Plug-in: Kami Uji Lensa Ultra Wide Galaxy A7 Di Batu Caves Dan Ini Hasilnya!

  • Share:

Plug-in: Kami Uji Lensa Ultra Wide Galaxy A7 Di Batu Caves Dan Ini Hasilnya!
Bulan lalu Samsung membuat kejutan dengan melancarkan peranti pertama mereka yang menggunakan tiga lensa menerusi Galaxy A7 (2018).

Tiga lensa ini merangkumi kamera utama, lebar atau ultra-wide dan juga depth of field atau turut digelar sebagai bokeh.

Anda boleh lihat spesifikasi penuhnya di bawah:

6 inci Super AMOLED FHD+ (2220 x 1080)
Exynos 7885 lapan teras (14nm)
Memori 4GB + 128GB
Sokong microSD hingga 512GB
Kamera utama: 24MP f/1.7 + 8MP f/2.4 (ultra wide) + 5MP f/2.2 
Kamera depan: 24MP f/2.0
3,300mAh microUSB (5V/1.55A)
Bluetooth 5.0, NFC, Bicu audio, Pengimbas cap jari (pada bahagian kanan)
Tiga slot (nano + nano + microSD)
Berat 168g


Bagaimanapun kami kali ini tidak ‘menyelam’ terlalu dalam mengenai spesifikasinya. Apa yang kami mahu uji kali ini adalah kualiti kamera yang dihasilkan kerana A7 2018 ini mempunyai tiga lensa.

Secara logiknya, hasil daripada tiga lensa pasti menjanjikan kualiti yang lebih baik daripada satu lensa bukan?

Secara kebetulan, kami berkesempatan untuk naik ke Kuil Batu Caves buat kali. Oleh itu peluang ini digunakan untuk menguji sejauh mana kualiti Galaxy A7 (2018).

KAMERA UTAMA VS ULTRA WIDE LENS



Jika ditanya mengenai kontras warna dihasilkan, Galaxy A7 amat menyerlah. Kebanyakan hasil gambar daripada kamera utama menghasilkan warna yang terang dengan kontras warna yang tinggi. Anda boleh lihat warna tangga dan dinding kuil ini yang amat menyerlah.

Resolusi 24 MP juga menjadikan kebanyakan hasil gambar kelihatan tajam walaupun tidak setajam model flagship. Subjek utama iaitu orang awam ditangkap dengan begitu tajam pada lensa utama.


Pertama kali menggunakan lensa lebar A7 ini boleh dikatakan saya agak kagum. Lama rasanya tidak melihat lensa sudut lebar ini diterapkan pada telefon pintar secara komersial. 

Daripada gambar di atas kita dapat lihat, lensa lebar ini berjaya menghasilkan gambar yang tajam dan kontras warna yang terang.


Antara perbandingan ketara yang boleh lihat dari gambar di atas adalah perbezaan ton warna yang mana kamera utama lebih kepada biru manakala lensa lebar lebih kepada warm tone. Anda boleh lihat pada langit dan juga struktur gunung di belakang kuil ini.

POTRET MOD/LIVE FOCUS JUGA ONZZZZ!

Lensa utama sudah, lensa lebar pun sudah.

Kini tiba masanya uji hasil gambar lensa berikutnya iaitu potret. Jujurnya saya tidak meletakkan harapan tinggi jika mengambil gambar menggunakan peranti pertengahan. 

Namun hasil dijana A7 2018 boleh dikatakan agak baik sebenarnya. Seperti biasa jika mengambil gambar dengan lensa ini, anda perlu beranjak sedikit ke belakang dari subjek. Selepas berjaya fokus, maka anda boleh terus mengambil gambar.


Sebenarnya keadaan gambar di atas boleh dikatakan agak tricky. Kamera perlu mengenal pasti subjek dan pada masa sama mengasingkan subjek dengan background. Di sini anda boleh lihat tangga di bawah tidak dikaburkan, namun pada bahagian atas kamera berjaya mengasingkan subjek dengan baik.

Tiada kesan efek bokeh yang bergerigi atau cacat seperti mana dihasilkan oleh kebanyakan kamera model pertengahan lain. Ini kerana live focus memerlukan anda betul-betul fokus dengan subjek.



Begitu juga gambar ini, pada pandangan saya ia agak baik walaupun menggunakan kamera telefon pertengahan. Anda juga boleh melaras kadar blur selepas gambar diambil!

Secara keseluruhannya, penggunaan lensa tambahan ini memang dialu-alukan terutamanya lensa sudut lebar. Mungkin ada yang kurang menggemari gambar yang sedikit distort, namun pada saya ia agak normal dan menambah keistimewaan pada gambar. 

Anda boleh lihat banyak lagi gambar diambil mengambil pada lensa wide ini.






Bagi aspek prestasi dalamannya pula, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan keupayaan A7 2018. Baterinya tidaklah terlalu tahan lama, namun mencukupi untuk kerja seharian anda. Keupayaan cip pemprosesannya juga baik untuk melakukan tugas berat mahupun bermain game.

Jika ditanya mengenai kekurangan A7 2018 ini, mungkin penggunaan kabel USB 2.0 yang agak ketinggalan berbanding USB Type-C. Secara keseluruhannya ia sesuai untuk anda yang mencari telefon pertengahan.

Samsung Galaxy A7 dijual pada harga RM1,299 dengan tiga variasi warna iaitu biru, emas dan hitam.

Rating Plug-in: 7/10

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top