Rojak Daily Logo

10 Cadangan Road Trip Anda Kena Cuba!

0
comments
10 Cadangan Road Trip Anda Kena Cuba!
Cuti-cuti dalam Malaysia.

Inilah masanya untuk anda dan teman-teman bergembira sambil mengembara tenangkan jiwa. Rojak Daily cadangkan 10 perjalanan road trip yang boleh anda ikuti.

1) KL – Kemaman – Kuala Terengganu

Gambar: www.visit-terengganu.net

Perjalanan dari tol Gombak ke Kemaman mengambil masa lebih kurang dua jam 30 minit. Jika anda berhenti di Kemaman untuk berehat, kami cadangkan anda ke Kedai Kopi Haipeng yang terkenal dengan keenakan kopi buatan sendiri. Selain itu, anda boleh menikmati keenakan satay, otak-otak dan pais ikan yang cukup sinonim dengan Kemaman. Kenyang menjamu selera, teruskan perjalanan anda ke Pantai Kemasik, salah satu destinasi indah di Kemaman. Terletak di persisiran Kampung Kemasik, kebiruan air laut, panorama langit yang indah, lagun dipenuhi batu-bata dan penempatan nelayan pasti menenangkan fikiran dan jiwa anda.

Anda disarankan untuk memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur pada waktu pagi dan boleh menghabiskan waktu tengahari di Kemaman. Dua jam masa perjalanan diperuntukkan untuk anda teruskan ke Kuala Terengganu. Ibu negeri bagi Terengganu ini merupakan bandar yang terletak di persisiran pantai jadi ambil peluang ini untuk menginap di hotel-hotel sekitar Pantai Batu Burok. Pasar Payang merupakan destinasi wajib membeli-belah dan sudah pastinya anda perlu ke gerai Nasi Dagang Kak Pah yang terletak di medan selera Pantai Batu Burok untuk keaslian nasi dagang Terengganu. Jika anda merancang untuk road trip ini, disarankan untuk anda meluangkan masa lebih dari tiga hari. 


Anggaran jarak perjalanan: 453km

2) KL – Tapah – Ipoh – Kuala Kangsar

Gambar: www.danarif.com

Jadikan Tapah sebagai satu hentian jika menghala ke utara. Mengambil masa selama satu jam 20 minit dari Kuala Lumpur, jika selalunya anda hanya berhenti di R&R Tapah, cuba kelainan dengan masuk ke bandar Tapah dan pergi ke gerai ikan bakar D’ Ruby berdekatan dengan masjid lama Tapah. Memang terangkat ikan bakar segar berserta ulam-ulaman untuk sajian tengahari anda. Jika anda bercadang untuk menginap di Ipoh, singgahlah di Sekeping Kong Heng untuk lebih menghayati pekan lama Ipoh.

Pagi Ahad jemput ke Pasar Loken di Pekan Lama Ipoh yang menawarkan variasi barangan terpakai, antik dan vintage yang menarik ribuan orang. Empat puluh lima minit dari bandar Ipoh terletaknya Kuala Kangsar, Bandar Diraja negeri Perak. Di Kuala Kangsar, anda boleh menyelusuri pemerintahan kesultanan negeri Perak di Galeri Sultan Azlan Shah yang terletak di Bukit Chandan, tidak jauh dari Masjid Ubudiah, salah satu mercu tanda disini. Di Bukit Chandan ini jugalah Almarhum Sultan Azlan Shah bersemayam dan di dalam geleri ini tersematnya barangan milik Almarhum Sultan. 


Anggaran jarak perjalanan: 259km

3) KL – Melaka – Muar

Gambar: restaurantmelaka.wordpress.com

Jonker Street dan Coconut Shake Klebang menanti anda! Perjalanan sejauh 136km ini sangat berbaloi kerana Melaka menawarkan kepuasan bagi penggemar sejarah dan bercirikan santai. Tidak sah ke Melaka jika tidak ke Coconut Shake di Klebang. Nikmati sendiri keenakan air kelapa dicampur aiskrim vanila dan tempat ini sentiasa penuh dengan kehadiran orang ramai. Sebelah petangnya, anda boleh berjalan santai di sekitar sungai Melaka dan terus ke Jonker Street yang cukup meriah.

Meneruskan satu jam perjalanan untuk ke Johor, Muar adalah bandar yang sesuai untuk anda lari dari hiruk-pikuk kota. Bersantailah di Dataran Tanjung Emas dan anda juga boleh menaiki bot untuk menyelusuri Sungai Muar. Muar juga terkenal dengan syurga makanan antaranya mee bandung Muar, mee rebus Muar, lontong Muar dan jangan lupa rasa kopi 434 yang sememangnya cukup terkenal di bandar Muar. 


