selendang dan banyak lagi.


Anda boleh nikmati makan tengahari di sini sambil melihat hampir keseluruhan bandar Jaisalmer. Kebanyakan restoran mempunyai rooftop.

Destinasi kedua pula adalah kemuncak untuk trip di Jaisalmer kerana kami akan bermalam di padang pasir. Pengangkutannya pula bukan menggunakan tuk-tuk, kereta mahupun jeep sebaliknya hanya menunggang unta.


Perjalanan menunggang unta mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Anda perlu bersabar kerana perjalanan yang agak lama hingga membuatkan pinggul dan kaki anda lenguh.

Kami tiba di padang pasir sekitar jam 5 petang dan ketika itu matahari betul-betul di hadapan kami. Tempoh waktu ini paling sesuai mengambil gambar kerana warna mataharinya tidak terlalu terang dan tidak terlalu gelap. 

Anda boleh mengambil gambar secara silhouette seperti ini.


Pada sebelah malam pula kami dihidangkan dengan menu nasi bersama capati dan kuah dhal. Anda bebas melakukan aktiviti ketika ini kerana mereka (tour guide) turut menyediakan unggun api. 

Bagi kelengkapan tidur pula, kami disediakan katil dan selimut. Berbanding agensi lain, mereka hanya menyediakan tilam semata-mata. 



Anda akan tidur bersaksikan bintang dan bulan. Bintang berada betul-betul di hadapan mata anda. Ketika ini hanya tuhan saja tahu bertapa indahnya suasana malam itu.Tidak terungkap!

Sebelah pagi pula anda akan dihidangkan menu roti bakar, telur, buah dan menu tempatan yang kelihatan seperti quinoa. Ringkas tapi mengenyangkan.

Penginapan: Adventure Travel Agency Camel Safari

Tips: Bawa peralatan seperti tripod untuk mengambil gambar bintang atau milkyway. 

#JAIPUR



Jaipur antara lokasi paling popular bagi pelancong seluruh dunia. Bandar ini mempunyai pelbagai lokasi yang wajib dikunjungi.

Hari pertama, kami menginap di Krishna Palace, hotel lama dengan dekorasi yang sungguh klasik. Beberapa bahagian di hotel ini memang sangat Insta Worthy.


Hari kedua di  Jaipur, kami menuju ke Step Well (Panna Meena ka Kund), Amber Fort dan Nahargarh Fort. Jika anda tiba di Step Well, anda tidak dibenarkan turun kerana kawasan itu dijaga oleh penguatkuasa.

Namun kami berjaya turut di sana menggunakan keadah tertentu. Rajin-rajinlah bersembang dengan penguatkuasanya.


Di Amber Fort anda akan terkesima dengan keluasan Fort ini, namun pandangan peribadi saya Nahargarh fort lebih sesuai untuk mengambil gambar turtutamanya ketika Sunset.

Anda akan lihat usaha beberapa pelancong naik ke atas bucu tebing fort ini untuk bergambar. 


Hari kedua pula di sekitar Bandar Jaipur termasuklah Hawa Mahal, City Palace dan Jantar Mantar. Paling ikonik pastinya Hawa Mahal.

Biarpun lokasi ini berada betul-betul di tepi jalan, namun seni binaannya cukup cantik. Paling cantik di Jaipur pada hemat saya.


Selain Hawa Mahal, lokasi yang saya rasa betul-betul berbaloi untuk disinggah adalah di Albert Hall Museum. Di sini, terdapat ratusan burung merpati berterbangan di hadapannya dan bolehlah anda mengambil gambar.


Hotel hari pertama: Krishna Palace
Hotel hari kedua: Zostel
Hotel hari ketiga: Golden Tulip

Tips: Jika bergambar di Hawa Mahal, bawalah lensa yang sedikit wide bagi mengambil keseluruhan imej. Kami menggunakan sepenuhnya Canon M50.

Menyentuh mengenai kamera Canon M50 ini ia antara kamera​ mirrorless paling memudahkan. Saiznya kompak dan dilengkapi skrin sentuh pada skrinnya amatlah memudahkan. Hanya pilih tetapan menggunakan jari anda.


Untuk makluman, M50 dilengkapi 24Megapixel APS-C sensor cip pemprosesan  DIGIC 8 yang mempertingkat kupayaan Dual Pixel AF. Kamera ini juga mempunyai ISO normal setinggi 25,600, dan boleh dilanjutkan lagi sehingga 51,200.

Video pula menyokong sehingga 4K/24p.

Sesuai digunakan untuk anda yang kerap travel, kamera ini turut dilengkapi penyambungan Wi-Fi, Bluetooth and NFC bagi memudahkan anda menyalin kesemua gambar dengan pantas.



Kesemua gambar di atas diambil menggunakan kamera Canon kecuali di Mathura (perayaan holi) atas faktor keselamatan. Dari segi bateri, kamera ini mampu bertahan sehingga petang dan berkemungkinan sehingga malam jika anda tidak banyak melakukan penggambaran video.

Jika anda mahu merujuk itinerary penuh, boleh klik di sini.

TIPS:

1. Sebaik sampai di lapangan terbang, teruslah dapatkan simkad di situ kerana kebarangkalian untuk anda di scam sangat tinggi di luar.
2. Pada yang mudah sakit perut, elakkan makanan makanan dijual di tepi jalan.
3. Banyakkan minum air mineral kerana cuaca di sana agak berbeza. (Jenama Kinley lebih yakin)
4. Semak polisi di setiap tempatan hotel kerana di Mathura, kebanyakkan tidak menerima orang luar.
5. Semak status kereta api. Jika RWL anda diklasifikasikan sebagai Waiting List manakala CNL adalah confirm.
6. Gunakan aplikasi IXIGO untuk memantau stesen kereta api anda. Klik > running status dan masukkan nombor train anda.

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top