CLOSE
CLOSE

Ruginya Kalau Tidak Lakukan 8 Perkara Ini Di Marina Bay Sands, Insta-Worthy Habis!

Anda pasti terpukau dengan kehebatan Space.


  • Share:

Ruginya Kalau Tidak Lakukan 8 Perkara Ini Di Marina Bay Sands, Insta-Worthy Habis!
Pengalaman di MBS, pastinya tidak dapat dilupakan. (Gambar: jetset-away)
Sebut saja mengenai Singapura, pasti ramai sudah terbayangkan tugu ‘singa laut' dikenali sebagai Merlion.

Patung berkepala singa dah mempunyai badan ikan itu antara tumpuan dan mercu tanda negara berkenaan.

Selain Merlion, satu lagi tumpuan Singapura pastinya hotel pencakar langit Marina Bay Sands (MBS). Boleh dikatakan ia menjadi idaman semua pelancong dari seluruh dunia untuk menginap di sana.

Hotel pencakar langit MBS!
Siapa boleh lepaskan peluang untuk berenang di kolam‘Infinity Pool’ yang teramatlah ‘insta worthy’ bukan?

Namun satu perkata yang anda perlu tahu, keseronokan di MBS bukanlah sekadar itu saja. Ia lebih daripada itu.

Rojak Daily Skop! berkesempatan mengikuti trip ke MBS bersempena ulang tahun mereka ke-8.

Bagi membantu anda untuk mengenal lebih rapat apa sebenarnya yang ada di MBS ini, kami senaraikan 8 ‘perkara’ best anda perlu lakukan.

1. MAKAN MALAM DI SPANGO

Makan malam sambil menyaksikan pemandangan indah!
Anda kenal Wolfgang Johannes Puck? Jika ya anda wajib ke Spango kerana ia adalah kepunyaan chef terkenal ini.

Spango dianggap sebagai restoran ‘flagship’ yang menyediakan servis dan suasana sungguh premium bersebelahan dengan Infinity Pool.

Dibuka pada Oktober 2015, restoran ini terletak di level 57, Menara 2.

Menu ala California dibawa masuk ke restoran ini dalam kebanyakan menu makananannya. Antara menjadi signature makanan ini adalah 'Big Eye Tuna Tartare Cones'.

Pemandangan pada waktu malam amatlah indah sekali! Sebaik check in di MBS, teruslah ke sini untuk makan malam!

Terdapat juga restoran hebat lain termasuk Lavo dan Bread Street Kitchen by Gordon Ramsay. Anda boleh semak senarai restoran di sini, MBS.

2. SAKSIKAN PERTUNJUKKAN MEMUKAU SPECTRA

Persembahan pancutan air yang mengagumkan.
Sebaik selesai makan malam, anda mungkin sedikit kepenatan. Namun apa kata anda rehatkan seketika minda anda dengan persembahan Spectra. Percayalah ia amat menakjubkan!

Biarpun hanya sekadar pancutan air, namun apabila digabungan dengan lampu cahaya, koreografi dan lagu okestra, hasilnya amat mengagumkan.

Muzik yang digabungkan bersama visual media dan teknologi, Spectra berjaya mengagumkan ramai pengunjung di Singapura!

Penulis berkesempatan melihat persembahan Spectra sebanyak dua kali.

Paling mengagumkan adalah ketika majlis karpet merah Avengers Infinity War 16 April lalu. 

Spectra dihasilkan secara ‘custom’ mewakili lambang Iron Man, Dr Strange dan Avengers.

Anda boleh lihat pertunjukkan Spectra ini di Instagram Rojak Daily Skop!

Untuk anda yang teringin melihat persembahan Spectra, perlu diingatkan persembahan hanya berlangsung pada jam 8 dan 9 malam, Ahad hingga Khamis. 

Bagi Jumaat dan Sabtu pula, persembahan akan dilanjutkan kepada satu slot pada 10 malam.

3. ACARA BEPRESTIJ KARPET MERAH

Robert Downey Jr guys!
Singapura sememangnya menjadi tumpuan bintang antarabangsa di luar sana.

Baik promosi konsert mahupun filem, MBS  sentiasa menjadi lokasi utama laluan karpet merah.

Penulis berkesempatan merasai pengalaman berkenaan ketika acara Avengers Red Carpet Event.

Antara yang muncul pada malam berkenaan adalah Robert Downey Jr (Iron Man), Benedict Cumberbatch (Dr Strange), Karen Gillan (Nebula) bersama pengarah Joe Russo.

Selain peminat daripada Singapura, terdapat juga peminat setia yang sanggup turun daripada Thailand, Filipina dan Indonesia. Tidak ketinggalan Malaysia.

Jika anda bernasib baik, percutian anda mungkin berlaku serentak dengan mana-mana acara ini. Bolehlah sambil menyelam minum air!

4. 'PORT' MEMUKAU UNTUK INSTAGRAM ANDA

Hilang semua tekanan kerja jika ke sini.
Perkara paling popular dilakukan MBS adalah menikmati pemandangan indah di ‘Infinity Pool’.

Jika kamera anda cantik mengambil gambar malam, anda wajib pergi pada waktu ini kerana gambarnya lebih unik. Suasananya juga lebih meriah.

Selain itu, terdapat juga jakuzi khas untuk anda nikmati bersama pasangan dan rakan-rakan.