Anggaran jarak perjalanan: 185km

4) KL – Taiping – Pulau Pinang

Gambar: www.panoramio.com

Tiga jam masa perjalanan diperuntukkan dari Kuala Lumpur ke Taiping melalui Lebuhraya Utara Selatan. Taiping merupakan bandar kedua terbesar di Perak selepas Ipoh. Taiping terkenal dengan keindahan taman tasik semulajadinya. Taman Tasik Taiping menjadi tempat rekreasi, himpunan udara segar dan tempat pencinta fotografi. Anda juga boleh naik ke Bukit Larut untuk udara yang lebih sejuk. Terletak 10km dari pusat bandar Taiping, Bukit Larut adalah tempat untuk penggemar alam semulajadi. Kehidupan flora dan fauna serta udara segar menggamit kedatangan pengunjung kesini.

Meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang, ia hanya mengambil masa satu jam 30 minit dari Taiping melalui lebuhraya. Anda boleh memilih untuk menginap di sekitar kawasan persisiran pantai ataupun di tengah kota. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Pulau Pinang antaranya yang menjadi tarikan kini, Penang street art. Aktiviti malam sudah pastinya makan, makan dan makan. Jangan lupa untuk mendapatkan jeruk buah-buahan di lebuh Chowrasta yang sangat terkenal di Pulau Pinang untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur. 


Anggaran jarak perjalanan: 343km

5) KL – Sungai Petani  – Kangar

Gambar: jomlahcuti.com

Merancang untuk ke utara tanahair, apa kata cuba pergi ke Sungai Petani, Kedah dan terus ke Kangar, Perlis. Dari Kuala Lumpur, anda akan menempuh empat jam perjalanan ke Sungai Petani mengikuti Lebuhraya Utara Selatan. Disana, anda boleh melawat Lembah Bujang, sebuah tapak bersejarah awal negeri Kedah. Terhasil sejak 1,000 tahun yang lalu, Lembah Bujang menjadi pusat perdagangan dan pemerintahan negara Asia di rantau nusantara. Disini juga ada menempatkan Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Kemudian anda boleh singgah ke Tanjung Dawai. Sebuah perkampungan nelayan yang memproses ikan kering, ikan bilis, ikan masin, ikan pekasam dan pelbagai hasil laut dengan harga yang berpatutan.

Hampir satu jam 30 minit masa perjalanan dari Sungai Petani, anda akan sampai ke Kangar, ibu negeri Perlis. Di Perlis, ada pelbagai tempat menarik untuk dilawati antaranya Gua Kelam, Padang Besar dan Kuala Perlis. Jika anda mahukan kelainan, anda boleh ke ladang anggur yang terletak di Pusat Pertanian Bukit Bintang 2, 10km dari bandar Kangar ataupun ke ladang tebu yang terletak di Chuping. Ladang tebu ini merangkumi keluasan 22,000 hektar sekaligus menjadikan ia ladang tebu terbesar di Malaysia.


Anggaran jarak perjalanan: 492km

6) KL – Kuala Lipis – Kota Bharu

Gambar: www.airasia.com

Kuala Lipis, Pahang mengambil masa dua jam perjalanan dari Tol Gombak. Anda dan teman-teman boleh berhenti seketika di bandar ini untuk berehat dan melawat bandar Kuala Lipis. Banyak tarikan untuk pekan kecil ini dilawati terutamanya bandar lama Kuala Lipis dan Sungai Pahang.

Teruskan perjalanan anda ke Kota Bharu, Kelantan, yang memakan masa lebih kurang empat jam. Di Kota Bharu, luangkan masa anda untuk ke Pasar Siti Khadijah yang menawarkan pelbagai barangan dan makanan tempatan. Tidak ketinggalan, Kampung Kraftangan buat anda yang menghargai seni kraftangan di Malaysia. Ambil peluang ini untuk menginap di Tok Bali untuk suasana perkampungan nelayan. Mengambil masa 45 minit dari bandar Kota Bharu, Tok Bali memberikan pengalaman mengujakan buat kaki pancing. Anda boleh menaiki bot sewa untuk memancing di tengah laut atau di kawasan muara sungai. Kawasan persisiran pantai di sekitarnya juga menjadi tempat pelbagai resort bercirikan moden baru dibuka dan sedia menanti kehadiran anda. 


Anggaran jarak perjalanan: 431km

7) Klang – Kuala Selangor – Lumut – Pulau Pangkor

Gambar: pangkorgate.com

Untuk ke Kuala Selangor dan Lumut, anda boleh menggunakan jalan dalam iaitu jalan kampung. Jarak daripada Klang ke Kuala Selangor hanyalah 50km. Di kiri dan kanan perjalanan anda bakal ditemani dengan suasana perkampungan dan bandar lama. Singgah sebentar di Kuala Selangor, disini amat terkenal dengan kesegaran makanan lautnya dan juga kelip-kelip. Anda boleh menyaksikan sendiri keunikan kelip-kelip yang berkumpul di Kampung Kuantan, Kuala Selangor. Selain itu, pekan kecil Kuala Selangor juga mempunyai beberapa tempat bersejarah yang boleh dilawati antaranya Bukit Melawati.

