Rojak Daily Logo

Persembahan Asia Sempurnakan Percutian

0
comments
Persembahan Asia Sempurnakan Percutian
Enam persembahan kebudayaan Asia.

Asia kaya dengan ketinggian budaya yang didukung kuat dalam peradaban. Seni ini menjadi kebanggaan, diangkat dan terus disuburkan agar tak layu serta dilupai. Kunjungan ke beberapa negara Asia bukan sekadar untuk melihat panorama alam memukau tapi menghargai ketinggian kebudayaan mereka yang pasti menjadikan pengalaman ke sana satu memori berharga.

Vietnam

Terkenal dengan kopi serta terowong perang, negara ini turut menyajikan persembahan patung boneka air yang dipercayai bermula sejak kurun ke-10. Patung yang diperbuat daripada kayu menceritakan kisah kehidupan harian serta kepercayaan masyarakat di sana dengan iringan muzik, di dalam air. Seni ini dikatakan berasal dari Delta Sungai Merah di utara Vietnam. Anda boleh menyaksikan persembahan ini di Thang Long Water Puppet Theatre dan Hanoi Museum of Ethnology setiap hari dengan membeli tiket berharga antara RM9 ke RM15. 

Gambar: wikipedia.org

Thailand

Selain lelaki-lelaki cantik, Thailand terkenal dengan persembahan patung boneka di Aksra Theather. Menariknya persembahan yang menceritakan pelbagai kisah klasik melalui patung ini menyerlahkan wajah pemainnya. Tiga pemain patung boneka akan mengemudi bahagian kaki, tangan dan kepala setiap patung. Persembahan ini diiringi orkestra langsung dengan menggunakan peralatan tempatan dan luar negara. Persembahan ini boleh anda saksikan di King Power Duty Free Complex, Soi Rang Nam, berhampiran Victory Monument setiap hari antara jam 7.30 dan 8.30 malam.

Gambar: www.bangkok.com

Kemboja

Kemboja antara lokasi yang kurang dikunjungi rakyat Malaysia. Mungkin kerana rata-rata rakyat Malaysia memilih negara yang terkenal dengan lokasi membeli-belah murah. Kemboja terkenal dengan persembahan tradisi Khmer yang dipersembahkan sejak kurun ke-19 untuk menarik pelancong ke Siem Reap. Persembahan tarian Apsara menggabungkan tarian klasik dan dongeng rakyat tempatan. Tarian ini diinspirasikan oleh sejarah peperangan yang dimenangi oleh King Ang Duong dan boleh anda saksikan di National Museum, Phnom Peng setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Gambar: wikipedia.org

Laos

Vientiane merupakan ibu negara dan bandar terbesar di Laos yang terletak di tebing utara sungai Mekong. Kedudukannya yang hampir dengan Thailand dapat dilihat pada seni budaya yang hampir sama antara dua negara ini. Reka bentuk bangunan di Vientiane mempunyai pengaruh Perancis. Meskipun pernah dimusnahkan oleh tentera Siam pada tahun 1828, Laos berjaya dibangunkan semula ketika pendudukan Perancis di negara ini. Tidak sempurna kunjungan anda ke sini jika tidak merasai sendiri budaya masyarakat. Persembahan kebudayaan ini boleh disaksikan di Phatoke Laoderm bersebehalan Senglao Hotel, setiap hari mulai jam 7 petang.

Gambar: www.laostourist.com

Indonesia

Negara jiran Indonesia bukan sahaja luas malah kaya dengan pelbagai seni budaya. Sekiranya anda menjejakkan kaki ke Bali, berkunjunglah ke sebuah komuniti kecil di Taman Kaja, Jalan Raya Ubud bagi menyaksikan persembahan Kecak. Tarian ini dipersembahkan oleh lebih 100 orang penari. Selain para penari mengeluarkan muzik menggunakan suara mereka, tarian ini dihangatkan dengan persembahan api.

Gambar: www.ghmhotels.com

Jepun

Kabuki, satu bentuk persembahan tradisi yang berasal dari zaman Edo. Kabuki diiktiraf sebagai salah satu daripada tiga teater klasik utama Jepun selain Noh dan Bunraku. Kabuki dipersembahan oleh pelakon lelaki yang sebahagiannya menggayakan pakaian wanita. Terdapat beberapa lokasi yang boleh dikunjungi untuk melihat sendiri kehebatan persembahan ini dengan setiap tiket berharga 2,000 yen (RM75) yang boleh dibeli di lokasi atau secara online. Antara lokasinya termasuklah Kabukiza Theater dan National Theater di Tokyo, Minamiza Theater Kyoto, Shochikuza Theater Osaka dan Hakataza Theater Fukuoka. Waktu dan kekerapan persembahan ini berbeza-beza mengikut lokasi yang dipilih.

Gambar: magickabukidrop.com

 
 
Comments