Berhampiran dengan kolam renang ini juga terdapat satu lagi bahagian yang wajib anda kunjungi iaitu Oberservation Deck! 

Apa yang anda bakal saksikan nanti adalah satu ruang luas yang berada betul-betul di puncak MBS dengan ketinggian 200 meter.

Anda bebas bergerak di atas deck ini.
Seperti Infinity Pool, anda juga berpeluang melihat keseluruhan bandar Singapura di  Oberservation Deck.

Cuma di sini anda lebih bebas kerana ruangnya cukup luas dan besar. Ambil peluang untuk penuhkan Instagram Story anda atau mengambil gambar secara panorama.

5. LOKASI TERBAIK UNTUK PASANGAN KEKASIH

Pelbagai visual interaktif untuk hiburan anda dan keluarga.
Selain itu anda juga harus berkunjung ke Digital Light Canvas!

Secara ringkasnya, lokasi ini mempunyai satu pentas yang dilengkapi skrin interaktif.

Pelbagai visual disediakan untuk dipaparkan pada pentas terbabit. Anda boleh sampaikan ucapan interaktif di sini.

Paling menarik pastinya visual ‘Will You Marry Me’. Sangat sesuai untuk anda yang mahu mendirikan rumah tangga. Apa lagi, lamar lah kekasih anda cepat!

6. ARTSCIENCE MUZIUM 'SUPER FUTURISTIK'

Karya hebat dari seluruh dunia.
Muzium ini secara umumnya dibahagikan kepada dua aspek yang berbeza.

Penulis bersama rakan media lain pada awalnya dibawa melihat pameran seni jalanan yang mula dibuka pada 13 Januari lalu.

Anda boleh saksikan pelbagai seni jalanan daripada pelbagai latar belakang seluruh dunia. Seni mereka ini diangkat menjadi satu hasil yang amat bernilai.

Paling menarik adalah demonstrasi bagaimana imej seorang lelaki dihasilkan menerusi letupan bom pada bangunan lama. Kami semua terpegun seketika.

Terlalu banyak hasil seni yang boleh dilihat di sini. Jika anda berjiwa seni, jangan ketinggalan melihat karya-karya hebat ini.



Sementara itu satu lagi sisi lain muzium ini boleh dikatakan lebih ‘hightech’. Sesuai dengan nama Art Science yang diberi.

Anda pasti terpukau dengan pelbagai visual di Art Space, baik kanak-kanak mahupun dewasa. Setiap sudut amat mengagumkan.

Penulis mengambil masa berada di bahagian space kerana sangat menakjubkan. Bayangkan anda berada di tengah-tengah 170,000 lampu LED.

Nyalaan lampu ini pula interaktif mengikut koordinasi yang pelbagai. Hasilnya, ia mampu menghasilkan visual yang amat cantik. Anda seperti berada di dunia lain.

7. BANYAN TREE SPA

Rehatkan badan sambil menikmati pemandangan.
Pernahkah anda terbayang untuk menikmati urutan sambil dari ketinggian hampir 200 meter? Jika anda ke MBS, ini peluang anda.

Bukan hanya itu, bilik yang disediakan juga mempunyai cermin kaca yang membolehkan anda menikmati pemandangan.

Apa yang menariknya mengenai spa ini, perkhidmatan diberikan amat lengkap dan terperinci.

Jenis urutan akan ditentukan dan anda boleh menetapkan gaya urutan mengikut keselesaan anda.

Selesai diurut anda akan dijamu dengan air pilihan serta snek buah-buahan. Paling best, anda akan menikmati hidangan ini menghadap pemandangan.

Penulis sarankan supaya anda datang pada petang supaya dapat menikmati ‘sunset’ sebaik selesai urutan.

Dibuka pada jam 10 pagi hingga 11 malam dan akan dilanjutkan pada jam 1 pagi pada Sabtu dan Ahad.

8. KEPUASAN UNTUK PARA 'SHOPAHOLIC'

Pilihan minyak wangi dan juga produk teknologi, semuanya di MBS
Tidak lengkap rasanya jika anda ke MBS tidak melunaskan kepuasan membeli belah anda.

Jika mahu membeli minyak wangi yang lain dari lain, terdapat satu premis yang mungkin sesuai dengan citarasa anda iaitu Henry Jacques.

Satu-satunya premis ‘stand alone’ di dunia, butik ini menyediakan pilihan minyak wangi yang boleh dihasilkan mengikut selera anda.

Dekorasi butik ini saja sudah menampakkan gaya klasik mewah. Terdapat juga pati minyak wangi paling mahal yang digunakan oleh kebanyakan golongan diraja.

Sementara itu bagi jejaka, jika anda mahu merehatkan diri dengan mencukur jambang dan misai anda, anda boleh lakukan di Truefitt and hill.

Malah jika anda tercari-cari sistem audio yang amat futuristik, ia juga terdapat di MBS. Premis Devialit antara yang anda patut kunjungi. 

Biarpun peranti yang dipamerkan ini agak kecil, namun ia dikatakan mampu menghasilkan bunyi seperti anda berada di konsert.

Penulis dan rakan media diberi kesempatan untuk mendengar hasil kualitinya dan ia amat mengagumkan! 

Jika anda mahu merasai pengalaman di MBS ini, anda bolehlah klik di sini, Marina Bay Sands.

  • Share:

Comments

Related Articles

Back to top