Meneruskan perjalanan anda ke Lumut, ia mengambil masa lebih kurang dua jam. Jika difikirkan Lumut, pastinya anda dapat bayangkan kebiruan air laut. Sampai di Jeti Lumut, anda boleh memilih untuk meletakkan kenderaan di tempat parkir bertingkat ataupun di kawasan parkir kereta berkupon. Bot untuk ke Pulau Pangkor ada setiap satu jam jadi anda tidak perlu risau untuk tergesa-gesa membeli tiket. Empat puluh minit untuk sampai ke Pulau Pangkor, anda boleh menginap di Pasir Bogak, Teluk Nipah ataupun Teluk Belanga. Keindahan Pulau Pangkor pasti memberikan pengalaman yang berbeza buat anda dan teman-teman.  


Anggaran jarak perjalanan: 195km

8) KL – Seremban – Port Dickson

Gambar: www.portdickson.sg

Rancang untuk ke Port Dickson? Apa kata singgah sebentar di Seremban untuk bersiar-siar. Seremban adalah ibu negeri bagi Negeri Sembilan dan hanya 50 minit perjalanan dari tol Sungai Besi. Perkara pertama yang anda boleh sedar setibanya di bandar Seremban adalah rata-rata seni bina disana bercirikan minangkabau. Ambil masa untuk berjalan di Taman Tasik Seremban. Apabila haus, cari cendol Haji Shariff yang paling popular di Seremban. Mereka menawarkan pilihan dari cendol biasa hinggalah ke cendol istimewa.

Empat puluh minit masa perjalanan diperuntukkan untuk anda meneruskan perjalanan ke Port Dickson. Anda boleh memilih untuk menginap di hotel tiga, empat atau lima bintang. Pantai yang menjadi tarikan ramai sudah tentulah Teluk Kemang kerana banyak aktiviti air juga tersedia di pantai itu. Anda dan teman-teman boleh juga lepak di PD Waterfront untuk melihat matahari terbenam dan menikmati pelbagai makanan enak disana. 


Anggaran jarak perjalanan: 87km

9) Kota Kinabalu – Kota Belud – Kudat

Gambar: oibtours.com

Ada banyak tempat menarik yang ada di Sabah jadi disini kami cadangkan anda untuk pergi road trip ke Kudat. Sebelum ke Kudat, Kota Belud merupakan destinasi yang boleh anda singgah. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Belud mengambil masa lebih kurang satu jam 15 minit. Tumpuan utama sudah pastinya pasar tamu Kota Belud yang menjual pelbagai barangan dari barang harian hinggalah ke kraftangan. Anda juga boleh ke Air Terjun Sayap yang dikelilingi oleh pelbagai spesis pokok berusia ratusan tahun. Anda boleh melawat Kampung Siasai Jaya yang mengusahakan kraftangan Bajau, seni membuat parang.

Dari Kota Belud, anda bakal menempuh perjalanan sejauh 120km untuk sampai ke Kudat. Jika berkesempatan pergi di waktu siang, anda boleh melihat monyet belanda (Proboscis) di hutan kiri dan kanan anda. Tarikan di Kudat yang mesti anda pergi adalah Tanjung Simpang Mengayau atau Tip of Borneo. Tempat ini merupakan titik pertemuan dua lautan iaitu Laut Sulu dan Laut Cina Selatan. Selain itu, Kudat juga terkenal dengan pantainya yang cantik memukau. Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan air seperti meluncur, berkanu, snorkelling dan sebagainya. Anda boleh bertemu dengan pelbagai spesis ikan yang cantik antaranya Nudibranch. 


Anggaran jarak perjalanan: 183km

10) Bintulu – Miri

Gambar: www.thecultureist.com

Sarawak sememangnya terkenal dengan taman negara dan hutannya yang menghijau. Perjalanan dari Bintulu ke Miri mengambil masa lebih kurang dua jam 40 minit. Jika berada di Bintulu sendiri, anda boleh menjelajah ke Taman Negara Similajau. Taman ini hanya 30km dari bandar Bintulu. Menariknya disini, ia meliputi hutan hijau untuk diterokai, sungai untuk disusuri dan pantai yang indah.

Jika anda meneruskan perjalanan ke Miri, ada banyak lagi taman negara yang cukup terkenal bukan sahaja di Malaysia bahkan di dunia iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah. Taman Negara Gunung Mulu tersenarai di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO dan amat terkenal dengan pembentukan batu kapur, gua yang luas, tebing yang tinggi dan gaung yang curam. Taman Negara Niah juga terletak di daerah Miri dan paling mendapat tumpuan adalah Gua Niah yang terletak di Gunung Subis. Selain itu, anda juga boleh melihat sarang burung yang galak membiak di dalam gua tersebut. 


Anggaran jarak perjalanan: 201km

 
 
Comments