Rojak Daily Logo
Back to top

Mandi Sungai Bersaksikan Gunung Kinabalu, Pengalaman Ini Anda Patut Rasa Sendiri

Bayaran masuk hanya RM3 seorang!

0
comments
Mandi Sungai Bersaksikan Gunung Kinabalu, Pengalaman Ini Anda Patut Rasa Sendiri
Photo: Azwa Rahman

Berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan teman baik, Rozy dan Ritzuan di Kota Kinabalu, Sabah membuka jalan untuk saya melihat sendiri lokasi percutian yang tular, Polumpung Melangkap View Camp Site, Kota Belud. Sering membacanya di media sosial membuatkan saya begitu tertarik sekali untuk menjejakkan kaki ke sungai ini.

  Lokasi percutian sesuai untuk keluarga.

Sehari selepas majlis persandingan yang berlangsung dengan meriah, pasangan pengantin baru bersetuju untuk membawa saya ke Polumpung Melangkap View Camp Site. Berbekalkan telefon pintar Vivo V9 untuk mengambil gambar, perjalanan ke Kota Belud sangat menenangkan, ditemani sungai dan kehijauan alam semulajadi.

 

Tidak susah untuk mencari kawasan kem ini. Terletak di tepi jalan raya utama, dari pekan Kota Belud, ia hanya mengambil masa selama 30 minit dan ada papan tanda arah. Namun jangan keliru jika ternampak ada beberapa kem Sungai Melangkap kerana deretan Sungai Melengkap sendiri ada lebih kurang tiga kawasan perkhemahan. Kalau takut tak jumpa tempat, Waze ada untuk mengarah pemanduan anda. 

 Terbentuk selepas kejadian gempa bumi di Ranau.

Terletak di belakang rumah pemiliknya, tempat percutian sesuai seisi keluarga ini mengenakan bayaran masuk RM3 untuk dewasa, RM2 untuk kanak-kanak dan percuma untuk warga emas dan kanak-kanak bawah enam tahun. Tempat ini dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Kebetulan kehadiran kami di petang Ahad tidak begitu ramai pengunjung, kawasan tempat letak kereta agak kosong. Selesai membayar, anda perlu turun beberapa anak tangga untuk ke kawasan sungai.

 Tapak perkhemahan dan BBQ.

Polumpang Melangkap View Camp Site menawarkan aktiviti bermalam secara perkhemahan untuk anda yang kaki outdoor. Antara kemudahan yang disediakan adalah tandas, khemah untuk disewa, dewan, kawasan BBQ serta pelampung. Untuk menginap, anda dikenakan bayaran RM6 untuk dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak bawa 12 tahun untuk satu malam.

 

Dari jauh, anda boleh nampak kelibat puncak Gunung Kinabalu yang jelas dari tapak perkhemahan. Namun ketika kehadiran kami, cuaca yang agak mendung dan puncaknya segera dilitupi awan. Untuk anda yang mahu bermain sungai sambil bersaksikan puncak Gunung, ia jelas kelihatan antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi dan 3 petang hingga 4 petang.

 Pasangan pengantin baru menikmati saat berdua.

Menerima sehingga 500 pengunjung setiap minggu, Polumpung Melangkap View Camp Site diuruskan sepenuhnya oleh pemiliknya, Sambatan Gunsalahon, 67, serta keluarganya. Tapak perkhemahan di tepi Sungai Melangkap ini sebenarnya terhasil daripada gempa bumi berskala 5.9 Ritcher yang melanda Ranau tiga tahun lalu.

 

Kalau anda bercadang untuk menjelajah Negeri Di Bawah Bayu ini, Polumpung Melangkap View Camp Site adalah destinasi yang wajib anda singgah. Apa kata sekali sekali cuba aktiviti luar seperti berkhemah dan bayangkan bangun pagi anda disambut udara sejuk dan Gunung Kinabalu! Jika tidak berkhemah, anda juga boleh datang untuk mandi-manda di sungai Melangkap.

 Wajib datang sini!

Kejernihan airnya yang berada di paras lutut dan peha, kehijauan alam semulajadinya serta aktiviti santai sentiasa menjadi tarikan utama kenapa anda perlu datang ke sini. Puas hati saya datang jejakkan kaki, merasa sendiri air sungai dan sempat meyaksikan panorama indah Gunung Kinabalu. Ternyata perjalanan dua jam dari Kota Kinabalu cukup berbaloi dan gambar-gambar yang saya ambil di sini, cukup instaworthy!

 
 
 
Comments